innity

pages

Thursday, June 19, 2014

(MP BARU TAK RETI PERATURAN DEWAN) Shahidan: MP pembangkang terlalu emosi


KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata wakil-wakil rakyat pembangkang terlalu emosi dalam membantah penggantungan Ahli Parlimen PKR Padang Serai, N.Surendran sehingga mereka mengabaikan fakta dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berkata mereka juga memperlihatkan sikap tidak profesional apabila enggan mendengar arahan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.
    
"Kita mengikut persetujuan (lulus usul), kalau nak bahas buatlah (undi) belah bahagi. Perlu ada permohonan  daripada mana-mana anggota dewan untuk buat (undi) belah bahagi... tetapi tiada orang yang mohon, maka keputusan ini berdasarkan suara," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, hari ini.
    
Beliau berkata demikian bagi mengulas kemarahan dan rasa tidak puas hati pembangkang terhadap keputusan menggantung Surendran, hingga menyebabkan persidangan hari terakhir Dewan Rakyat ditangguhkan pada 12.45 tengah hari.
    
Usul itu diluluskan selepas undian suara, namun dibantah Ahli Parlimen pembangkang yang mempertikaikan tindakan Kiandee tidak membenarkan usul itu dibahas atau memberi peluang kepada Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin (Pas) untuk membuat penjelasan.
   
Hanipa sebelum ini membantah usul itu kerana menurutnya, ia tidak memenuhi kehendak Peraturan Mesyuarat 27 (3) dan tidak membawa kepentingan rakyat.
    
Ini kali kedua Surendran yang juga Naib Presiden PKR digantung selama enam bulan atas kesalahan menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Kali pertama pada November tahun lepas.
    
Sambil mempertahankan keputusan Kiandee, Shahidan berkata: "Semua (pembangkang) tidak mahu bahas, tidak bahaslah. Banyak usul yang tidak dibahas dan diluluskan  kerana apa juga usul, kalau dibentangkan dan orang tidak bahas, kita lulus. Jadi, semuanya telah mengikut prosedur dan  peraturan."
    
Sementara itu, Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang)  mendakwa pembangkang silap membuat tafsiran terhadap Peraturan Mesyuarat sehingga membawa kepada kekecohan yang tidak sepatutnya berlaku.
    
"Contohnya, Hanipa Maidin (Pas-Sepang) tersalah tafsir Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang perlu dibaca bersama dengan Peraturan Mesyuarat 43, yang mana usul perlu dikeluarkan satu hari sebelum dibentang dan keputusan Speaker adalah muktamad.
    
"Saya lihat pembangkang tafsir peraturan itu sendiri dan kemudian membuat keputusan," katanya.
    
Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pula berpendapat tindakan Kiandee boleh memberi pengajaran kepada Ahli Parlimen supaya menghormati keputusan Speaker atau Timbalan Speaker. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com