KEMAMAN - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan kedudukan keanggotaannya dalam parti itu selepas wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat berikutan kelantangannya mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri yang juga presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Umno Bahagian Kemaman itu berkata, sekiranya Majlis Tertinggi ingin memecatnya dari parti, beliau akan akur dengan apa juga keputusan yang akan dimuktamadkan nanti.

Bagaimanapun, tegas Ahmad, jika beliau dipecat ia akan memberi kesan kepada kedudukan kerusi parti berkenaan di dalam Dun Terengganu kerana akan mengakibatkan jumlah kerusi yang dipegang akan sama banyak dengan pembangkang iaitu 16-16.

“Saya tidak ada sebarang masalah dan akur terhadap apa juga keputusan yang dimuktamadkan kelak, cuma apa sahaja keputusan nanti akan memberi kesan kepada kedudukan dalam Dun.

“Pada masa sekarang, saya akan bertahan dan terus menumpukan tugas sebagai wakil rakyat untuk membela nasib penduduk walaupun  terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan buruk yang dilemparkan sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah projek 30 unit rumah kedai  Umno Bahagian Kemaman yang bernilai RM45 juta  yang dibangunkan dengan kerjasama Rayhar Properties Sdn Bhd (Rayhar) di Kampung Dusun Nyior, di sini, semalam.

Dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan di Kuala Lumpur kelmarin, ada segelintir pihak yang juga ahli Umno menggesa pucuk pimpinan Umno memecat segera Ahmad yang juga Adun Kijal ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan membuat usul undi tidak percaya pada sidang Dun yang lalu.

Sementara itu ditanya mengenai kerjasama bersama Rayhar, Ahmad berkata, Rayhar akan membina sebanyak 30 unit rumah kedai empat dan tiga tingkat di atas tanah milik Umno Bahagian Kemaman yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

“Menerusi kerjasama ini Umno Bahagian Kemaman akan menerima lapan unit rumah kedai dengan jangkaan perolehan RM50,000 sebulan hasil sewaan apabila siap kelak dan boleh diguna untuk menampung perbelanjaan pengurusan Umno Bahagian Kemaman,” katanya. -SH