innity

pages

Saturday, May 21, 2016

Banjir kilat: Mangsa boleh saman PBT


KUALA LUMPUR - Semua mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di ibu kota baru-baru ini, boleh menyaman pihak berkuasa tempatan (PBT) di mahkamah, namun perlu mempunyai bukti yang disokong oleh pakar berkaitan.

Peguam di firma guaman swasta, Syahredzan Johan berkata, mangsa perlu mengemukakan bukti berkaitan kecuaian atau kelonggaran tanggungjawab oleh PBT sehingga boleh menyebabkan berlaku bencana sebegitu.

"Sebagai contoh, dalam kes ini mangsa boleh dapatkan pakar dalam bidang kejuruteraan yang akan memberi keterangan mewakili pihak mangsa di mahkamah.

"Keterangan yang diberikan adalah berdasarkan bukti-bukti antaranya keterangan daripada saksi, keratan akhbar, gambar insiden dan resit yang melibatkan pembayaran kerosakan aset mereka ekoran kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata proses melibatkan pakar ini biasanya memerlukan kos yang tinggi dan hal itu membuatkan mangsa menganggap ia membebankan dan seterusnya bertindak 'angkat tangan' untuk menyaman pihak berkuasa.

"Tetapi sekiranya PBT menerima tuntutan saman daripada mangsa, mereka (PBT) tidak boleh tidak mengendahkan saman tersebut kerana perlu mengikut perintah mahkamah dan selesaikan segala kes yang berkaitan," katanya.

Namun, beliau turut menggesa PBT agar segera mencari jalan penyelesaian dan bukan menunggu sehingga diambil tindakan oleh mangsa, baharu mahu bertindak.

"PBT perlu tengok semula apa yang perlu dibuat untuk selesaikan permasalahan banjir kilat di ibu negara, hal ini kerana ia melibatkan banyak kerosakan dan kerugian orang ramai," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia berdepan dengan saman oleh mangsa banjir kilat baru-baru ini.

"Jika mereka nak saman, DBKL hanya menunggu kes didengar di mahkamah nanti. DBKL mempunyai peguam khas untuk menyelesaikan urusan ini," katanya kepada Bernama melalui mesej WhatsApps.

Buat masa ini, DBKL sedang membuat pemeriksaan dan pembersihan keseluruhan sistem saliran di kawasan banjir serta beberapa kawasan lain yang dikenal pasti akan terbabit dengan bencana alam itu.

Pada 12 Mei lalu, kejadian banjir kilat di beberapa jalan utama di ibu negara antaranya di Jalan Pantai Baru dan Jalan Tuanku Abdul Halim telah menjejaskan lebih 100 kenderaan yang terperangkap. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com