innity

pages

Tuesday, July 19, 2016

Kenapa Umno macam mabuk todi kutuk parti Mahathir?


ULASAN l Para pembesar Umno/BN serta peniup trompet mereka sepakat bahawa tidak ada apa yang hendak dibimbangkan daripada pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sebuah parti baru akan ditubuhkan.
Itulah gambaran yang saya peroleh daripada membaca laporan media arus perdana dan omongan media sosial pro-Umno/BN.

Anehnya, sambil mendabik dada berkata mereka tidak gentar, mereka bagaikan hilang akal mengutuk cadangan itu dengan menggunakan istilah dan label seperti “menganjingkan”, merugikan rakyat, longgokan sampah, memecahbelahkan Melayu, Dr Mahathir ganti Anwar sebagai ketua pembangkang, pakatan baru tidak selesaikan masalah pembangkang, DAP takut parti baru dan macam-macam lagi.
Kalau parti baru yang dicadangkan itu akan gagal dan Umno/BN tidak terancam, kenapa macam orang mabuk todi kutuk dan maki hamun?

Tumpukanlah perhatian dan tenaga tuan-tuan dan puan-puan menyokong dan menguar-uarkan ketulusan dan kemulusan Umno/BN.
Tak perlulah habiskan masa dan tenaga buat bermacam-macam kutukan dan fitnah terhadap cadangan itu.

Atau mereka sebenarnya tahu parti baru dan pakatan yang akan disertainya berkeupayaan melemahkan lagi Umno/BN yang sudah sememangnya lemah sejak pilihan raya umum 2013?

Kalau mereka tidak takut, mengapakah mereka mengeluarkan senarai palsu kepemimpinan parti itu dan memulakan kempen fitnah ke atas orang yang pada jangkaan mereka akan menerajui parti itu?

Pada PRU 2013 Umno belum berpecah-belah. Skandal penyelewengan 1MDB, derma RM2.6 bilion dan pengalihan duit SRC International belum terdedah.

Dr Mahathir masih menyokong Datuk Seri Najib Razak. Beliau berkempen dan bantu Umno/BN rampas baik Kedah. Ekonomi belum merudum. Subsidi masih ada dan GST belum dikenakan.

Itu pun Umno/BN menang ngam-ngam saja. Hilang majoriti dua pertiga dan kalah undi popular. Najib salahkan tsunami Cina. Tapi Melayu pun ramai tak undi parti dia.

Sekarang Umno telah berpecah-belah. Pemimpin yang kritik Najib disingkir.

Dr Mahathir berhenti jadi ahli. Skandal 1MDB meledak.

Hutangnya melambung kepada RM50 bilion. Bukan RM42 bilion lagi seperti Dr Mahathir dakwa. “Derma Arab” RM2.6 bilion masuk akaun peribadi Najib.

Ekonomi merudum. GST dilaksanakan.

Budak-budak cerdik berkelulusan cemerlang yang dapat tawaran universiti luar negara tapi tak dapat pinjaman atau biasiswa.

Pengangguran melepasi setengah juta. Hampir 200,000 daripadanya ada ijazah dan diploma. Secara teorinya kerajaan sudah muflis.

Tetapi para pembesar Umno/BN dan peniup trompet mereka berkata, penubuhan parti baru itu kerja sia-sia. Najib terus disanjung dan Umno/BN dijunjung.

Jerit tempek mereka mengingatkan saya kepada ayam jantan yang baru belajar berkokok. Suara tidak mersik, irama tidak harmoni dan ekor penuh tahi.

Kerana terlebih makan dedak dan hempas rumbia, kokoknya sumbang buat orang ketawa.


Datuk A Kadir Jasin adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times. Artikel ini pertama kali disiarkan di blognya - The Scribe A Kadir Jasin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com