iklan nuffnang

pages

Sunday, July 31, 2011

'Kejadian Khalwat Adalah Dugaan' - Norman Hakim

KUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim,35, pada Jumaat, tidak pernah menyangka akan menangis apabila mengetahui dirinya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan Memey Suhaiza,23,

"Saya tidak pernah menjangkakan akan berada dalam keadaan yang sangat emosional sebegini," katanya yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan solat sunat syukur selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini tamat.

Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon juga menyifatkan apa yang berlaku adalah dugaan buat dirinya dan Memey.

Katanya lagi, Allah tidak memilih orang untuk diuji jika tahu dia tidak mampu untuk menghadapinya.

"Alhamdulillah dengan didikan orang tua, saya boleh menerima semua dugaan dan cubaan. Ini hanya satu fasa dalam kehidupan saya.

"Saya juga tidak akan berdendam dengan sesiapa dalam kes ini, malah saya reda jika ada orang yang dengki dengan saya," katanya.

Tambah pelakon drama “Wali” ini, setiap kali rasa dendam itu hadir, dia menyedekahkan Al-Fatihah kepada orang terbabit selepas disarankan untuk berbuat demikian oleh seorang ustaz.

Sementara itu, Memey yang hadir di mahkamah bersama Norman, menyifatkan keputusan tersebut sebagai 'hadiah perkahwinan' mereka yang akan berlangsung pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

"Ini semua berkat kesabaran dan doa kedua-dua belah keluarga. Syukur, sekarang bila saya mahu kahwin, rezeki datang dan segala perkara dimudahkan sampai ada pihak yang mahu menaja sehingga RM12 juta," katanya sebak.

Bakal pengantin baru itu hanya tersenyum apabila disoal berhubung perancangan hidupnya selepas bergelar isteri dan menjawab, dia kini sudah bersedia untuk menempuh fasa seterusnya.

Pada Jumaat, Hakim Syarie Selamat Yatim melepas dan membebaskan pasangan tersebut daripada tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008.Pendakwaan terhadap Norman dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey dituduh mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.

Mereka yang didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 20 Januari 2009 kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Norman juga sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi dan bercerai pada 18 September 2008.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3

Palanivel Naik Pangkat Jadi Menteri Penuh

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan pelantikan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri mengumumkan berkenaaan pada mesyuarat Agung Tahunan ke-65 MIC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

"Sekarang MIC perlu melakukan tugasnya dengan baik dan kami (kerajaan) bolehmelakukannya dengan baik untuk menunjukkan keikhlasan kami.

"Selaras dengan komitmen kami untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat India, saya mengusulkan untuk menjadikan G.Palanivel sebagai menteri penuh," katanya.

Palanivel menyertai kabinet Najib pada Jun 2010 apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahan, Perladangan dan Komoditi.

Beliau dilantik secara rasmi sebagai Presiden MIC kelapan menggantikan Datuk Seri S Samy Vellu yang menyandang jawatan itu selama 31 tahun pada 6 Disember 2010.

Dilahirkan pada 1 Mac, 1949, Palanivel mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya dengan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1972.

Beliau kemudiannya bertugas sebagai pensyarah Ekonomi dan Sejarah di MaktabKadir Adabi di Kuantan sebelum menjadi Pengarah Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Pulau Pinang.

Beliau turut bertugas sebagai pegawai penyelidik di Muzium Negara (Projek Lembah Bujang) sebelum menyertai Bernama pada April 1977 dan dilantik sebagai Editor Berita Meja Ekonomi pada 1984.
Penglibatan Palanivel dalam arena politik bermula pada 1987 apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Samy Vellu.

Pada pilihan raya umum 1990, Palanivel bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor yang disandangnya sehinggalah beliau tewas dalam pilihan raya umum 2008.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Senator pada Mei, 2010.

Friday, July 29, 2011

Ahli Parlimen Sungai Siput Mula Mogok Lapar


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar yang kini ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 pada Khamis melancarkan mogok lapar.

Isteri Jeyakumar, R. Mohana Rani berkata tindakan mogok lapar itu akan berterusan sehingga semua enam tahanan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dibebaskan.

"Jeyakumar telah memberitahu saya bahawa beliau akan mulakan mogok lapar bermula hari ini untuk mendapatkan keadilan.

"Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua enam anggota PSM dibebaskan atau dituduh dimahkamah," katanya.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di Ipoh, Perak, Mohana berkata tindakan berkenaan diambil kerana hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadap penahanan aktivis PSM mengikut Ordinan Darurat.

"Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau, tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar," katanya.

Mohana berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Jeyakumar sewaktu diberi peluang untuk menemui suaminya itu pada 11 pagi Rabu.

Menurut Mohana lagi, Jeyakumar mendakwa soal siasat polis keatasnya dibuat menjurus untuk mewujudkan 'cerita karut' bagi melanjutkan tempoh tahanan.

"Menurut Jeyakumar, beliau telah memberi kerjasama penuh sejak direman di mana beliau telah menandatangani tiga laporan termasuk laporan 45 muka surat di Pulau Pinang.

"Sekarang Polis Cawangan Khas telah sediakan laporan dengan 80 muka surat tetapi beliau buat keputusan tidak akan menandatanganinya kerana melihat kesemua siasatan sebagai sia-sia," katanya

Thursday, July 28, 2011

DAP memperkuda Teoh Beng Hock dari hidup sampai Mati


Laporan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja menyiasat kematian Teoh Beng Hock jelas menyatakan bahawa Teoh telah membunuh diri.

Rumusan suruhanjaya itu, yang bersidang selama 50 hari dan mendengar/mengumpul keterangan dari 70 saksi termasuk pakar dari dalam dan luar Negara, jelas menyatakan Teoh Beng Hock telah MEMBUNUH DIRI.

Ramai berpendapat berjuta ringgit wang rakyat terpaksa dibazir akibat tindakan segelintir pihak yang mempolitikan isu kematian Teoh Beng Hock.

Agak pelik kenapa Suruhanjaya Siasatan Di-Raja harus menyiasat sesuatu kes bunuh diri namun kerana isu bunuh diri Teoh Beng Hock telah di-jaja sedemikian rupa sehingga kelangsungan politik menjadi pertaruhan, kebenaran terpaksa dirungkai dengan kos yang begitu tinggi. Sentimen perkauman yang dimainkan pemimpin politik pembangkang terpaksa disanggah.

Hasilnya kebenaran terserlah tetapi yang dahulunya mendesak agar diadakan suatu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja telah mula mempersoalkan keputusan Suruhanjaya yang di-tauliahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sendiri.

Apa kesudahannya ?

Saya menyeru agar ahli-ahli politik dan pemimpin DAP tidak asyik menuding jari kepada pihak lain. Lihat lah juga pada kesalahan sendiri dan dosa kamu keatas Teoh Beng Hock dan keluarga nya.

Cuba tuan-tuan cerdik pandai didalam DAP dan ilmuan diluar yang menyokong DAP bertanyakan beberapa soalan yang penting dalam kes bunuh diri Teoh Beng Hock?

Teoh Beng Hock bekerja untuk siapa?

Kenapa Teoh Beng Hock berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia @ Shah Alam pada hari kejadian?

Apakah kes yang di-siasat (SPRM) sehingga Teoh Beng Hock sanggup membunuh diri daripada bekerjasama dengan pihak SPRM untuk mendakwa sipelaku rasuah yang disiasat?

Pada pendapat saya DAP dan pemimpin nya selaku majikan Teoh Beng Hock harus lebih bertanggungjawab dalam kes ini.

DAP harus bertanggungjawab keatas kematian Teoh Beng Hock dan tidak secara terus-menerus mencari kambing hitam untuk dipersalahkan.

Ahli politik DAP, terutamanya segelintir yang lidah bercabang di dalam dan di luar mahkamah, harus berhenti memperkudakan keluarga Teoh Beng Hock demi kelangsungan politik mereka.
Janganlah secara terus menjaja kes bunuh diri ini sebagai suatu pembunuhan kerana laporan Suruhanjaya

Siasatan Di-Raja amat jelas.

Kesimpulan nya, Teoh Beng Hock membunuh diri ketika sedang di-siasat pihak SPRM berhubung laporan rasuah pemimpin DAP diSelangor. Ini fakta yang cuba diputarbelit pihak tertentu agar kepincangan mereka tidak timbul.

Kepincangan DAP telah mengakibatkan Teoh Beng Hock membunuh diri.

Kepincangan DAP mengaitkan Teoh Beng Hock dalam kes rasuah dan hal-hal bersangkut paut dengan pemberian kontrak di negeri Selangor.

Kenapa hanya pihak lain di-persalahkan dan bukan nya DAP?

Saya berharap agar pemimpin DAP akan sedar dari kerakusan nafsu politik mereka dan bersifat lebih bertanggungjawab di-atas kematian Teoh Beng Hock.

Setidak-tidak nya DAP harus memohon maaf kepada kedua ibu-bapa dan “teman wanita’ Teoh Beng Hock kerana secara tidak langsung telah menyebabkan kematian Teoh Beng Hock.

DAP juga harus membayar sejumlah wang sebagai pampasan kepada keluarga Teoh Beng Hock.

