KOTA BHARU - Episod kemarahan penyokong The Red Warriors terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin meningkat, apabila lebih 500 penyokong mereka mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, petang ini.
Perhimpunan tersebut sebagai membantah tindakan badan induk bola sepak kebangsaan itu, yang dilaporkan bakal menggantung Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ekoran kritikan beliau terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini.
Annuar juga Timbalan Presiden FAM.
Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain menyifatkan terdapat 'tangan-tangan ghaib' yang mahu menyingkirkan Annuar daripada terus memegang jawatan dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.
"Lebih menyulitkan keadaan apabila Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) sendiri bertitah dengan mengatakan kesalahan yang dilakukan oleh Annuar itu amat besar.
"Tindakan ini dilihat mendahului keputusan jawatankuasa disiplin yang hanya akan bersidang pada Rabu ini," katanya.
Nasib Annuar hanya diketahui apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak bersidang Rabu ini bagi mendengar pertuduhan yang dikemukakan ke atas beliau.
Annuar sebelum ini berkata beliau akan menerima apa saja keputusan yang bakal dibuat oleh FAM.
Web FAM digodam lagi
KUALA LUMPUR - Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikesan telah digodam sekali lagi oleh pihak tidak ber tanggungjawab, semalam.
Laman web tersebut, www.fam. org.my didapati tidak lagi berfungsi seperti biasa.
Sebaliknya ia mempamerkan beberapa ilustrasi dan gambar yang bertujuan meluahkan rasa kecewa peminat bola sepak negara terhadap persatuan itu.
Laman web yang digodam dengan latar belakang warna merah meletakkan gambar muka individu diubahsuai dengan meletakan pita pelekat di mulut yang bertulis 'FAM do not critic'.
Ilustrasi dua karakter kartun terkenal The Simpsons turut dipamerkan di dalam laman web tersebut, iaitu karakter Homer Simpson sedang mencekik anaknya, Bart Simpson yang turut disertakan dialog.
Provokasi terbaru itu mungkin bertujuan memalukan badan induk bola sepak negara itu.
Ia berlaku sehari selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkata, timbalannya, Tan Sri Annuar Musa akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara pada 4 April ini.
Ini kerana Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan didakwa secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di ba wah kendalian Da tuk K. Rajagobal di media, baru-baru ini.
Sultan Ahmad Shah berkata, Annuar perlu berdepan dengan jawatankuasa itu kerana tindakannya ternyata melanggar peraturan badan induk bola sepak negara kerana apa yang dilakukannya merupa kan satu kesalahan yang amat besar.
Malah pada September 2007 juga laman web FAM digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengubah carta kedudukan liga dan penjaring gol terbanyak.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Jailani Johari ketika dihubungi mengesahkan tentang laman web itu telah digodam, namun mereka masih belum menerima sebarang laporan dari FAM.
"SKMM membantu FAM untuk monitor serta mengaktifkan kembali laman web tersebut.
"Bagaimanapun kita tetap menasihati FAM supaya membuat laporan polis untuk disiasat di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 untuk tindakan lanjut," katanya.















































