innity

pages

Monday, July 18, 2016

[KANDAS 15 JAM DI ISTANBUL] TNC UTeM, Prof Jailani: ‘Pengalaman rampasan kuasa Turki buatkan saya lebih hargai erti keamanan’


SEPANG: “Pengalaman berdepan situasi genting ketika cubaan rampasan kuasa di Turki semalam membuatkan saya lebih menghargai erti keamanan,” ujar Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Mohd Jailani Mohd Nor.

Katanya, berada dalam keadaan suasana tegang dengan bunyi tembakan bertalu-talu dari Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul adalah peristiwa paling genting yang pernah dialami sepanjang hidupnya.

Mohd Jailani berkata, tembakan bertalu-talu itu juga membuatnya berasa khuatir andai ada peluru sesat yang boleh mengenai sesiapa sahaja di situ.

“Saya pasrah dan hanya berserah pada Allah ketika itu. Jadi saya mengambil keputusan walau apapun yang terjadi saya akan tetap berlindung di lapangan terbang tersebut kerana saya merasakan ia adalah tempat yang paling selamat ketika itu,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba pada jam 5.10 pagi tadi menaiki pesawat Turkish Airlines (TK60) bersama 32 rakyat Malaysia.

Mohd Jailani berkata, beliau menaiki penerbangan dari Athens selepas menghadiri ‘International Congress in Sound and Vibration’ di Greece pada 10 hingga 14 Julai lepas dan transit di Istanbul sementara menunggu penerbangan pulang ke tanah air.

Beliau dan penumpang lain terkandas selama 15 jam di lapangan terbang berikutan serangan konco-konco dalam Angkatan Tentera Turki ketika cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Turki, Tayyip Erdogan.

Mohd Jailani berkata, ketika suasana kelam-kabut di lapangan terbang itu, semua rakyat Malaysia mengambil inisiatif berkumpul di Pintu 303 dan beliau cuba menenangkan diri.

“Ketika berkumpul sesama rakyat Malaysia kira-kira 40 orang di sana, kami saling menasihati agar pengalaman yang kami alami mampu membuatkan kita lebih menghargai keamanan yang ada di Malaysia.

“Selagi kita tidak pernah berhadapan dengan situasi itu, selagi itulah kita tidak begitu menilai erti sebuah kemerdekaan…pentingnya menghargai dan mengekalkan keamanan,” katanya.

Beliau turut menceritakan situasi paling menakutkan ketika kedengaran bunyi jet pejuang terbang rendah di lapangan terbang itu dan beliau diberitahu pesawat Erdogan sedang mendarat masa itu.

Dalam pada itu, Kedutaan Turki di Malaysia semalam mengulangi kerajaan pimpinan Erdogan masih berkuasa dan menafikan cubaan rampasan kuasa di negara itu berjaya.

Setakat ini, hampir 200 maut manakala sekurang-kurangnya 2,839 anggota tentera, termasuk pegawai berpangkat tinggi ditahan selepas cubaan rampasan kuasa gagal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com