Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester berkata, laporan itu menunjukkan kedua-dua serpihan adalah dari sayap pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang itu.

“Penstensilan pada ke­­dua-dua ba­hagian serpihan memberi penyiasat bukti hubung kait. Fon dan warna pada nombor yang distensilkan pada bahagian pertama menyamai apa yang di­bangun­kan dan diguna­kan oleh Ma­laysia Airli­nes.

“Bahagian kedua mengandungi perkataan No Step dengan penstensilan konsisten dengan yang digunakan Malaysia Airlines dan sebuah pengikat yang dipasang pada bahagian itu membuktikan hubung kait serpihan berkenaan dengan talian pengeluaran pesawat itu.

“Saya berterima kasih dengan pasukan daripada ATSB, Geoscience Autralia, Boeing dan Austra­lian National University di atas tugas mereka,” katanya dalam satu ken­yataan media di dalam laman web kementerian itu hari ini.
Chester berkata, pencarian pesawat hilang itu diteruskan di 20,000 kilometer persegi terakhir.

Beliau berkata, kapal China Dong Hai Jiu 101 yang terlibat dalam pencarian akan digerakkan semula ke kawasan itu selepas penemuan semula peralatan sonar yang hilang dalam pencarian sebelum ini.

“Pada 21 Mac kegagalan pen­yambung kabel penunda mengakibatkan kehilangan peralatan sonar daripada Dong Hai Jiu 101,” katanya.

Chester berkata, beliau merasa gembira kerana peralatan sonar itu telah berjaya dikeluarkan dari dasar lautan.
“Ia akan diperiksa dan diuji sebelum kapal itu kembali ke kawasan pencarian,” katanya.

Kedua-dua serpihan itu ditemukan berasingan di Mozambique pada Disember tahun lepas dan Februari tahun ini.

Pesawat malang yang membawa 227 penum­pang dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pada masa ini, usaha men­cari dilakukan di selatan Lautan Hindi yang mana laluan penerbangan MH370 dipercayai berakhir.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Teknikal Peringkat Tinggi (HLTTF) MH370, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, Malaysia, China dan Australia akan meneruskan komitmen penca­rian kehilangan MH370 dengan me­numpukan di sekitar Lautan Hindi meskipun beberapa serpihan dipercayai milik pesawat itu ditemukan jauh dari kawasan tersebut.

Menurutnya, pihaknya percaya serpihan ditemukan adalah bahagian kecil dibawa arus tetapi bahagian utama lebih besar masih di Lautan Hindi.

“Jika ada sebarang maklumat yang ditemukan, perbincangan antara pakar dan operasi akan te­rus dipergiat. Kita akan terus fokus dengan pencarian di kawasan tumpuan seperti sebelum ini,” katanya.

“Walau bagaimanapun, kita akan meneliti sebarang keputusan analisis daripada pakar tentang penemuan serpihan bagi meneruskan misi pencarian bangkai pesawat yang utama di Lautan Hidi,” katanya – BERNAMA