iklan nuffnang

pages

Tuesday, September 28, 2010

Islam Dihina Hingga Dalam Rumah Sendiri???

Dalam laporan akhbar hari ini, Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen berkata paderi yang didakwa bernama Benjamin Stephen dikatakan menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

Dr Mashitah yang kesal terhadap perkara itu, menggesa Jabatan Agama Islam Sarawak, yang bertanggungjawab terhadap isu itu, supaya segera membuat penyiasatan agar ia tidak berleluasa.

"Sebelum ini, kita cuma dengar (penghinaan terhadap Islam) di Barat sahaja.. bakar Quran. Kalau penyakit ini berjangkit dalam negara, perkara ini harus dilihat secara serius.

"Apa pun, dalam hal ini kalau bertepatan, KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu ambil tindakan dan pada masa sama, umat Islam diingatkan supaya kefahaman tentang Islam dipertingkatkan," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan tindakan menghina agama lain tanpa mengira latar belakang individu terbabit akan menjejaskan usaha membina Malaysia ke arah negara maju sekaligus menafikan keadilan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, di sebalik amalan Malaysia memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menganut ajaran agama lain, perlu diingat setiap individu ditegah daripada menimbulkan rasa terhina penganut agama tertentu.
Ia katanya, apabila ada pihak mula rasa terhina, sensitiviti agama akan tercetus sehingga merebak kepada masalah pertembungan bangsa.

Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia terhadap salah satu klip video selama 10 minit itu, mendapati Benjamin menyampaikan ceramah dalam bahasa Melayu mengenai apa yang didakwanya sebagai ajaran pelik dan bodoh oleh Nabi Muhammad.

Antaranya, dia mendakwa, Rasulullah sebagai orang tua yang bernafsu terhadap kanak-kanak apabila salah seorang daripada 23 isteri baginda berusia enam tahun. Dia yang mendakwa dilahirkan sebagai orang Melayu berkata, kaum itu dilarang membela anjing kerana menurut Islam malaikat amat takut dan tidak akan melawat rumah yang penghuninya membela haiwan berkenaan.

Dakwaan lain, adalah dosa umat Islam akan diampunkan jika mereka dapat mengucup batu Hajarul Aswad yang berbentuk seperti alat kelamin wanita.





Sunday, September 26, 2010

PAS, Adakah Dikau Telah Berubah??


Pelaksanaan Undang-Undang Islam Boleh Ditangguhkan

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menegaskan PAS masih konsisten dengan penubuhan negara Islam walaupun berterusan dituduh ia telah melencong dari ideologinya sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas Pilihanraya Umum ke 12 (PRU 12) Mac tahun lalu.

"Undang-undang Islam tidak pernah bertukar. Ada pra-syarat yang mesti dipenuhi sebelum syariah dilaksanakan. Tidak ada paksaan kepada bukan Islam, dan undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan selagi keadaan tidak mengizinkan,”katanya dalam satu temubual dengan Malaysian Insider baru-baru ini.

Pada tahun 1999, sebuah pakatan politik, Barisan Alternatif telah ditubuhkan menjelang Pilihanraya Umum ke 11 diantara parti-parti pembangkang.

Pendirian PAS yang sering mengutamakan prinsip pemerintahan Islam dikatakan menjadi halangan hubungan pakatan tersebut yang menyebabkan ia berpecah dua tahun kemudian kerana dikatakan mempunyai perbezaan ideologi.

Sejak PRU 12 lalu, PAS dilihat telah mengubah pendekatan dimana PAS berkempen diatas platform ‘Kearah Negara Berkebajikan’, namun ideologi perjuangan tetap tidak berubah.

Penukaran pendekatan PAS telah dikritik oleh UMNO-Barisan Nasional sebagai parti ‘kluk-klek’ dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu.

Ada kritik mengatakan, PRU 12 telah menyebabkan perpecahan pemikiran dikalangan kepimpinan PAS dimana ada diantaranya yang lebih cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO daripada terus kekal dengan PKR dan DAP.

Presiden PAS menegaskan tidak ada perpecahan dikalangan kepimpinan kerana tidak ada dalam Islam pemikiran konservatif dan tidak ada pemikiran liberal.

