innity

pages

Saturday, April 9, 2016

[TUDUH ZAKIR NAIK SESAT] MAIN API: PERKASA bagi Amaran kepada Hindraf supaya tak campuri urusan agama Islam


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan gerakan hak asasi manusia Hindu, Hindraf Makkal Sakthi, supaya tidak mencampuri urusan umat Islam dan menuduh pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, sebagai sesat.
 
Malah, Hindraf juga diingatkan supaya tidak membuat tuduhan membabi buta yang mengatakan ajaran Dr Zakir tidak selari dengan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah, berkata gesaan Hindraf menerusi kenyataan Pengerusinya, P Waythamoorthy, supaya kerajaan membatalkan siri jelajah Dr Zakir adalah campur tangan dalam urusan agama Islam.

Beliau mengingatkan bahawa Dr Zakir pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh Kerajaan Malaysia pada 2014 lalu dan beliau juga adalah pendakwah yang istimewa pada peringkat antarabangsa.

“Perkasa memberi amaran keras kepada Hindraf agar tidak menuduh Dr Zakir Naik sebagai ‘deviant foreign preacher’ (pendakwah luar yang sesat).

“Hindraf juga dinasihatkan agar tidak membuat tuduhan yang melulu dan membabi buta. Wahai Whyta! Tolong berhati-hati dalam membuat kenyataan yang menyentuh hal ehwal Islam dan umat Islam.

“Bila pula ajaran-ajaran Dr Zakir tidak selari dengan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah? Sejak bila Whyta pula menjadi ulama dan menghukum Dr Zakir dengan hukuman sedemikian?,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, malam tadi.

Dr Amini Amir berkata, tuduhan bahawa Dr Zakir sebagai fanatik dan ‘…a virus in a pluralistic society. He’s a plague’ juga tidak berasas, prejudis dan biadab, sedangkan kedatangan Dr Zakir ke Malaysia adalah atas undangan pihak berkuasa agama dan memberi banyak manfaat kepada umat Islam.

Beliau menasihatkan Waythamoorthy supaya tidak bermain dengan api dan memberikan bukti yang benar dan kukuh yang mengatakan Dr Zakir mempersenda agama Hindu, dan bahawa beliau memperlekeh agama-agama lain serta mazhab-mazhab dalam Islam.

“Pelabelan oleh Darul Ulum bahawa Dr Zakir adalah Ghair Muqallid bukanlah bermaksud bahawa beliau sesat.

“Ghair Muqallid bermaksud tidak bertaklid iaitu beliau tidak mengikut secara semborono mana-mana pandangan mazhab kerana beliau boleh memahami asas pembentukan hukum berasaskan disiplin ilmu-ilmu yang penting dalam Islam.

“Wahai Whyta, adakah anda faham apa yang anda perkatakan?,” katanya.

Beliau berkata, Waythamoorthy juga amat keliru apabila menuduh Dr Zakir sebagai ‘was noted for encouraging and promoting sectarianism within Islam besides having acquired a reputation for making insensitive and disparaging remarks about other religions including mocking Hindu beliefs’.

“Waythamoorthy berkata ‘He chose Terengganu, which is almost all Muslim, probably because he wants to create a sectarian following in the state and spread out from there’.

“Perkasa ingin menasihatkan Whyta agar tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dengan membuat tuduhan yang tidak tepat seperti di atas. Apakah Hindraf tidak mempunyai intelektual yang mempunyai intellectual honesty?,” katanya.

Dr Amini Amir meminta Hindraf memberi perhatian kepada kebajikan ahli-ahlinya yang terbiar.

“Hindraf perlu tanya kepada diri sendiri, adakah kewujudan mereka memberi kebaikan kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dalam negara Malaysia yang kita cintai ini.

“Kenapa Hindraf selalu membuat masalah dalam negara ini? Apakah Hindraf sudah kehilangan modal, lantas bermain dengan isu picisan sebegini?,” katanya.

Dr Zakir Naik dijadual akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Is the Quran God’s Word?’ di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 16 April akan datang. - ismaweb

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com