Jika pemimpin DAP benar-benar bersih dan tidak bergelumang dalam gejala rasuah serta salah guna kuasa di-Selangor, mungkin Teoh Beng Hock masih hidup hari ini.

Terima Kasih
Zahrain Mohamed Hashim
Ahli Parlimen Bayan Baru

Wanita Islam Dilarang Bekerja Sebagai GRO Di Kuantan Mulai Tahun Depan


KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan menguatkuasakan larangan wanita Islam menjadi pelayan pelanggan atau GRO di semua pusat hiburan di bandar ini pada tahun depan.

Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob berkata keputusan itu diluluskan pada mesyuarat MPK di sini Rabu dan tarikh penguatkuasaannya akan ditetapkannanti.

Beliau berkata semua ahli majlis MPK bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum ini agar umat Islam dilarang bekerja di pusat hiburan yang menghidangkan minuman keras di bandar ini.

"Hasil kajian yang dilakukan mendapati 85 peratus pekerja pusat hiburan terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan mereka terdedah untuk meminum minuman yang memabukkan itu.

"Selain itu, ianya juga secara tidak langsung memberi kesan negatif apabila GRO beragama Islam, sekalipun tidak meminum tapi mengangkat dan menghidangkan minuman keras kepada pelanggan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPK.

Katanya, berdasarkan beberapa siri pemeriksaan yang dijalankan pihak JAIP, kastam, polis, imigresen dan MPK mendapati ramai pekerja pusat hiburan terlibat meminum minuman keras.

Zulkifli berkata selain itu GRO juga sering dikaitkan dengan masalah sosial dan perbuatan tidak bermoral.

"Di samping itu, kita juga akan mempertingkatkan kerja-kerja operasi bersepadu di kalangan agensi penguatkuasa bagi mencegah orang Islam meminum minuman keras," katanya.

Wednesday, July 27, 2011

Angkatan Muda PKR Buat KACAU lagi



TAK sudah-sudah nak buat kacau cara PKR, hari ini di KL Sentral sekumpulan ahli Angkatan Muda parti itu bertindak luar batasan bila cuba menyerbu ke arah Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Najib Tun Razak dan rombongannya.

Kisahnya begini, Perdana Menteri sepatutnya menghadiri pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang sempena hari kemerdekaan yang dijadualkan di KL Sentral pada Rabu.

Najib yang tiba menaiki Express Rail Link (ERL), daripada Putrajaya menuju ke KL Sentral. Termasuk dalam rombongan perdana menteri adalah timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussain.

Mereka disambut oleh ahli PLKN yang membuat barisan untuk bersalaman dengan beliau.
Tiba di sebuah restoran makanan segera sebelum menaiki escallator, sekumpulan pemuda berbaju kuning tiba-tiba 'menyerbu' sambil menjerit 'reformasi' dan 'hidup rakyat'.

Kumpulan ini seramai tujuh ke 10 orang itu dipercayai cuba menyerahkan memorandum Bersih kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun,  pengawal keselamatan Perdana Menteri sempat menghalang dan mereka kemudiannya ditahan oleh polis.


Menurut saksi kepada Agendadaily, kelakuan ahli AMK itu macam 'budak-budak' dan langsung tidak menunjukkan hormat kepada pemimpin negara.

"Mereka hanya bertujuan untuk buat provokasi kepada pihak berkuasa,"katanya.

Beliau memuji pihak berkuasa yang bertindak pantas menghalang kumpulan pengacau tanpa menimbulkan kejadian tidak diingini.

Agendadaily difahamkan, semua yang ditahan kini berada di balai polis Jalan Travel untuk diambil keterangan.-27/7/2011

FDI Ke Malaysia Dijangka Cecah RM29 Bilion Tahun Ini


KUALA LUMPUR: Pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dijangka mencecah AS$10 bilion tahun ini, melepasi AS$9.1 bilion yang direkodkan tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pemulihan trend FDI dunia yang disokong oleh inisiatif kerajaan seperti program transformasi ekonomi (ETP), merupakan pemacu utama pelaburan asing itu.

"Berdasarkan pertanyaan yang diterima MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysua) dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa Industri), kami yakin minat yang lebih kukuh tahun ini," katanya selepas melancarkan Laporan Pelaburan Dunia Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2011 di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Jalilah Baba, penyelaras residen Malaysia Kamal Malhotra dan ketua cawangan isu dan trend pelaburan bahagian pelaburan dan perusahaan UNCTAD Masataka Fujita.

Mustapa berkata pada suku pertama sahaja, jumlah FDI memasuki Malaysia bernilai AS$3.7 bilion yang bersamaan 40 peratus daripada keseluruhan FDI ke Malaysia tahun lepas.

Dengan prestasi separuh kedua diunjurkan lebih baik berbanding separuh pertama, hasil rangsangan pelaksanaan projek-projek Program Transformasi Ekonomi, unjuran AS$10 bilion itu mampu dicapai, katanya.

Tahun lepas jumlah FDI ke Malaysia mencatat paras tertinggi AS$9.1 bilion, peningkatan 536 peratus berbanding AS$1.43 bilion pada 2009, berikutan kdudukan ekonomi yang lebih baik yang pulih daripada krisis kewangan pada tahun sebelumnya.

Laporan UNCTAD itu menyediakan data menyeluruh daripada sumber yang sah serta analisis mengenai trend global ke atas pelaburan, pembangunan perusahaan dan isu berkaitan.

Bertajuk "mod bukan ekuiti pembangunan dan pengeluaran antarabangsa" , laporan itu juga mengunjurkan FDI global akan berkembang lima peratus tahun ini untuk mencecah paras prakrisis sebanyak US$1.4 trilion-US$1.6 trilion.

Trend itu dijangka berterusan dan mencecah AS$1.9 trilion pada 2013, yang bersamaan dengan kemuncak FDI global pada 2007.

Tuesday, July 26, 2011

Penyokong Bersih Gagal Kawal Emosi, Wacana Kecoh


SHAH ALAM: Selepas kekecohan di ibu negara pada 9 Julai lalu, penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) masih gagal mengawal emosi termasuk sewaktu menghadiri diskusi ilmiah mengenai hala tuju gabungan berkenaan pada Selasa.

Selain mencetuskan suasana bising hingga menggangu kelancaran majlis, terdapat juga sebahagian penyokong kumpulan berkenan hampir bertindak kasar kepada salah seorang penonton apabila mengemukakan soalan yang tidak disenangi mereka.

Kekecohan yang berlarutan hampir sepuluh minit itu terpaksa diredakan oleh moderator wacana anjuran akhbar Sinar Harian tersebut, Wan Saiful Wan Jan dengan dibantu oleh petugas unit keselamatan penganjur.
Ketegangan berkenaan berlaku pada sesi soal jawab bersama penonton apabila seorang peguam,

Kamaruddin Ahmad mengemukakan soalan kepada Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga.

Beliau yang mahu mendapatkan penjelasan bekas Presiden Majlis Peguam itu sama ada Bersih mahu meneruskan beberapa siri perhimpunan haram lain yang menurutnya tidak mengikut undang-undang dan mencabul Perlembagaan Persekutuan akhirnya di 'boo' oleh majoriti penyokong Bersih yang hadir.

Bukan sahaja dikecam kerana mengemukakan soalan sedemikian, malah beberapa penonton yang hadir bangun dari tempat masing-masing dan menyerbu ke arah Kamaruddin.

Bagaimanapun tiada insiden tidak diingini berlaku apabila unit keselamatan penganjur bertindak pantas meleraikan ketegangan.

Bukan itu sahaja, Wan Saiful yang juga Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), turut beberapa kali menegur penonton yang hadir agar bertindak profesional serta menghormati majlis ilmu berkenaan.

Teguran berkenaan dibuat selepas penyokong Bersih secara kerap 'mengganggu' Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengemukakan pandangan.
"Saya hampir kecewa dengan gelagat saudara sekalian, tolong hormati majlis ilmu ini...kalau anda berterusan membuat bising, kita terpaksa hentikan perbincangan hari ini," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad ketika menjawab soalan turut melahirkan kekecewaan apabila penonton yang hadir tidak terbuka menerima pandangan yang dikemukakan.

Menurutnya sikap berkenaan mencerminkan bahawa penyokong Bersih yang hadir itu sememangnya tidak berminat mendengar pandangan yang bertentangan dengan pendirian mereka melainkan jika berpihak kepada matlamat Bersih.

"Anda tidak terbuka mendengar penjelasan, saya sendiri sanggup hadir kerana mahu berhadapan dengan Bersih...saya ingin beri penjelasan tentang lapan tuntutan Bersih.

"Tapi tindakan anda tidak mencerminkan kematangan terutamanya ketika menghadiri majlis ilmu," katanya.

