innity

pages

Saturday, May 14, 2016

PAN diramal calonkan Prof Dr Ahmad Termizi di Kuala Kangsar


Tak Payah Tunggu 15 Mei, Sekarang Pun Boleh Ramalkan Siapakah Calon PRK Parlimen Kuala Kangsar.
Sekiranya “ramalan” saya tepat, “Pakatan (?) Harapan” [atau kini lebih sesuai dikenali dengan gelaran Pakatan Putus Harapan] mungkin akan menampilkan seorang bekas pimpinan tertinggi Pertubuhan Ikram yang telahpun menyertai Parti Amanah Negara (PAN) selepas meletak jawatan di dalam NGO tersebut pada bulan November 2015.
Beliau adalah Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli yang terkenal di kalangan ahli-ahli Pertubuhan Ikram sebagai pakar strategi politik pertubuhan tersebut. Menurut sumber dalaman Ikram sendiri, Prof Termizi yang berasal dari Kuala Kangsar telah lama “berkampung” dan “berkempen” di kawasan Kuala Kangsar sejak meletak jawatan dalam Ikram dan menyertai PAN. Ahli-ahli Ikram Kuala Kangsar sudah pasti mengenal beliau.
Ini bukanlah kali pertama Ikram menghantar ahli-ahli atau bekas ahli-ahlinya bertanding di dalam PRU. Mantan Naib Presiden Ikram sendiri, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus sendiri pernah bertanding sebanyak 3 kali di Johor atas tiket PAS tetapi kalah pada ketiga-tiga PRU tersebut. Ustaz Hasanuddin sekarang adalah Naib Presiden PAN. Dan terdapat ramai lagi bekas ahli/pimpinan Ikram yang telah menyertai PAN serta memegang jawatan-jawatan penting di beberapa negeri.
Kuala Kangsar secara tradisinya merupakan pentas dan gelanggang silat bagi parti-parti UMNO dan PAS sejak sekian lama. Rakyat dan pengundi di kawasan tersebut juga sedia maklum akan hakikat ini. Maka ramai yang tertanya-tanya, apa gerangan PAN untuk masuk bertanding di satu kawasan yang terang-terang akan memecah undi dan memberi kelebihan kepada UMNO untuk menang di kawasan tersebut?
Peratus atau nisbah pengundi bukan-Melayu atau not-yet-Muslim bukanlah terlalu signifikan untuk mendakwahkan slogan Islam sebagai Rahmatun Lil Alamin di sana, apatah lagi untuk menjadi pengimbang kuasa sama ada kepada PAS mahupun UMNO. Bahkan pada kali ini mungkin mereka tidak akan keluar mengundi pun – sama ada kerana benci kepada UMNO ataupun tidak percaya kepada PAS.
Tidak ada alasan dari segi Syara’ mahupun logik politik untuk PAN “mencuba nasib” di tengah-tengah gelanggang politik yang para jagoannya terdiri daripada UMNO dan PAS. Malah, apa yang akan berlaku (dan telahpun dibuktikan di PRN sarawak baru-baru ini) adalah kes klasik menelan kembali ludah dari langit.
Ketikamana Isma menghantar ahli-ahlinya bertanding di beberapa kerusi Parlimen yang tidak ada wakil/calon UMNO atau PAS yang bertanding (dan majoriti pengundinya adalah terdiri dari bangsa Melayu/umat Islam), hujah yang serupa (bertanding untuk pecah undi) digunapakai, walaupun hujah tersebut sangat lemah kerana dilihat dari kaca mata manfaat politik yang sempit untuk memperoleh kuasa, bukan untuk mendaulatkan Islam atau meramaikan ahli-ahli Parlimen Muslim yang berwibawa untuk bahaskan isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam nanti.
Sekiranya PAN atau parti-parti politik pembangkang Pakatan Putus Harapan menghantar juga calon mereka untuk bertanding, maka ia akan membuktikan bahawa mereka/PAN memang bertujuan untuk menyekat dan menghalang PAS daripada melakukan satu “upset” (jangan lupa tidak ada yang mustahil di dalam politik) terhadap UMNO.
