Menurut MAB, Mueller yang meminta sendiri penamatan tersebut akan terus berkhidmat bersama MAB sehingga September ini sebagai memenuhi notis enam bulan peletakan jawatannya.

Namun pada masa sama, beliau melahirkan hasratnya untuk terus kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MAB selaku Pengarah Bukan Eksekutif.

“BOD menerima hasrat beliau itu untuk meninggalkan syarikat lebih awal ekoran hal-hal peribadinya, dan pencarian CEO baharu telah dimulakan dengan menilai calon-calon yang berpotensi sama ada dari dalam atau luar syarikat,” jelas MAB dalam kenyataannya hari ini.

Mueller dilantik sebagai CEO syarikat secara rasmi pada 1 Mei 2015 menggantikan Ahmad Jauhari Yahya. Beliau sebelum itu menyertai Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) sebagai Pengarah Bukan Eksekutif bermula 1 Januari 2015 dan pemangku CEO MAB bermula 1 Mac 2015.

Beliau dilantik bagi mengetuai MAB sebagai antara usaha menjayakan 12 Pelan Pemulihan syarikat penerbangan negara itu yang diumumkan oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) pada 29 Ogos 2014. Antara kandungan pelan pemulihan itu, Mueller perlu mengenal pasti calon tempatan yang bakal menggantikan tempatnya.

Pengerusi MAB, Tan Sri Md. Nor Yusof berkata, pihaknya kecewa dengan pengumuman tersebut namun memahami dan menghormati keputusan Mueller.

Kata beliau, syarikat telah melantik Ketua Pegawai Operasi, Peter Bellew sebagai Pengarah Eksekutif di dalam BOD MAB dengan serta-merta. Bellew akan menyertai Ketua Pegawai Kewangan, Omar Siddiq yang juga Pengarah Eksekutif BOD syarikat.

“Keseluruhan kakitangan syarikat mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau untuk menjayakan penstrukturan Malaysia Airlines. Pada masa sama, BOD kini memulakan pencarian CEO baharu dengan dibantu Mueller sebagai Pengarah Bukan Eksekutif untuk melicinkan perubahan kepemimpinan syarikat,” kata Md. Nor.

Dalam kenyataan itu juga, Mueller berkata, beliau berbesar hati kerana diberi peluang untuk mengetuai MAB walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Saya kini akan meneruskan khidmat untuk tempoh enam bulan lagi. Tetapi malangnya, atas sebab-sebab peribadi agak sukar untuk saya memenuhi tempoh kontrak yang diberikan. Syarikat penerbangan ini sedang disusun semula dan diperkukuhkan untuk mengembalikan kedudukan sebenarnya.

“Saya yakin syarikat berada di landasan yang betul untuk berjaya di peringkat seterusnya di bawah kelolaan CEO baharu. Saya komited untuk melakukan apa sahaja yang termampu untuk memulihkan semula Malaysia Airlines,” katanya.