Saturday, July 23, 2011

Tajaan Perkahwinan Norman, Memey Bernilai RM12 Juta

KUALA LUMPUR: Pasangan Norman Hakim,35, dan Memey Suhaiza, 23, bakal mengadakan sebuah majlis perkahwinan bernilai RM12 juta pada 28 September ini di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini yang ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Menurut wakil Rafflesia selaku perancang perkahwinan pasangan itu, Bill Bora, sebanyak enam penaja yang akan bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lords Tailor, Snips, Angsana Spa, Crown Plaza, Naz(pereka pelamin dan dewan) dan Prof. Datuk Jimmy Choo.
"Memey akan memakai sebanyak dua persalinan baju dan antara tajaan yang diterima ialah, set barangan kemas yang bernilai RM5.6 juta, gaun bertatahkan mutiara Rafflesia bernilai RM1 juta dan kasut rekaan Jimmy Choo (RM600 ribu).
"Bagi persalinan gaun, kami memberi peluang kepada semua pereka fesyen tempatan untuk menghantar rekaan masing-masing dan pihak Rafflesia akan memilih yang terbaik di mana rekaan tersebut mestilah berpadanan dengan mutiara yang dipadankan itu," katanya pada sidang akhbar penajaan perkahwinan Norman dan Memey di Hotel Crown Plaza, di sini, Jumaat.
Tambah Bill, tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan New York Look dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.
Lebih menarik lagi beberapa selebriti antarabangsa turut dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut dan perkahwinan ini mungkin boleh dianggap sebagai 'Wedding of The Year'.
Norman dan Memey bakal bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan pada keesokan harinya, resepsi di rumah pihak perempuan akan diadakan.
Kata Norman, pada mulanya, dia dan Memey bercadang ingin membuat sebuah majlis sahaja di Kota Tinggi dan tidak sangka pula menerima tawaran penajaan untuk resepsi kedua yang begitu besar.
"Sebenarnya kami rasa sangat kerdil apabila menerima tajaan daripada pihak yang bukannya calang-calang orang. Maklumlah, siapalah kami jika dibandingkan dengan selebriti tersohor yang lain.
"Rasa seperti berada di alam fantasi pun ada juga. Tetapi saya anggap tajaan berkenaan adalah rezeki kami dan saya percaya sepanjang kontroversi yang kami lalui sebelum ini ada hikmahnya," ujarnya.
Bagaimanapun Norman tidak menganggap ia sebagai sebuah perkahwinan 'perniagaan' apabila mereka ditaja sepenuhnya pada majlis resepsi kedua itu.
Ditanya pula adakah dia akan menjemput bekas isterinya, Abby Abadi, kata Norman dia semestinya akan menjemput ibu kepada tiga orang anaknya itu iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim, 9, dan Maria Danisha Hakim,3.
"Sudah pasti saya akan menjemput Abby. Lagipun, dia sudah pun menghantar ucapan tahniah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Monday, July 11, 2011

Dato' Saifuddin Tolak Dakwaan Sokong Bersih


PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah pada Isnin menegaskan beliau tidak menyokong Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diadakan di ibu negara Sabtu lepas.

Sambil menolak dakwaan blogger pro-kerajaan yang melabelkan beliau sebagai timbalan menteri pro-pembangkang, Saifuddin tampil menjelaskan pendirian beliau mengenai perhimpunan haram tersebut.

"Saya tidak menyokong Bersih. Saya menyeru kepada 'politik baru'. Justeru saya faham apa yang di bawa oleh Bersih. 'Faham' tidak sama dengan 'sokong'.

“Kalau pun saya setuju dengan salah satu daripada tuntutannya, itu juga tidak sama dengan sokong. Saya tidak sokong Perhimpunan Bersih pada 9 Julai kerana ia perhimpunan haram. Apa yang saya sokong ialah perhimpunan aman, kerana ia sebahagian daripada amalan demokrasi," katanya dalam satu kiriman emel kepada mStar Online di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan blogger papagamo yang mendakwa beliau menyokong Perhimpunan Bersih apabila menulis di laman twitternya yang berbunyi “Saya Tidak Setuju Perhimpunan Bersih, Tapi Tak Payahlah Guna Khutbah Jumaat" dan "Umno not evil and stupid. Some members need to change for the better thats all".

Ekoran daripada jawapannya itu, Saifuddin dilihat mempertikaikan keputusan kerajaan yang menentang perhimpunan haram tersebut.

Blogger berkenaan turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menilai semula kedudukan Saifuddin sebagai Timbalan Menteri kerana beliau dilihat menyokong parti pembangkang.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Saifuddin bagaimanapun enggan memberikan komen mengenainya sebaliknya beliau berkata apa yang penting adalah dia mahu memberi tumpuan serta fokus kepada isu utama yang dibangkitkan.

“Sekiranya kita menggunakan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ada kemungkinan Perhimpunan Bersih dapat diadakan dengan permit polis dan dengan aman.

“Saya tidak menyokong Bersih dan perhimpunannya. Tapi saya juga tidak bersetuju dengan kata-kata kesat yang dilontar terhadap Bersih.

“Ini kerana saya menyeru budaya politik yang sihat dan segar. Saya juga tidak setuju menggunakan fatwa haram terhadap perhimpunan itu. Istilah polis, iaitu perhimpunan haram adalah memadai,” katanya.

Jelasnya, perhimpunan Bersih yang diadakan Sabtu lalu turut meninggalkan kesan kepada Barisan Nasional (BN).

“BN perlu menggunakan komunikasi politik yang lebih baik selepas ini. Ini kerana, sedikit sebanyak, perhimpunan Bersih itu ada meninggalkan kesan,” katanya.

Saifuddin menegaskan beliau mahu meningkatkan kebebasan bersuara di negara ini dan ia telah dilakukan sejak di zaman kampusnya lagi.

"Walau pun Perhimpunan Bersih pada 9 Julai dapat permit polis, saya tidak akan menghadirinya, kerana saya tidak menyokong tuntutan Bersih.

“Secara keseluruhannya pihak polis telah bertindak dengan profesional pada 9 Julai. Namun, sekiranya kita mengambil kira cadangan Suhakam itu, saya yakin polis akan bertindak lebih profesional lagi pada hari tersebut,” katanya.

Sabtu lalu, polis telah menahan 1,041 ditahan kerana menyertai perhimpunan haram di sekitar ibu negara.
Mereka bagaimanapun dibebaskan lepas polis merekodkan kenyataan daripada mereka.

Bersih 2.0:Titah Khas Yang di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR - Istana Negara malam semalam mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”.

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rak­yat secara adil dan bijaksana dan yang penting Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”.

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Sunday, July 10, 2011

Terlampau Nak Jadi PM, Ini lah jadinya - Najib

najib-bersih1


















Jarang Datuk Seri Najib Tun Razak berucap dengan nada berapi begitu.Ini hinggakan seorang wartawan semasa sidang akhbarnya selepas majlis itu berkata padanya bahawa ini kali pertama dia melihat Perdana Menteri dalam mood seumpama itu.

Ini gara-gara beliau berucap dengan penuh semangat di Majlis Penerangan Perdana yang diadakan ekoran demo Bersih Sabtu.Majlis pagi Ahad itu dihadiri sekitar 6,000 pimpinan UMNO Bahagian seluruh negara,70 NGO serta pimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) Kuala Lumpur.

Pada majlis yang dianjurkan secara ‘last minute’ oleh pejabat Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu bergema sokongan penuh hadirin terhadap Perdana Menteri ekoran cubaan perhimpunan haram Bersih cuba memperlekehkan kerajaan.

Paling menarik Najib kali pertama bercakap agak panjang lebar dan belasah sakan aksi ‘ lakonan’ demi ‘lakonan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk isu video seksnya.

Juga mengenai aksi ‘muka sakit’ Ketua Umum PKR itu semasa mendakwa cedera ringan ketika kejadian melanggar hadangan polis di KL Sentral dan kemudian masuk untuk rawatan di Hospital Pantai.

najib-bersih2

Sambil menilai Anwar berdepan dengan situasi ‘ peluang terakhir’,beliau mengingatkan rakyat supaya berwaspada kepada Ketua Pembangkang itu sanggup buat apa saja dalam keadaan tersepit seperti itu.

Beliau menyentuh hal ini semasa awal ucapannya berkata, “ kita nak bagi mesej kepada orang di luar”.Kemudiannya beliau bertanya siapa dia.

Hadirin menyebut “ Anwar”.Lantas Najib berkata,”orang di hospital...( merujuk kepada Anwar yang masuk hospital kerana dakwa cedera ringan semasa demo Bersih semalam)...yang sedang merancang nak memakai pembalut leher...yang sudahpun mendapat Oscar Pelakon Terbaik...seiring dengan Amitah Bachan ( dipercayai merujuk kepada Pengerusi Bersih Datuk S.Ambiga)”.

Kata-katanya ini disambut dengan tepuk gemuruh dan gelak ketawa para hadirin.

“Baru kena sikit aje...muka dahi kerut,macam dah kena belasah..masuk pula gambar video di You Tube...malam tadi Tan Sri Muhyiddin tunjuk saya...oohh macam betul-betul dah kena belasah (oleh polis)..lepas itu terlentang di hospital...sempat lagi dengan baju kuningnya (t-shirt Bersih)...pelakon terbaik...perangainya tak berubah...perangai dulu perhimpunan di Baling.

najib-bersih3

“Saya kata pada rakan-rakan dari zaman ayahanda saya( bekas PM Allahyarham Tun Abdul Razak) ..ramai mati kebuluran...demonstrasi di Kuala Lumpur...zaman Tun Hussein Onn pun buat juga...zaman Tun Dr Mahathir...buat juga...lepas tu baik sementara( masa dalam kerajaan)...negara aman berapa tahun...lepas tu buat demonstrasi zaman Pak Lah Bersih 1...sekarang zaman saya Bersih 2.”