Justeru, tidak hairanlah puak-puak Pakatan Putus Harapan seakan-akan diserang histeria dan penyakit gila talak apabila tersedar bahawa tindakan menendang dan menerajang PAS keluar daripada gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum ini adalah satu kesilapan besar. Mereka juga seakan-akan terkena “selective amnesia” terhadap angkara parti rasis cauvinis DAP yang menggerakkan ”Langkah Tendang PAS”, yang kini sedang merawat luka parahnya dimalukan oleh rakyat dan pengundi Sarawak baru-baru ini.
Meskipun terdapat isyarat-isyarat sebelah pihak (unilateral) Pakatan Putus Harapan untuk “berbaik” dan “memujuk” PAS supaya “berdamai” dengan mereka, saya percaya bahawa itu hanyalah sekadar “testing the waters” sahaja untuk melihat reaksi daripada pihak PAS. Melihat kepada kenyataan-kenyataan dan “cakap-cakap besar” beberapa pimpinan PAN, tidak mustahil PAS akan diperdayakan sekali lagi sekiranya parti Islam ini bersetuju untuk “rujuk” kembali dengan “rakan-rakan seperjuangan” yang pernah menikam mereka dari belakang beberapa kali.
Naiflah bagi PAS untuk beranggapan bahawa PAS memang akan diberi laluan mudah untuk menghadapi UMNO dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar nanti.
“PAS mungkin akan berhadapan dengan pertembungan hebat daripada Pakatan Harapan terutama Amanah yang ramai melihat sebagai proksi DAP,” demikian ulasan Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib.
Dan PAS bukan tidak kenal siapa PAN dan DAP serta apakah kedudukan PAN di sisi DAP.
Hakikatnya PAS adalah saingan dan lawan yang paling sesuai untuk menghadapi UMNO. Meletakkan PAN yang kononnya mempunyai keahlian seramai 50,000 orang [sepertimana yang didakwa oleh mereka sendiri] sebagai pilihan Pakatan Putus Harapan setaraf dengan PAS adalah seumpama anak kucing kurap yang merayau-rayau mencari sisa-sisa makanan di tepi pasar dengan satu kawanan harimau dan singa yang ngaumannya bergema nyaring di setiap ceruk rantau gurun Kalahari di Afrika.
Oleh kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi, tidak ada siapa yang boleh menghalang PAN daripada bertanding mewakili Pakatan Putus Harapan di Kuala Kangsar nanti. Kempen yang menelan belanja yang amat besar bukanlah satu masalah kritikal bagi PAN yang serba sofistikated dan mempunyai ibu pejabatnya sendiri walaupun baru setahun jagung usianya (dan masih belum ada perlembagaan parti sendiri – setakat yang saya tahulah). Tenaga, kepakaran dan pencatur strategi politik mereka bukan sekadar biasa-biasa, akan tetapi terdiri daripada kalangan professional dan progresif. Tidak dilupakan juga dana politik yang “unlimited”. Sudah tentu urusan logistik bukan satu halangan yang rumit.
Kekalahan yang baru dirasai di Sarawak mungkin sekadar mukaddimah bagi parti proksi DAP ini. Medan sebenar bagi mengukur penerimaan dan kemampuan PAN dari segi politik tentunya berada di Kuala Kangsar. Puluhan ribu ahli PAN tentu sudah bersiap sedia untuk bekerja siang malam bagi mempastikan kemenangan calon mereka.
Dan untuk ahli-ahli Ikram Kuala Kangsar, inilah masanya kamu semua berjuang dan berkorban demi kemenangan calon PAN.
Sekiranya Prof Termizi dicalonkan, pastikan beliau tidak hilang deposit ya.
Muhammad Luttfi Abdul Khalid
SUMBER

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com