"Dalam Islam tidak ada konservatif atau pun liberal, tetapi ada beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan. Perkara Qat’ie iaitu perkara yang asas tidak ada persoalan, tetapi dibenarkan berbeza pendapat dalam perkara-perkara furu’ (cabang yang bukan asas),

“dan sebab itu mengapa wujudnya pelbagai aliran pemikiran dalam perkara cabang (school of thought),”katanya.

PAS Asalnya Membawa Ideologi Deen Islam

Pada pandangan Encik Razak bin Omar, Naib Yang Di-Pertua, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Shah Alam & Klang bahawa Parti PAS asalnya membawa ideologi Deen Islam. Tetapi disebabkan fitrah pertubuhan itu adalah politik, maka agenda pertubuhan itu bersifat politik. Pada satu era, PAS telah mengenengahkan agenda Negara Islam serta akan melaksanakan hudud. Kemudian pada era mutakhir, agendanya telah berubah kepada ‘Islam Agama Kebajikan’. Kenapa agenda ini berubah-ubah padahal agenda pertama belum selesai? PAS menolak kerjasama dengan UMNO tetapi boleh bekerjasama dengan DAP padahal terdapat fahaman sekularisma yang lebih pekat pada DAP. Ini ada kena mengena dengan strategi untuk berkuasa. Fatrah muktamadnya adalah bersifat politik.

Ini semua disebabkan Islam tidak dipandang sebagai agama yang mengajar deen beserta skema transformasinya sekali. Bagaimanakah unjuran PAS selepas ini sekiranya diberi kuasa atau pun tidak mendapat kuasa. Bagaimana pendirian parti-parti rakan yang lain selepas ini. Adakah agenda akan berubah ke belakang untuk menjadi ‘Parti Dakwah’ terhadap rakan-rakan sepembangkang ditakdirkan waktu itu ia sudah berkuasa. Bolehkah tanpa skema transformasi yang sunnah, PAS boleh berkuasa.

Dilihat senario politik pada masa ini memberikan gambaran bahawa pertembungan politik menjadikan udara politik Malaysia dipenuhi dengan isu-isu dan agenda yang menjadi aliran perdana cara berfikir rakyat. Perkara-perkara yang kecil pun sekarang dipolitikkan untuk mencipta persepsi.

Dalam keadaan pertembungan-pertembungan sedemikian orang Melayu ikut parti mana pun akan menghadapi ketidaktentuan. Ini disebabkan aliran politik bukanlah skema terbaik bagi tujuan transformasi Islam. Harus juga diingat bahawa sistem demokrasi di Malaysia adalah tinggalan British. Ideologi Brisitsh yang tersirat adalah bahawa dengan demokrasi yang sekular ini Islam tidak akan sempat untuk membenih, lebih-lebih lagi apabila pemerintahan di Malaysia dimulakan (dibenihkan) oleh British Malaysia dengan parti yang sekular.

Selagi mana orang Melayu tidak mengambil tasawwur dan proses trasformasi (taghyir) Islam yang sebenar, maka sejarah sunnah oleh kaum Quraisy yang dibawa oleh Rasulullah tidak akan boleh berulang di Malaysia. Jika transformasi tidak berlaku maka natijah tidak akan wujud. Rasululah telah mencontohkan bahawa agenda taghyir baginda tidak pernah terpengaruh dengan dan realiti yang ada.

PAS, Hentikanlah Perpecahan Orang Kampung

Saya berharap agar pemimpin-pemimpin PAS memperbetulkan fahaman ahli-ahli mereka di peringkat kampung yang masih menuduh ahli-ahli UMNO sesat dan sembahyang berimamkan ahli UMNO adalah tidak sah. Bila ditanya kenapa tidak sah, mereka menyatakan kerana UMNO tidak laksanakan hukum hudud.