“Perangai hudoh ini tak berubah dari dulu sampai sekarang...dia lah dalang sebesar-besarnya.

“Ambiga...siapa Ambiga....kononnya hari ini badan menegakan demokrasi pilihanraya yang Bersih.
“ Yang dok tuding jari kat kita ni bersih sangat ke orang tu...timbalan dia siapa..Mat Sabu sanggup duduk bawah Ambiga..Mat Sabu ni duduk bawah siapa pun tak apa...apa bilik no berapa ( merujuk kepada tuduhan kes khalwat Mat Sabu di sebuah hotel di Kota Bharu dulu)

“PKR pemilihan dalam parti bersih sangat ke...tahun sudah baling kerusi...ada kena tumbuk...Datuk Zaid Ibrahim mula-mula dia ingat kot adalah peluang aku nak jadi pemimpin besar..masuk PKR ...dia ditatang jadi calon Hulu Selangor.

najibbersih5

“Akhirnya bila nak lawan Timbalan Presiden PKR...kerana lawan dengan buah hati dia...si polan tu lah...maka Zaid Ibrahim kecewa sampai dia kata dia kena manupulasi dalam pilihanraya PKR.
“Rumah tangga sendiri tak betul...dimanupulasi keputusan agar buah hati menang Timbalan Presiden...sekarang ini dia nak ajar kita tentang pilihanraya di dalam negara.

“Banyak tak terjawab lagi...jam Omega ( video seks) tak terjawab...nafi seribu kali nafi..pakar forensik terkemuka di dunia kata 99.99 persen...eh..dia kata bukan saya...kerana apa..kerana perut.
“Forensik ni dia bukan ukur perut aje ( katanya disambut gelak ketawa hadirin)...macam-macam...profesor di Amerika tak betul...dengan Saiful pun nafi...

“Saya pun ada pembantu-pembantu tapi kalau nak berunding dengan pembantu berundinglah di pejabat...mengapa nak berunding di sebuah kondominium...apa nama rundingan ini
“Saya bawa Saiful keluar negeri..sebab dia teaboy...orang lain tak boleh buat tea ke...apa keistimewaan  tea yang Saiful buat...

“Macam-macam dulu ( masa dalam penjara) kata saya akan kena arsenic poisioning...tak cukup dengan racun arsenic...nak kena injection HIV...semuanya kita ni buruk...sedasyat-dasyat orang ni kerajaanlah...dari dulu sampai sekarang...semuanya buruik kita...dialah manusia sebaik-baiknya...anugerah Tuhan.

“ Inilah manusia yang sebabkan kita hadapi masalah semalam ( demo Bersih)..masalah orang yang hendak sangat menjadi Perdana Menteri...sanggupkan korbankan segala prinsip...ketepikan agama dan bangsa...asalkan akulah Perdana Menteri

“Dulu maki PAS bukan main..kata bodohnya PAS ...saya ingat lagi..PAS tak ada otak...ini dia pakai...tak boleh fikir PAS ni...Kit Siang dia bantai masa jadi Ketua Pemuda UMNO...sekarang ni oh my friend..semua orang dia peluk.

“Inilah angkara yang berlaku kerana nafsu nak jadi Perdana Menteri,”katanya.
Perdana Menteri menilai Anwar gabra bila melihat BN menang pilihanraya kecil demi pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk pilihanraya negeri Sarawak.

“Dia tengok..ini tak boleh jadi ni..kalau macam ni UMNO menang dengan pelan transformasi kita...rakyat dah terima dengan konsep 1Malaysia..dasar nak berlaku adil kepada semua kaum...agenda Melayu kita teruskan...dia tahu kalau tak berbuat sesuatu InsyAllah kita menang dalam PRU 13 nanti.

“Dia pun tahu inilah the last chance for him..bila orang tahu inilah peluang terakhir...dia akan buat segala-galanya...yang baik jadi tak baik...kerana apa...kerana matlamat menghalalkan cara...matlamat dia nak jadi Perdana Menteri menghalalkan cara,”katanya.

Dalam usaha menghadapi ancaman seumpama ini Najib meminta UMNO agar tidak sangsi kekuatan yang ada pada parti.

Beliau menegaskan UMNO sendiri ada ahli 3 juta yang bila-bila masa boleh saingi himpunan Bersih yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang di Kuala Lumpur semalam.

Katanya tak payah 3 juta...satu juta cukup untuk ‘ tawan’ Kuala Lumpur.

Menurut beliau bukan sahaja UMNO..tetapi campur pelbagai pertubuhan yang sokong kerajaan seperti yang ramai hadir pada majlis itu.

Beliau memberi contoh persatuan seni silat gayong dan lincah.

“Pendekar-pendekar kita turun...tak masuk NGO-NGO lain lagi,”ujarnya.

Apapun kata Perdana Menteri UMNO tidak sekali-kali akan mulakan budaya demonstrasi jalanan.

“Jangan ..kita boleh lawan...semalam kita bagi wakil kita Ketua Pemuda saja turun...itu baru sikit saja kita turun angkatan kita...kalau kita nak buat porak peranda kita boleh..tapi kita yang berhimpun ni ...kita menjunjung prinsip undang-undang negara.

“Kita tak suka pada huru hara...kami suka pada keamanan..kami suka pada negara dimana rakyat hidup dalam harmoni...kita mahu masa depan kita lebih baik dari hari ini..ini sebab kita berhimpun hari ini...bukan kita nak tunjuk kekerasan pada mana-mana pihak..tapi kita nak tunjuk kekuatan kita...ada orang kata inilah silent majority...jadi jangan sesiapa nak timbulkan huru hara dalam negara.

“Nak kata demokrasi...UMNOlah pejuang demokrasi dari awal,”kata Perdana Menteri.-10/7/2011-

Demonstrasi : Orang Islam Mudah Diperalatkan - Tun M


Kita tak dapat nafi bahawa berdemonstrasi mempunyai tempat dalam pengamalan demokrasi.

2. Saya baru kembali dari lawatan ke Mesir. Seperti kita semua maklum satu demonstrasi besar di Kaherah telah berjaya menjatuhkan Kerajaan Hosni Mubarak.

3. Tetapi kesan demonstrasi tidak terhad kepada kejatuhan Kerajaan. Ekonomi Mesir merosot dengan amat teruk. Mesir, yang banyak bergantung kepada pelancongan mengalami kemerosotan 80 peratus semasa demonstrasi berlaku. Hari ini pun pelancong belum kembali dan banyaklah hotel yang kosong.

4. Serangan terhadap polis adalah satu jenayah. Sudah tentu jika polis diserang, maka polis terpaksa menggunakan kekerasan. Jika polis guna kekerasan maka ini akan dijadikan isu oleh yang berdemonstrasi.

5. Mungkin kerana ingin mengelak daripada tindak balas maka polis diarah berundur dan tinggalkan tempat demonstrasi tidak dikawal. Keadaan ini merbahaya kerana orang awam tidak mendapat perlindungan polis lagi.

6. Sudah tentu pemulihan ekonomi terganggu. Pelancong tidak kembali dan jauh sekali pelaburan oleh pelabur tempatan dan asing. Pengangguran bertambah dan yang miskin menderita bertambah.

7. Walaupun demonstrasi diterima dalam demokrasi, ia tidak boleh diguna dengan sewenang-wenangnya. Jauh daripada memberi manfaat kepada rakyat, ia menambah masalah bagi rakyat.

8. Pihak tertentu merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 9hb Julai ini. Apakah benar demonstrasi ini bertujuan untuk membersihkan proses pilihanraya?

9. Jika disemak tuntutan yang dibuat lebih merupakan tuduhan terhadap Kerajaan dan bukan tuntutan sebenar. Tujuannya ialah untuk memburukkan Kerajaan supaya meraih sokongan dalam pilihanraya akan datang.

10. Walaupun pengurusan pilihanraya di Malaysia mempunyai beberapa kelemahan tetapi hakikatnya di Negara ini parti lawan boleh menang. Demikianlah pentadbiran pilihanraya di Malaysia sehingga pada tahun 2008 parti lawan dapat menawan lima buah negeri, satu wilayah dan berjaya mengurangkan ahli Dewan Rakyat sehingga tidak tercapai matlamat dua pertiga seperti yang biasa dimenangi oleh parti Kerajaan.

11. Bandinglah dengan pilihanraya di Negara-negara lain termasuk jiran terdekat kita di mana parti bukan Kerajaan tidak dapat wakil dalam dewan sama sekali. Yang menang daripada parti lawan akan dituduh dengan pelbagai tuduhan dan dihadapkan ke mahkamah. Maka mahkamah pun menghukum mereka salah dan tidak dapat mengambil tempat mereka dalam dewan. Ada yang dibenar masuk tetapi tidak berani bercakap. Kalau bercakap tidak akan dilapor dalam media.

