innity

pages

Sunday, June 22, 2014

(#BenciImigresenRasuah) Jangan Tahan, biarkan Pati pulang beraya… – Rozaman Ismail


Dua kejadian bot karam di perairan Sepang dan Sungai Air Hitam, Pulau Carey kelmarin, tidak ubah seperti ulang tayang beberapa kejadian yang sama setiap kali menjelang Ramadan atau Syawal.
Saban tahun ada sahaja cerita bot yang membawa pendatang asing tenggelam di tengah laut. Puncanya masih tetap sama, terlebih muatan. Jumlah penumpang 'disumbat' ke dalam bot nelayan atau bot pancung melebihi kapasiti yang dibenarkan.
Kalau cuaca elok sampailah mereka ke destinasi. Kalau cuaca buruk, dipukul badai besar sehingga berlaku kerosakan bot, tenggelamlah mereka. Sesetengah yang bernasib baik diselamatkan kapal dagang, tetapi kebanyakannya hilang atau ditemui mati.
Oleh kerana terlalu kerap sangat berlaku, berita seumpama ini bukan sesuatu yang mengejutkan lagi.
Sebelum dua kejadian ini, sekurang-kurangnya 10 kejadian bot karam melibatkan pendatang asing berlaku sejak 2010. Ini tidak termasuk insiden-insiden kecil lain yang tidak dilaporkan.
Setiap kali menjelang bulan puasa atau pada pertengahan Ramadan, beribu-ribu pendatang asing yang mencari rezeki di negara ini akan mula meninggalkan Malaysia. Mereka mahu berpuasa dan menyambut lebaran di negara mereka.
Bagi yang mampu dan datang secara sah, mereka boleh memilih pengangkutan udara iaitu kapal terbang.
Banyak syarikat penerbangan tambang murah menawarkan tiket murah sepanjang masa, musim perayaan apatah lagi. Yang kurang berkemampuan pula memilih feri atau kapal laut.
Bagi yang masuk sebagai pendatang haram pula, mereka juga akan keluar secara haram menerusi jalan laut. Itu cara yang paling mudah untuk mengelakkan ditangkap. Mereka diangkut menaiki tongkang, bot pancung atau bot nelayan.
Bagaimanapun pengangkutan ini paling tidak selamat. Banyak kes bot karam melibatkan pengangkutan jenis ini.
Walaupun paling murah tetapi harga yang perlu dibayar sangat mahal iaitu mempertaruhkan nyawa.
Oleh kerana sebahagian besar Malaysia dikelilingi laut, tidak susah untuk mereka keluar masuk secara haram. Terlalu banyak pangkalan atau jeti haram dibina. Satu ditutup pihak berkuasa, 10 jeti baharu muncul. Lokasinya juga berubah-ubah.
Antara pangkalan haram yang dikenal pasti pihak berkuasa terletak di Batu Pahat, Pontian, Pengerang dan Muar di Johor, Kuala Langat, Sungai Kesang, Pulau Carey, Banting dan Tanjung Sepat di Selangor serta Port Dickson di Negeri Sembilan.
Sindiket berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan 'balik kampung' ini kerana perniagaan itu sangat menguntungkan.
Mereka hanya perlu menyediakan bot pancung atau bot nelayan sahaja. Lagi banyak penumpang dapat diisi, lagi besar untungnya. Faktor keselamatan soal kedua. Segala risiko ditanggung penumpang.
Sejurus selepas bot berlepas, biasanya di tengah malam, ejen-ejen terlibat sudah boleh cuci tangan. Mereka tidak peduli lagi apa yang berlaku di tengah lautan. Kalau sampai ke destinasi, syukur! Kalau karam di tengah lautan, mereka 'bersembunyi'.
Mangsa yang terselamat kalau pun ada, tidak tahu kepada siapa mahu mengadu. Malah kebanyakannya tidak tahu siapa ejen yang menguruskan mereka balik. Mangsa juga tidak berani mengadu kerana mereka sendiri berstatus pendatang tanpa izin.
Setakat ini menurut polis, masih tidak ada waris atau saudara-mara yang datang untuk menuntut atau membuat pengecaman ke atas mayat tragedi itu.
Waris mereka mungkin takut berbuat demikian atau mereka sememangnya tidak mempunyai saudara-mara di Malaysia. Kebanyakan mayat yang ditemui pula tidak beridentiti.
Kesimpulan awal bolehlah dikatakan mangsa-mangsa adalah pendatang asing tanpa izin (Pati). Sudah tentu mereka adalah sebahagian daripada beribu-ribu Pati yang berjaya menyembunyikan diri sewaktu kerajaan melancarkan operasi besar-besaran tidak lama dahulu.
Seperkara yang jelas, setiap kali berlaku insiden bot karam, kerajaan terpaksa menanggung bebannya.
Beban utama adalah kos yang terpaksa dikeluarkan. Pihak berkuasa khususnya agensi-agensi keselamatan seperti polis, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela serta yang lain bertungkus lumus siang dan malam dalam operasi mencari dan menyelamat.
Semua itu memerlukan kos. Itu tidak termasuk kos rawatan perubatan bagi yang terselamat atau mengalami kecederaan. Kerajaan juga perlu mengeluarkan kos pengebumian bagi yang meninggal dunia dan mayat tidak dituntut.
Semua itu kerajaan lakukan atas dasar perikemanusiaan.
Selama ini pun kerajaan terpaksa menanggung 'kos sara hidup' setiap Pati yang ditahan di depot tahanan di seluruh negara sebanyak RM75 sehari atau RM2,250 sebulan. Kos itu sebenarnya lebih tinggi daripada gaji sesetengah penjawat awam!
Oleh kerana kos menyara Pati sangat besar dan meningkat setiap tahun, ada pihak menyarankan kerajaan menggunakan pendekatan yang lebih bijak.
Antaranya Pati yang mahu keluar dari negara ini jangan lagi ditangkap. Tahan mereka sekadar untuk diambil butiran peribadi, cap jari bagi sistem biometrik. Kemudian lepaskan mereka kembali ke negara masing-masing.
Menangkap dan menahan mereka sekadar menambahkan lagi beban kerajaan.
Langkah itu boleh dimulakan untuk musim perayaan tahun ini. Biarkan mereka pulang beraya. Selepas puas beraya dan wang simpanan pun sudah habis, mereka pasti mahu kembali.
Pada masa itu, pertingkatkan operasi bagi menghalang mereka kembali secara haram lagi ke sini. – www.utusan.com.my, 21 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com