Kes ini berlaku semasa saya dan keluarga hendak pergi bersembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Seorang abang ipar saya melarang kami pergi ke masjid yang kononnya imamnya orang UMNO sebaliknya mengarahkan kami pergi bersembahyang di surau PAS. Kata beliau, sembahyang berimamkan ahli UMNO tidak sah kerana mereka itu orang fasik kerana menolak Islam. Saya bertanya perkara apa tentang Islam yang mereka tolak, dia membalas, ahli UMNO menolak pelaksanaan hukum Hudud maka mereka adalah fasik dan orang fasik tidak boleh menjadi Imam dan saksi.

Soalnya bagaimana kita boleh menghukum si polan itu menolak hukum Hudud atau tidak. Mana kita tahu?Jika mereka ahli UMNO sekalipun tidak semestinya mereka itu menolak hukum Hudud dan yang pastinya tidak ada orang Islam yang menolak hukum Allah kerana mereka yang menolaknya adalah murtad. Menolak hukum Allah dengan tidak melaksanakan hukum Allah adalah dua perkara yang berbeza.

Hukum fasik pula adalah luas melangkaui hukum Hudud semata malah mereka yang tidak sembahyang, puasa dan tidak melaksanakan apa yang disuruh dan melakukan apa yang ditegah adalah fasik. Persoalannya adakah semua ahli-ahli PAS tidak ada seorangpun yang tidak melanggar hukum Allah??? Adakah PAS boleh bagi jaminan semua ahli mereka solat penuh lima waktu terutama semasa berdemonstrasi??

Namun jika dilihat pada pendapat Haji Hadi jelaslah pelaksanaan undang-undang Islam boleh ditangguhkan. Jadi sama saja dengan situasi UMNO pada masa ini. UMNO juga sebenarnya tidak mempunya kuasa penuh dalam menentukan pemerintahan negara pada masa ini kerana UMNO juga masih berkongsi kuasa dengan parti-parti bukan Islam yang secara jelas menentang pelaksanaan hukum Hudud.

Akidah ahli-ahli PAS perlu diperbetulkan di mana mereka perlu difahamkan bahawa perjuangan PAS untuk masa ini adalah bersifat politik dan strateginya adalah untuk mendapatkan kuasa walaupun kuasa itu perlu dikongsi dengan parti penentang Islam. Jadi jelaslah perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat hanyalah untuk mendapatkan kuasa dan bukan untuk memperjuangkan pelaksanaan Hukum Hudud kerana DAP pastinya akan menentang pelaksanaan Hudud sehingga ke titisan darah yang terakhir. Pastinya kerjasama dengan bukan Islam tidak akan membawa kemana-mana.

Jika benar PAS ingin melaksanakan hukum Hudud, PAS sepatutnya berkerjasama dengan seluruh orang Islam termasuk UMNO dan memberi kefahaman kepada mereka bersungguh-sungguh sehingga mereka dapat menerima pelaksanaan tanpa bantahan. Ini kerana orang Melayu adalah mewakili 54% daripada jumlah penduduk Malaysia dan jika ditambah dengan kaum Bumiputera yang lain sebanyak 12% maka jumlah keseluruhan menjadi 66%. Pastinya PAS mampu melaksanakan hukum hudud di peringkat Malaysia jika berlaku kerjasama orang Islam keseluruhannya. Adakah ini mustahil untuk berlaku?

Walau apapun, saya faham ini semua pasal politik, pasal kuasa, tak apalah PAS hendakkan kuasa TETAPI yang penting jangan memesongkan ahli-ahli diperingkat kampung hingga berlaku perpecahan semata-mata berbeza ideologi parti politik. Apa yang peliknya banyak perkara yang berselisih dalam mazhab boleh pula diterima, malah pandangan daripada Syiah pun ada yang diterima. Adakah ini perangai Melayu Islam Malaysia???



Links:
DAP: Hudud, negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat
DAP will not compromise on hudud issue, says Karpal
Kit Siang: DAP against hudud laws and Islamic state

Benarkah jika PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu??

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Utusan Malaysia melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.

Pendapat Parti Pembangkang

"Beliau harus mengkaji sejarah yang dekat dengan kita. Dalam negara sendiri contoh yang ada di depan mata boleh digunakan sebagai fakta. Di negeri Kelantan contohnya yang hilang kuasa adalah Umno dan BN apabila PAS memerintah negeri tersebut lebih dari 20 tahun.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa kuasa dan suara Melayu akan hilang sekiranya pembangkang menguasai kerajaan.