12. Ada pula diwujudkan kumpulan pembangkang dalam parti Kerajaan. Ini adalah satu sandiwara politik.

13. Dalam pilihanraya yang baru lepas pun banyak tekanan digunakan oleh Kerajaan berkenaan. Sebab itu jumlah calon pembangkang yang menang amat kecil.

14. Malangnya terdapat di Malaysia parti yang berasas dari parti negara jiran ini yang ingin supaya negara ini juga menerima contoh pentadbiran negara jiran. Seperti dengan parti di negara jiran, pada mulanya janji dibuat untuk mendirikan Kerajaan yang baik dan adil. Apabila sahaja rakyat memberi kepercayaan jenis pemerintahan yang didirikan jauh berbeza daripada yang dijanjikan.

15. Memang pun ada sekatan tertentu di negara ini terhadap kebebasan liberal yang didapati di negara barat. Sekatan ini diperlukan kerana mengelak daripada huru-hara berlaku.

16. Pada 1969 berkempen dibenar sepenuhnya iaitu enam minggu. Pada masa kempen, parti politik menggunakan perkauman untuk menarik sokongan. Parti-parti Kerajaan pun terpaksa menggunakan soal perkauman. Balas-membalas berkenaan isu ini dalam kempen menyebabkan ketegangan antara kaum-kaum. Dengan itu berlakulah 13 Mei yang berdarah.

17. Untuk mengurangkan kemungkinan kempen membakar hati, maka dikurangkan masa berkempen. Lagi pun parti pembangkang berkempen sepanjang masa. Perhimpunan dalam rapat parti pembangkang lebih kerap daripada parti Kerajaan. Demikianlah kebebasan di Malaysia.

18. Tidak ada sebab kenapa demonstrasi perlu diadakan di negara ini. Wakil Rakyat parti lawan begitu ramai. Jika kajian perlu dibuat berkenaan undang-undang dan pengurusan pilihanraya, peluang yang banyak terdapat dalam dewan-dewan untuk membangkit dan membahas perkara-perkara ini. Tetapi peluang-peluang ini tidak digunakan sepenuhnya. Sebaliknya demonstrasi hendak diadakan. Apa tujuannya? Membersihkan pilihanraya atau mencuba memburukkan imej parti Kerajaan.

19. Di Mesir saya ditanya kenapakah pentadbiran negara Islam tidak ada yang baik. Saya terpaksa mengaku yang orang Islam mudah diperalatkan.-3/7/2011

Kronologi Perhimpunan Bersih 2.0

Anggota FRU berkawal di depan Menara Kembar KLCC. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF

BERIKUT merupakan perkembangan terkini di Kuala Lumpur:

6.40 petang: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semua yang ditahan dijangka dibebaskan pada pukul 9.30 malam. Difahamkan Ambiga dan beberapa pemimpin lain telah dibebaskan.

6.30 petang: Sejumlah 1,401 ditahan, termasuk 1,273 lelaki, 115 wanita, 12 remaja lelaki dan perempuan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, mereka akan dibebaskan selepas siasatan selesai.

Beribu orang penunjuk perasaan berarak di Jalan Sultan menuju ke Jalan Petaling, Kuala Lumpur. -Foto THE STAR Oleh DARRAN TAN

6.00 petang: Pasukan FRU dan polis bersurai pada pukul 6 petang di Jalan Ampang dan KLCC. Keadaan terkawal.

5.30 petang: Jawatankuasa Bersih 2.0 gagal menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Namun, ia menyifatkan perhimpunan tersebut mencapai matlamatnya.

Ia juga menyelar penangkapan terhadap para peserta, termasuk daripada kumpulan lain.
Ahli jawatankuasa, Subramaniam Pillay berkata Bersih akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat dan tidak melibatkan perhimpunan.

Dia juga mengesahkan Ambiga telah ditahan oleh polis. Katanya, khidmat pesanan ringkas Ambiga menyatakan dia berada dalam keadaan baik.

5.25 petang: Seramai 924 tangkapan dibuat sehingga 3.30 petang. Sebanyak 875 lelaki dan 49 wanita ditahan, menurut polis.

5.10 petang: Ramai orang memasuki KL Sentral. Kebanyakannya memakai tuala muka dan botol air mineral.

Polis melepaskan gas pemedih mata kepada anggota Bersih yang tidak mengendahkan amaran yang diberikan. -Foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN

4.25 petang: Di KLCC, Jalan Ampang, pasukan FRU dan polis bersiap sedia untuk menangani sebarang kemungkinan. Keadaan masih tenang dan tiada perarakan dilaporkan setakat ini.

4.30 petang: Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata para pemimpin perhimpunan haram itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 27, Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

4.20 petang: Orang ramai yang berkumpul di Kuala Lumpur untuk Bersih dan Patrior bersurai. Polis memantau situasi. Seorang penganjur kanan Bersih meminta para penyokong berdekatan Dewan Perniagaan Cina di Jalan Maharajalela supaya bersurai.

3.36 petang: Dari Jalan Tun Perak, para penunjuk perasaan berjalan melalui Lebuh Ampang dan Jalan Ampang keluar dari bandar.

Seorang lelaki yang menyertai perhimpunan Bersih di Stesen KTM Kuala Lumpur ditahan pihak berkuasa. - Foto THE STAR oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL

3.34 petang: Orang ramai masih berarak di sepanjang Jalan Tun Perak sekarang.

3.32 petang: Kedua-dua stesen LRT Masjid Jamek masih ditutup sehingga sekarang.

3.18 petang: Orang ramai berkumpul di pintu utama Stadium Merdeka berdekatan MBSSKL. Sesetengah di halangan polis tetapi kebanyakannya berundur dan berjalan di sepanjang Jalan Hang Jebat. Situasi tenang.

3.01 petang: Polis berkata, sebanyak 672 ditahan sehingga 2.30 petang (624 lelaki dan 48 wanita).

3.00 petang: Nurul Iman, Nurul Nuha, Maria Chin, Ambiga, Abdul Hadi Awang ditahan polis.
Anwar dan Wan Azizah kembali ke KL Hilton.

2.30 petang: Penyokong Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0 berjaya keluar dari KL Sentral yang sebelum ini dikepung oleh polis dan menuju ke Jalan Tun Sambanthan.

Ambiga, Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan beberapa lagi dilihat berada bersama penyokong mereka.

2.10 petang: Pasukan FRU melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang berada di perkarangan luar KL Sentral dan sekitar Jalan Tun Sambanthan. Mereka berpatah balik ke KL Sentral.

1.50 petang: Anwar Ibrahim, Ambiga, Hadi Awang, Wan Azizah dan Nurul Izzah bersama penyokong Bersih keluar dari Hotel KL Hilton untuk berarak bersama-sama para penyokong mereka ke KL Sentral sebelum menuju ke Stadium Merdeka.

1.45 petang: Para penyokong Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia mula berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka. Reezal Merican mengingkari perintah larangan untuk memimpin Patriot di Bukit Bintang.

Seorang penunjuk perasaan ditahan oleh polis di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF

1.40 petang: Khairy tiba di kawasan perarakan. Abdul Azeez menyusul lima minit kemudian.

1.30 petang: Para penyokong Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia menyanyikan lagu, "Inilah Barisan Kita." Ia diketuai Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Pusat, Lokman Adam. Kelibat Khairy dan Abdul Azeez tidak kelihatan.

1.25 petang: Polis berkata, 514 orang ditahan sehingga 12.30 tengah hari (478 lelaki dan 36 wanita).

1.20 petang: Lebih 500 Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia berkumpul di hadapan BB Plaza, Jalan Bukit Bintang dan mengedarkan baju Patriot berwarna merah.

Namun kelibat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Kelab 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum kelihatan.

Mereka melaungkan slogan, "Hidup rakyat, hidup Malaysia, hancur Anwar, hancur Ambiga."

1.20 petang: Kumpulan Bersih bergabung dengan kumpulan lain berhampiran Puduraya.

1.15 petang: Lebih 1,000 penyokong Bersih mula berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka.

1.10 petang: Ribuan penyokong Bersih mula berarak dari Pudu Plaza, melalui Bukit Bintang dan sedang dalam perjalanan ke Jalan Pudu dalam percubaan untuk sampai ke Stadium Merdeka.

1.07 petang: FRU setakat ini telah berjaya menyuraikan para penunjuk di hadapan Bank Agro dan Pasar Seni. Di kedua-dua tempat gas pemedih mata telah ditembak untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menjerit "reformasi".

Polis membuat pemeriksaan rambang terhadap orang ramai ketika membuat rondaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman berdekatan Chow Kit. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF.

1 petang: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah menghantar mesej tweet bahawa beliau ditahan di hadapan Hilton kerana mengganggu tugas polis. Beliau berada dalam sebuah Black Maria sekarang.

12.55 tengah hari: Polis berkata, sebanyak 441 ditahan sehingga 12 tengah hari. 421 lelaki dan 20 wanita.

12.50 tengah hari: Gas pemedih mata ditembak ke arah penunjuk perasaan yang berarak dari hadapan Bank Agro menuju ke Pasar Seni melalui Daya Bumi.

