innity

pages

Thursday, June 30, 2016

Shahbudin: Pendakwaan Lim Guan Eng PELENGKAP, PRU14 akan diawalkan TAHUN ini atau AWAL TAHUN DEPAN


Mahkamah Tinggi sebentar tadi, membenarkan Ketua Menteri, Lim Guang Eng diikat jamin RM1 juta bersama seorang penjamin. 

Shahbudin menulis diblog beliau menghuraikan isu penahanan dan pendakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas dua pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 165, Akta Pencegahan Rasuah.

Tuduhan pertama berkaitan pertukaran status sebidang tanah pertanian kepada kediaman oleh sebuah syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd dan tuduhan kedua berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Peguam Negara, Apandi Ali sendiri akan mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Lim Guan Eng.

Bersama pendakwaan terhadap Lim Guan Eng, tidak mustahil akan dilakukan Najib ialah mengadakan pilihanraya mengejut sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Seiring dengan perpecahan dalam pembangkang, Pas lena dalam dakapan, aura kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar masih diperkatakan, penentang-penentang dalam UMNO sudah dibuang, pendakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mustahil dianggap pelengkap kepada ramuan untuk membolehkan rakyat memberi sokongan yang lebih padu kepada BN serta membuatkan Najib mampu terus berkuasa dengan lebih lama.

Dan kalau pun tarikh pilihanraya tidak diawalkan, Najib dan para pemimpin BN sekurang-kurangnya akan menggunakan isu berkaitan Lim Guan Eng itu untuk tujuan melemahkan DAP dan sebagai senjata untuk menawan Pulau Pinang pada pilihanraya akan datang.

Berdepan dengan sekian banyak isu berkaitan skandal kewangan dan rasuah melibatkan Najib yang juga disiasat SPRM tetapi ditutup kes oleh Peguam Negara, memalitkan pihak musuh dengan pendakwaan di mahkamah adalah strategi terang-terangan untuk mengaut keuntungan politik.

Memang sesiapa pun menyokong segala usaha SPRM menangani dan membanteras rasuah, tetapi  yang diharapkan juga ialah agar ia dilakukan secara menyeluruh dan tanpa pilih bulu.

Jika Lim Guan Eng boleh ditahan serta didakwa dan sebelum ini Khir Toyo sudah pun dipenjara, persoalan umum tentunya ialah berkaitan Najib yang bukan saja dalam akaunnya ada wang sebanyak RM2,600 juta atau mungkin meningkat kepada RM4,200 juta, tetapi juga pengakuannya sendiri berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan yang masuk ke akaun bank peribadinya.

Apakah alasan tidak tahu wang itu daripada SRC International tetapi membelanjakan sebahagian wang itu, antaranya untuk membayar kad kredit, merupakan alasan yang boleh diterima untuk melepaskan Najib?

Begitu juga dengan Jho Low yang sekarang sudah disahkan Good Star Ltd yang menerima RM1,030 juta wang 1MDB adalah milik mutlaknya, mengapa playboy muda itu terus dilindungi?


Sama seperti kes Lim Guan Eng, SPRM sebenarnya sudah menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin berkaitan Najib dengan difahamkan turut mencadangkan beberapa pendakwaan, namun ia ditolak atau diketepikan oleh Peguam Negara.

Jika kita masih ingat, pegawai SPRM juga ketika itu turut dikacau-ganggu dengan mereka sendiri turut disiasat dan digeledah oleh pihak polis.

Peguam Negara akhirnya bukan saja menolak untuk pendakwaan, bahkan mengarahkan SPRM menutup terus kes dan menghentikan sebarang siasatan mereka terhadap Najib.

Selepas syor pendakwaan ditolak, khabarnya SPRM mahu membuat rayuan kepada Peguam Negara agar ia dikaji semula,  namun yang kita dengar kemudian ialah dua pimpinan tertinggi badan pencegah rasuah itu yang akhirnya dibersarakan.

PENDAKWAAN TERHADAP LIM GUAN ENG LEBIH MENYUBURKAN INGATAN BAGAIMANA NAJIB DISELAMATKAN


Sebab itu, dalam kes Lim Guan Eng ini, meskipun semua orang faham sebarang pendakwaan mesti mendapat lampu hijau Peguam Negara, SPRM dalam kenyataannya sekali lagi menyebut bahawa tindakan mereka adalah atas arahan Peguam Negara.

Ini sekali gus, sementara Lim Guan Eng didakwa di mahkamah atas arahan Peguam Negara dan Peguam Negara sendiri mengetuai pasukan pendakwaan, orangramai juga akan turut mengingati bagaimana Peguam Negara yang sama menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan Najib sebelum ini.

Maka, tidak banyak laba politik yang boleh UMNO dan BN harapkan daripada kes Lim Guan Eng ini, sebaliknya ia akan menyebabkan kemarahan dalam diam rakyat terus membuak-buak terhadap Najib dan institusi-institusi penguatkuasa yang melindunginya. 

(http://shahbudindotcom.blogspot.my/30/06/2016).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com