Adam Lindin Ljungkvist beraksi untuk pasukan Pershagens SK ketika menentang skuad simpanan Jarna SK dalam saingan divisyen tujuh liga Sweden.

Bagaimanapun, pertahanan kiri itu dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-93 selepas kentut dengan kuat berhampiran pengadil.

“Perut saya sangat sakit, jadi saya lepaskan sahaja. Kemudian saya dilayangkan kad kuning kedua dan merah.

“Ya, saya terkejut, ia merupakan perkara paling pelik pernah saya alami dalam bola sepak.

“Saya bertanya kepada pengadil ‘Adakah saya tidak dibenarkan kentut?’ ‘Tidak,’ katanya...Saya tidak faham tetapi mungkin dia beranggapan saya kentut kemudian melemparkan bau itu kepada dia. Tetapi saya tidak berbuat begitu.

“Melakukan provokasi menerusi kentut adalah tidak praktikal. Tidak masuk akal - saya hanya kentut dan diberikan kad merah.

“Saya ada bertemu dengan pengadil selepas itu, saya agak marah tetapi tidak ada sebarang pertengkaran. Saya hanya berkata dia bodoh.

“Saya rasa itu keputusan yang bodoh. Sekarang saya tergelak memikirkannya. Tiada orang lain pernah tahu perkara ini, saya juga tidak pernah dengar seorang pemain diarah keluar padang kerana kentut,” kata pemain berusia 25 tahun itu kepada akhbar Lanstidningen Sodertalje.

Dalam perlawanan itu Pershagens tewas 2-5 kepada Jarna. - AGENSI