12.45 tengah hari: Lim Kit Siang dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat berkumpul di Hotel KL Hilton. Mereka merancang untuk berarak ke stadium dari situ.

12.40 tengah hari: Anggota FRU melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menjerit "reformasi" di Bank Agro berdekatan Daya Bumi di Kuala Lumpur.

12.30 tengah hari: Satu kumpulan besar penunjuk perasaan sambil menjerit "reformasi" meninggalkan Pasar Seni dalam percubaan menuju ke Masjid Jamek dan Dataran Merdeka. Berdekatan Masjid Negara, penunjuk perasaan turut membawa bendera PKR dan PAS sambil melaungkan "Bersih".

12.28 tengah hari: Ribuan orang sedang berarak sambil menjerit "reformasi" melintasi tebing sungai melepasi Pasar Seni menuju ke Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.

12.15 tengah hari: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ditahan oleh polis di KL Sentral.

12.13 tengah hari: Polis membenarkan lima peguam daripada Majlis Peguam menuju ke stesen keretapi Kuala Lumpur ketika ramai orang menjerit "reformasi" dari dalam stesen keretapi.

12.05 tengah hari: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di KL Hilton ditemani ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan peguam Latheefa Koya. Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

12.00 tengah hari: Polis mengesahkan seramai 338 orang termasuk 17 wanita ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

11.35 pagi: Keadaan aman di KLCC. Para pelancong mengambil gambar. Pihak keselamatan mendirikan halangan di sekitar pintu masuk kecuali ruang kosong untuk pembeli belah masuk.

Helikopter polis terbang berdekatan Stadium Merdeka, pagi Sabtu.

11.30 pagi: Jumlah tangkapan di sekitar Kuala Lumpur adalah seramai 236 orang termasuk lapan wanita, kata polis.

11.20 pagi: Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga menghantar mesej tweet meminta semua orang keluar dengan memakai baju kuning.

11.18 pagi: Sebuah trak polis membawa sekumpulan lelaki yang ditahan keluar dari kawasan Masjid Jamek menuju ke kawasan tahanan di Pulapol.

11.02 pagi: Tren RapidKL tidak akan berhenti di tiga stesen dari 10.15 pagi atas arahan polis. Stesen-stesen tersebut ialah Hang Tuah dan Maharajalela (laluan monorel) dan Hang Tuah (laluan Ampang).

11.00 pagi: Seorang lelaki memakai baju kemeja merah ditahan oleh polis dekat dengan stesen LRT Masjid Jamek.

10.40 pagi: Pusat media Bukit Media mengeluarkan kenyataan bahawa seorang daripada 21 orang yang ditahan pada awal Sabtu telah dibebaskan.

10.35 pagi: Sebuah Black Maria di Masjid Jamek memuatkan 13 orang ditahan, kebanyakannya lelaki. Mereka dipercayai merupakan penunjuk perasaan Bersih.

Anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap sedia menghadapi sebarang perhimpunan haram di sekitar Istana Negara, Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto THE STAR Oleh SIA HONG KIAU

10.30 pagi: Ramai berkumpul di stesen keretapi berdekatan Masjid Negara. Turut kelihatan ramai anggota polis diketuai Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman mengawal situasi.

10.30 pagi: Lebih banyak trak polis tiba menyertai trak FRU di pintu utama Istana Negara tetapi situasi masih lengang.

10.01 pagi: Kedai-kedai dibuka untuk perniagaan. 100 pelanggan beratur di hadapan Machines, Lot 10, untuk membeli iPad2.

10.00 pagi: Seorang lelaki ditahan polis di Jalan Melayu, off Jalan Masjid India, selepas menjerit secara agresif terhadap orang ramai dan wakil media.

9.50 pagi: Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) mengawal pintu masuk Pasar Seni. Mereka berkata, ia akan dibuka seperti biasa pada pukul 10 pagi tetapi mereka akan mengawalnya. Polis meronda di sekitar Pasar Seni sebelum ia dibuka.

9.45 pagi: Sekumpulan 100 orang di sekitar Masjid India diarahkan bersurai oleh polis.

9.28 pagi: 12 peguam berjaket dan bertali leher berada di luar stesen LRT Masjid Jamek. Kehadiran ramai anggota polis. Aktiviti normal. Stesen masih dibuka.

9.15 pagi: Satu kumpulan dengan lebih 100 orang berada di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) berdekatan Masjid Negara. Polis sedang memantau mereka.

9.10 pagi: Polis menahan satu kumpulan yang berkumpul berdekatan masjid Kampung Baru.

9.07 pagi: Sekatan jalan raya di lebuh-lebuh raya menghala ke Kuala Lumpur menyebabkan trafik bergerak perlahan. Satu sekatan berdekatan Batu Tiga menyebabkan kesesakan teruk. Pemandu terpaksa menggunakan lebih sejam untuk bergerak dari Shah Alam ke plaza tol menghala ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, trafik berjalan lancar selepas plaza tol itu.

9.05 pagi: Tiga peguam, berjaket hitam dan bertali leher, berjalan di Jalan TAR. Mereka memberitahu wartawan bahawa kehadiran mereka di situ adalah untuk memberikan bantuan guaman.

8.50 pagi: Kira-kira 15 trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di luar Istana Negara. Sekatan jalan dibuat 500 meter dari pinta utama ke istana.

8.45 pagi: Enam ambulans memasuki Jalan TAR dipercayai bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

8.40 pagi: 12 trak polis dan sebuah Black Maria ditempatkan di luar Sogo. Kira-kira 120 anggota polis di sekitar situ. Pemeriksaan rambang dibuat terhadap pejalan kaki di Jalan TAR.

8.15 pagi: Polis menutup laluan ke Jalan Stadium dengan dawai berduri. 20 Black Maria diletakkan di depan tempat letak kereta.

8.10 pagi: Kehadiran ramai anggota polis, kurang kenderaan di jalan raya dan tidak kelihatan kumpulan besar di kawasan sekitar Chow Kit dan Kampung Baru.

8.05 pagi: Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ditutup dengan kehadiran ramai anggota polis di luar Sogo.

8.00 pagi: Kuala Lumpur hampir lengang. Di Jalan Raja Laut, hanya kelihatan anggota polis bertugas. Di luar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kira-kira 200 anggota polis kelihatan bersarapan pagi. Sebuah helikopter polis berlegar-legar di ruang udara.

7.55 pagi: Lebih ramai anggota tiba dengan menggunakan monorel dan mereka turun di stesen Maharajalela bertentangan dengan Stadium Merdeka.

7.30 pagi: Sejumlah besar trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) termasuk yang dilengkapi dengan meriam air, melalui Jalan Maharajalela dan menghala ke Masjid Negara serta Masjid Jamek.

Bersih 2.0: Kronologi Perhimpunan Patriot

Gas pemedih mata dilepaskan ke arah penunjuk perasaan di hadapan Menara Maybank, Kuala Lumpur. - Foto THE STAR Oleh CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi suasana menjelang perhimpunan patriot yang disertai Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia di Jalan Bukit Bintang menuju ke Stadium Merdeka pada pukul 10 pagi, Sabtu.

4.20 petang: Pihak polis dan pasukan FRU bersurai dan memohon orang ramai supaya beredar di sekitar Jalan Pudu untuk tujuan keselamatan.

Anggota FRU bersedia menghadapi penunjuk perasaan dekat Hospital Thong Shin di Pudu Raya, Sabtu. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESAN

4.10 petang: Keadaan di Jalan Pudu masih lagi terkawal dan pasukan FRU dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

4.00 petang: Beberapa pihak pengurusan hotel Swiss Garden mengawal pintu masuk ke hotel terbabit selepas orang ramai berlari bertempiaran kerana diarahkan polis untuk meninggalkan kawasan sekitar Jalan Pudu.

3.50 petang: Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong Bersih di sekitar Jalan Pudu.

3.30 petang: Pemuda Umno bersurai dan perarakan ke Stadium Merdeka tidak diteruskan.

Jentera FRU menyembur air untuk menyuraikan perhimpunan 'Patriot' oleh Pemuda Umno di Bukit Bintang, Sabtu. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

3.20 petang: Helikopter polis melakukan rondaan di ruang udara bagi memantau keadaan persekitaran.

3.10 petang: Kumpulan gabungan masih berkumpul di Jalan Bukit Bintang dan enggan bersurai.

2.45 petang: Abdul Azeez ditahan oleh polis. Sebelum itu, Khairy dan Lokman ditahan polis.

2.30 petang: FRU melepaskan gas pemedih mata terhadap penyokong gabungan itu.

2.15 petang: Perarakan tetap diteruskan dalam keadaan hujan.

2.10 petang: Pasukan FRU berkumpul di hadapan Am Bank, Jalan Pudu. Mereka dalam keadaan siap sedia untuk mengambil tindakan jika gabungan itu meneruskan perarakan menuju ke Stadium Merdeka.

1.45 petang: Para penyokong Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia mula berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka. Reezal Merican mengingkari perintah larangan untuk memimpin Patriot di Bukit Bintang.

Khairy ketika tiba di Bukit Bintang. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

1.40 petang: Khairy tiba di kawasan perarakan. Abdul Azeez menyusul lima minit kemudian.

