innity

pages

Thursday, June 23, 2016

Video 'sengal' Zulin semakin popular


KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Zulin Aziz, mempunyai alasan sendiri untuk berkongsi video lawaknya di laman sosial. Ia termasuk video memaparkan dirinya meniru gaya artis popular, bercakap Inggeris 'rojak' sesuka hati, parodi drama Korea dan gaya pengacaraan dalam pelbagai bahasa.

Terdahulu, beliau turut mencuri tumpuan, terutamanya dalam kalangan peminat K-pop, apabila memaparkan aksi 'pergaduhannya' bersama aktor Korea, Lee Min Ho. Selepas menggunakan aplikasi Keek sekitar 2013, kini beliau mewujudkan pula akaun sendiri di YouTube di bawah nama Zulin Aziz TV. 

"Saya pernah juga menerima tawaran berlakon hasil daripada video Keek. Jadi, ia secara tidak langsung menjadi punca rezeki. 

"Saya pula memuat naik video ini sekadar menghiburkan peminat dan mengisi masa lapang. Saya seorang yang mempunyai sisi 'gila-gila'. 

Tidak semua bakat saya dapat dikongsi menerusi kaca TV, jadi inilah cara saya menghiburkan orang ramai dengan kebolehan yang ada," katanya. Beliau akur tindakannya mendapat reaksi yang pelbagai.

"Ada yang suka dengan apa yang saya kongsi di laman sosial dan sebahagiannya pula sebaliknya. Saya gembira jika mereka seronok menontonnya dan jika ada yang tidak suka pula, saya tidak mampu berbuat apa-apa. 


"Memang ada pihak yang sensitif dengan apa yang saya lakukan dan perkongsian saya itu dianggap mereka sebagai ejekan terhadap sesetengah golongan. Saya hanya berniat untuk bergurau dan menghiburkan semua orang. 

"Contohnya, ketika saya bercakap 'merapu' dengan slanga Inggeris, ia sebenarnya cuba memahami perasaan orang lain yang ada kalanya tidak faham dengan apa yang dituturkan tanpa adanya sari kata," ujarnya. 

Zulin begitupun mengaku tidak terlalu mengambil peduli mengenai komen negatif sedemikian. 

"Di sebalik segala maklum balas itu, saya sendiri tidak sangka ada video yang dimuat naik menerima komen daripada orang luar, termasuk Korea. 

Rata-rata ramai yang suka dan menikmati hiburan 'sengal' yang saya persembahkan," katanya. 

Kata Zulin, beliau jarang berkongsi videonya di Facebook, sebaliknya berbuat demikian menerusi YouTube. 

"Saya hanya akan mempromosikan sebahagian video itu di laman Instagram dengan rakaman penuhnya boleh dilihat di YouTube. Malah, ada video saya yang ditonton lebih sejuta kali. Itu saja sudah membuatkan saya terharu dan gembira," katanya.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com