1.30 petang: Para penyokong Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia mula berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka sambil menyanyikan lagi, "Inilah Barisan Kita." Ia diketuai Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Pusat, Lokman Adam. Kelibat Khairy dan Abdul Azeez tidak kelihatan.

1.20 petang: Lebih 500 Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia berkumpul di hadapan BB Plaza, Jalan Bukit Bintang dan mengedarkan baju Patriot berwarna merah.
Namun kelibat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Kelab 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum kelihatan.

Mereka melaungkan slogan, "Hidup rakyat, hidup Malaysia, hancur Anwar, hancur Ambiga."

1.15 petang: Lebih 1,000 penyokong Bersih mula berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka.

12.50 tengah hari: Semua media elektronik dan cetak berkumpul di hadapan bangunan BB Plaza, menunggu ketibaan kedua-dua kumpulan.

Perarakan Pemuda Umno di Bukit Bintang. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

12.45 tengah hari: Media dimaklumkan oleh sumber bahawa perhimpunan ditunda ke 1 petang.

12.30 tengah hari: Kelibat kedua-dua kumpulan masih belum kelihatan.

12.10 tengah hari: Kelibat ahli Pemuda Umno dan Kelab 1Malaysia masih belum kelihatan di sekitar Jalan Bukit Bintang. Orang ramai dan pelancong asing masih melalui jalan ini dan mengunjungi pusat membeli belah berhampiran.

10.30 pagi: Kedai di sekitar Jalan Bukit Bintang beroperasi seperti biasa. Hampir semua kedai dibuka pada pukul 10 pagi. Orang ramai dan pelancong asing menikmati sarapan pagi di restoran berdekatan. Keadaan masih lagi terkawal.

9.40 pagi: Media dimaklumkan oleh ahli Pemuda Umno bahawa perarakan ditangguhkan ke 12.30 tengah hari.

9.30 pagi: Pelancong asing dilihat mengunjungi kawasan membeli-belah berhampiran manakala orang ramai yang bekerja pada hari ini turut melalui kawasan ini.

9.20 pagi: Keadaan lalu lintas kelihatan lengang dan pergerakan kenderaan serta motosikal bergerak lancar.

9.00 pagi: Keadaan di sekitar kawasan Bukit Bintang kelihatan tenang dan terkawal. Kumpulan media mula membanjiri kawasan sekitarnya sementara menunggu ketibaan peserta himpunan Patriot.

Perhimpunan Haram Gagal Raih Sokongan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perhimpunan haram yang dirancang Sabtu gagal meraih sokongan orang ramai apabila sasaran penganjur perhimpunan, Bersih, sebuah badan tidak berdaftar, untuk mengumpul 100,000 penyokong tidak kesampaian apabila hanya 10,000 orang "turun padang".

Ini memperlihatkan matlamat kumpulan itu kononnya untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil tidak mendapat sokongan rakyat sepenuhnya memandangkan mereka sedar akan tujuan sebenar perhimpunan itu yang lebih bermotifkan politik.

Pemerhati politik Dr Sivamurugan Pandian berkata selain itu, perancangan teliti polis juga telah berjaya mengawal perhimpunan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Kalau benar-benar rakyat menyokong dengan apa yang diperjuangkan Bersih ini, sudah tentu mereka juga akan hadir. Tetapi ia menjadi sebaliknya. Ini berbeza berbanding ketika reformasi pada 1998, Hindraf dan Bersih pada 2007 yang mendapat sokongan ramai ketika itu.

"Ini sekaligus menunjukkan sambutan kepada perjuangan mereka (Bersih) hambar kerana rakyat telah melihat apakah sebenarnya matlamat yang hendak dicapai oleh kumpulan - tidak ada," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu yang berada di Kuala Lumpur sejak Rabu lepas bagi melihat sendiri perjalanan perhimpunan itu berkata kegagalan kumpulan haram itu mengadakan perhimpunan adalah hasil perancangan strategik polis untuk mengawal kemaraan kumpulan tersebut.

Beliau berkata strategi kumpulan itu ialah dengan bergerak dalam kumpulan kecil dari beberapa lokasi bertujuan untuk mengaburi mata orang ramai supaya mereka dilihat lebih ramai daripada angka sebenar.

"Saya setuju bahawa gerakan dalam kumpulan kecil ini berjaya mempengaruhi minda dan mata supaya mereka ini nampak banyak. Sebenarnya saya tidak nampak pun orang Cina turun dalam perhimpunan ini, sebaliknya banyak di kalangan anggota PAS," katanya.

Selain gagal meraih sokongan rakyat, Bersih juga gagal mewujudkan gelombang kuning apabila polis berjaya merampas baju-T berwarna kuning yang tertera perkataan Bersih sejak beberapa hari lepas sebelum perhimpunan itu diadakan.

Bersih juga hari ini mengaku gagal menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Bagaimana pun, Jawatankuasa Pemandu Bersih menerusi laman web rasmi mereka www.bersih.org menyatakan:"kita akan mengatur langkah sewajarnya untuk menyampaikan memorandum itu apabila keadaan kembali tenang.

"Perhimpunan hari ini tidak berakhir, ia merupakan satu daripada langkah yang panjang bagi pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia. Kempen akan diteruskan bagi mendapatkan pembaharuan dalam daftar pemilih, pembebasan tahanan dan bagi menamatkan gangguan pihak berkuasa," kata laman web itu.

Sementara itu, menurut laman facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mereka yang ditahan kerana menyertai perhimpunan itu mendapat layanan yang baik dan profesional dari polis.

Polis telah menyediakan beberapa keperluan seperti makanan, pemeriksaan kesihatan dan tempat bersolat untuk kumpulan yang ditahan. - BERNAMA

Sunday, July 3, 2011

Kemungkinan Tangkapan Lagi Di Bawah Ordinan Darurat - Khalid


PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan membuat tangkapan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 kerana penglibatan dalam anasir subversif.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Khalid Abu Bakar menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa tangkapan itu dibuat sesuka hati sebaliknya menegaskan ia dibuat mengikut lunas undang-undang negara.
"Ini adalah undang-undang yang ada di negara ini. Bukan pandai-pandai polis ambil tindakan sendiri. Apa juga tindakan kita adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada di Malaysia," katanya.
Pada Sabtu lalu, polis menahan Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut Ordinan Darurat itu.
Ditanya mengenai tangkapan berkaitan penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini, Khalid berkata sehingga hari ini, polis menahan 152 orang mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis. Polis turut menerima 2,500 laporan polis daripada pelbagai pihak termasuk peniaga, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara yang membantah perhimpunan itu, katanya.
Ditanya tentang komen pihak luar berhubung tindakan polis terhadap penganjuran perhimpunan haram itu, Khalid berkata mereka sepatutnya tidak mempersoalkan tindakan polis berbuat demikian.
Katanya polis mempunyai alasan kukuh mengharamkan perhimpunan itu selain mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
"Kita haramkan perhimpunan itu tentunya ada sebab... kepada pihak luar yangkomen macam-macam pasal tindakan kita bantah perhimpunan itu, nasihat saya tak payah masuk campur hal negara ini," katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran "Reuniting Families-Child Safety"oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri MohdBakri Zinin dan Pengerusi RHB Bank Berhad Tan Sri Azlan Zainol. - BERNAMA

Hanya Bogel Menuju Tuhan, Luahan Rasa Zahiril Adzim




KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2011: Pelakon, Zahiril Adzim percaya dirinya dan semua umat Islam yang lain hanya akan berada dalam keadaan 'bogel' menuju Tuhan bila saat seseorang itu untuk kembali kepadaNya tiba kelak.

Namun semua pemahaman itu telah diterjemahkan oleh Zahiril Adzim menerusi penulisan serta nukilannnya yang dihasilkan dalam sebuah buku berjudul Bogel Menuju Tuhan.

Mempuyai bakat terpendam dalam bidang penulisan dan puisi, Zahirl Adzim berkata, dia tergerak untuk menghasilkan buku tersebut hanya setelah menerima permintaan daripada peminat dan pengikut blog miliknya.

"Sebenarnya saya memang suka menulis dan menghasilkan puisi sejak tahun 2008 iaitu sejak saya menulis blog. Bogel Menuju Tuhan adalah salah satu tajuk dalam catatan yang saya tulis di blog satu masa dahulu.

"Jangan salah faham, bogel yang saya maksudkan d isini adaIah sama seperti kita dilahirkan dalam keadaan yang bogel dan saya percaya kita semua juga akan kembali kepadaNya tanpa ada seurat benang pun dan yang ada hanyalah iman yang kita pegang.

"Selain itu apa yang saya gambarkan adalah dalam setiap perjalanan kehidupan manusia pasti tidak terlepas akan dugaan Tuhan serta tidak adalah manusia yang tidak akan menempuh satu tempoh kesakitan, penuh perit dan pedih dalam hidupnya.

"Apa yang boleh saya simpulkan, buku ini adalah satu antalogi catatan dan puisi, sewaktu saya berada dalam hari-hari kesulitan sebelum dikenali sebagai pelakon " jelas Zahiril mengenai tajuk buku itu yang dianggap mampu menimbulkan kontroversi.

Apa yang pasti, isi naskhah yang terdapat dalam bukunya adalah sebahagiannya terdiri daripada tulisannya di blognya zahiriladzim.blogspot.com dan sebahagiannya adalah kemasukan atau bab yang baru dihasilkan dan tidak pernah disiarkan di mana-mana pun sebelum ini.

Jelas tunang kepada Shera Ayob lagi, dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menimbulkan sebarang kontroversi dengan tajuk bukunya bagi menarik minat pembaca tetapi hanya sekadar mahu berkongsi rasa bersama orang lain.

"Terpulanglah kepada orang untuk menilai. Tapi jangan membuat tafsiaran sebelum membaca isi kandungannya. Namun dari setiap penilaian yang orang buat itu, ianya secara tidak langsung telah melambangkan keperibadian mereka.

"Cuma saya nak beritahu, apa yang saya tulis dalam buku ini adalah sebahagiannya berkaitan dengan diri saya dan sebahagianya pula mengenai gejala sosial dan isu remaja. Selebihnya, ia mengisahkan mengenai pengalaman saya sebegai seorang remaja.

"Terus-terang saya memang minat menulis dan saya akan hanya ,menulis jika ada masa terluang. Saya harap orang ramai dapat menerima tulisan saya ini," katanya ketika dihubungi oleh portal murai.com.my

Buku Bogel Menuju Tuhan terbitan Merpati Jingga Sdn. Bhd yang setebal 108 muka surat ini hanya dijual dengan harga RM30 dan ianya boleh didapati secara online menerusi laman webwww.tokobuku.photopages.com

Saturday, July 2, 2011

Mat Sabu hina peniaga, utamakan kepentingan peribadi

TEMERLOH 1 Julai - Pemuda UMNO Pahang menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mahu peniaga di Kuala Lumpur berniaga di Hulu Tembeling, Jerantut pada hari perhimpunan haram Bersih, 9 Julai ini sebagai satu penghinaan kepada penduduk kawasan itu.

Ketuanya, Abu Jimi Samat berkata, kenyataan tersebut tidak bertamadun kerana tidak mengambil kira sentimen rakyat.

"Tindakan menolak rayuan peniaga di Kuala Lumpur mencerminkan sikap sebenarnya yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada memelihara ketenteraman awam.

"Kenyataan Mohamad itu tidak bertanggungjawab dan bukan sahaja menghina peniaga di Kuala Lumpur tetapi turut menghina rakyat Pahang terutama penduduk di Hulu Tembeling," tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas itu yang meminta peniaga di Kuala Lumpur berniaga di Hulu Tembeling pada hari perhimpunan haram itu berlangsung jika tidak mahu mengalami kerugian.
Abu Jimi menegaskan, tindakan Mohamad menolak rayuan golongan peniaga di ibu negara supaya membatalkan perhimpunan itu membuktikan pemimpin pembangkang tersebut keras kepala.

Katanya, sebagai pemimpin dan wakil rakyat yang bertanggungjawab, Mohamad Sabu sepatutnya menimbangkan rayuan tersebut dan bukannya membuat tindakan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat

Bagaimanapun, beliau tidak hairan dengan tindakan Mohamad itu kerana memang perangainya suka mencaci dan menghina pihak lain sebagaimana yang dilakukan dalam ceramah politiknya selama ini.

"Begitulah sikap sebenar Mohamad yang suka menghina orang sesuka hati termasuk memberi pelbagai gelaran buruk dan mengaibkan orang yang tidak sealiran dengannya.

"Perangainya langsung tidak mencerminkan sikap pemimpin sebuah parti yang mendakwa mendaulatkan Islam kerana suka membuat fitnah dan mencaci orang lain," tegasnya.

PAS Tersesat di dalam Pelayaran - KICKDEFELLA


Ramai di antara kita telah menaiki bahtera tersebut. Belayar jauh mengharungi badai dan gelombang demi atas kepercayaan yang telah ditanam di dalam benak pemikiran kita. Di dalam menempuh berbagai cabaran itu, ramai juga yang terkorban.

Tiba-tiba baru kita sedari, nakhoda bahtera yang ada dikalangan kita naiki itu, sebenarnya tidak turut serta di dalam pelayaran tersebut. Habis siapa yang asyik mengemudi bahtera itu?

Itulah dia nasib ‘Negara Islam PAS’. Berkurun lamanya Parti Islam SeMalaysia terpekik terlolong memperjuangan penubuhan sebuah Negara Islam dan mengkafirkan negara sekular. Kita yang ikut serta di dalam perjuangan itu dijanjikan syurga di akhirat kelak.

Apa akan jadi kepada mereka yang selama sudah berkurun lamanya percaya bahawa bahtera yang mereka naiki itu ialah bahtera menuju ke arah penubuhan sebuah Negara Islam adalah tidak benar. Di dalam al Quran tiada Negara Islam kata nakhoda bahtera itu yang kini bersiap-siap untuk menaiki roket ke Negara Berkebajikan.

Negara Berkebajikan yang akan di tubuhkan bersama DAP dan PKR itu bukankah akan jadi sebuah negara sekular?

Apa itu Negara Sekular? Ringkas dan mudah, Negara Sekular ialah yang tidak memberi keutamaan kepada mana-mana agama. Negara Sekular tidak mempunyai agama rasmi.

Apakah PAS akan mendukung sekularisme di dalam menubuhkan Negara Berkebajikan?

Atau PAS menerima bahawa ‘Agama Islam sebagai Agama Persekutuan’ seperti yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini sudah cukup? Kalau cukup, apakah ini bererti PAS akhirnya mengakui bahawa Perlembagaan yang dipengaruhi oleh tokoh-tokoh Penjajah Inggeris, UMNO, MCA dan MIC itu sebenarnya bukanlah kafir?

Pada 1981, Nakhoda itu, Ustaz Hadi Awang mengeluarkan amanatnya,

    ‘Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

    Percayalah saudara-saudara sekelian, Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.’

Kita menjadi kafir kerana mengamalkan politik suku agama suku!

Adakah Negara Berkebajikan itu tidak akan membuat Ustaz Hadi dan kabinet PASnya menjadi kafir kerana mengasingkan politik dan agama.

Bagaimana dengan mereka yang terpedaya dengan laungan amanat Hadi dan terkorban di dalam proses untuk menubuhkan Negara Islam yang bertahun-tahun menjadi intipati perjuangan PAS.

Bagaimana dengan Allahyarham Ibrahim Libya dan korban Memali? Tidakkah PAS hari ini harus memohon maaf kepada anak cucuk korban Memali kerana telah memperdayakan mereka tentang Negara Islam.

Bagaimana dengan hubungan kekeluargaan yang terputus dan adik beradik, suami dan isteri, ayah dan anak yang tidak bertegur sapa sehingga ke akhir hayat mereka kerana dakyah ‘penubuhan Negara Islam PAS’.

Bagaimana dengan jemaah yang menghina dan menduakan Imam mereka? Bagaimana dengan ikatan kejiranan yang terputus hingga jemputan kenduri kendara menjadi begitu sukar untuk dipenuhi kerana pihak yang menjemput bukan pejuang ‘penubuhan Negara Islam PAS’.

Penjelasan Ustaz Hadi bahawa di dalam al Quran tidak ada menyebut tentang Negara Islam bagi membetulkan semula aqidah perjuangan PAS hanya mengiyakan tuduhan banyak pihak terhadap kesesatan didalam PAS.

Hari ini PAS tidak perlu membazirkan masa menjelaskan apa itu Negara Berkebajikan. Kita semua tahu, ‘Negara Berkebajikan’ ialah aqidah baru PAS supaya mereka tidak perlu melangkah mayat Karpal Singh.
‘Negara Berkebajikan’ ialah pengakuan bahawa PAS sebenarnya lemah. Tetapi kerana nafsu mahu menjadi pemerintah begitu membuak-buak, PAS rela menolak aqidah asalnya kerana untuk memuaskan nafsu mereka, ia hanya boleh tercapai dengan bersama DAP dan PKR. Kedua-dua, DAP dan PKR pula mahu menubuhkan sebuah negara sekular sepenuhnya.

Oleh yang demikian, saranan supaya PAS menggugurkan perkataan Islam dari nama parti tersebut adalah amat wajar. Apatah lagi, jika di dalam al Quran tidak menyebut Negara Islam, sudah tentu ‘Parti Islam’ juga tidak terdapat di dalam al Quran.

Melihat kepada insiden ini, kita terpaksa melahirkan kekaguman terhadap para nasionalis yang menubuhkan UMNO dan melakarkan aqidah perjuangan UMNO. Sebenarnya, nasionalis ini sudah memahami isi kandungan al Quran semenjak 1946 lagi. PAS pula baru memahaminya pada tahun 2011.

Bagaimana dengan mereka yang masih bersesak-sesak didalam bahtera itu? Apakah PAS akan berkata benar kepada mereka atau akan menjadi lembaga hitam berwajah dua? -13/6/2011 sumber http://kickdefella.wordpress.com/

POST TERKINI

Page Navigation

Blog Archive

nuffnang

Blog List

ohbelog

busuk

Total Pageviews

Counter

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com