"Begitu juga dengan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kuasa Melayu dan suara Melayu tidak hilang. Hanya yang hilang ialah kuasa dan suara Umno serta BN yang selama ini tidak pernah mengakui kekalahan mereka," ujarnya lagi.

"Dakwaan beliau yang menyifatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai alat kepada DAP juga adalah prejudis yang buruk terhadap kepimpinan PR. Beliau harus sedar sejauh mana laungan dan jeritan untuk memenangkan Umno dan BN tidak akan merubah pendirian rakyat bahawa kuasa yang ada pada BN di Perak adalah kuasa yang tidak halal setelah rakyat menolak mereka dengan kertas undi dalam pilihan raya 2008 yang lalu," tegasnya lagi.

Menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin pula mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman berhubung wawancaranya itu yang mengingatkan bahawa orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

"Pada anggapan mereka kuasa Umno itu adalah Melayu dan kuasa Melayu itu adalah Umno, sedangkan PAS adalah lebih kemelayuannya jika mahu dibandingkan dengan Umno.

Sementara itu, ahli parlimen Lembah Pantai, Nuzul Izzah Anwar pula mencabar Mahathir untuk berdebat berikutan dakwaannya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana takut Melayu hilang kuasa atau hilang harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan akhbar.

Pandangan Parti Pemerintah

Ketua Wanita UMNO Pahang, Datuk Rosni Zahari berkata, kedudukan komposisi penduduk negara ini ialah 60: 40. Iaitu 60 peratus Melayu dan selebihnya pelbagai kaum.

“Melayu akan hilang kuasa bukan ugutan tetapi suatu kebimbangan, berdasarkan kepada fahaman politik Melayu terbahagai kepada tiga iaitu UMNO, Pas dan PKR. Ini terbukti apabila Pas dan PKR bergabung dengan pembangkang dalam pakatan pembangkang kuasa pemerintahan di negeri yang dikuasai mereka diterajui bangsa asing.

Rosni berkata, sebenarnya perpecahan di kalangan orang Melayu yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ingin merealisasikan cita-cita peribadinya sejak dari dulu.

“Ini semua kerja seorang manusia bernama Anwar Ibrahim yang bercita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri tanpa mempedulikan apa yang berlaku, apa yang penting baginya adalah Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad menyifatkan perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu berpunca dari pihak pembangkang yang menaburkan pelbagai dakyah serta fitnah yang membenci kerajaan diterajui oleh UMNO.

“Pembangkang tidak pernah berterima kasih atau menyokong apa jua yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat, pellbagai cara mereka lakukan. Mereka ini sanggup membuat fitnah supaya rakyat benci kepada kerajaan terutama UMNO.

“Apabila kita mengatakan orang Melayu akan hilang kuasa, mereka kata UMNO mengugut orang Melayu, tetapi mereka sendirilah yang memecahkan orang Melayu dengan fitnah dan tohmahan,” katanya.

Pandangan Mufti

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan tersebut berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

''Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Harussani menegaskan, pemimpin Melayu perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab memastikan kepentingan orang Melayu terjamin.

''Adakah agama yang mengajar kita suruh berdegil? Sedangkan degil itu adalah sifat keji dalam Islam. Kalau itu sifat keji, kenapa tidak dibuang daripada diri kerana ia tidak akan menguntungkan diri."

''Kalau dia pemimpin, dia tidak akan menguntungkan rakyat. (Sedangkan) bila jadi ketua, amanah untuk menjaga ummah itu kewajipan dia. Kalau dia berdegil, amanah tiada pada dia, rakyat akan hancur," ujar beliau."

Ditanya apakah masih ada harapan untuk orang Melayu khususnya membabitkan UMNO dan Pas bangkit dan bersatu semula jawabnya:

''Insya-Allah disebabkan kedua-dua puak (parti) ini mempunyai keinginan hendak bersatu.

''Ada pemimpin Pas datang berjumpa saya, begitu juga pemimpin UMNO. Mereka minta pandangan bagaimana untuk disatukan (kedua-dua parti)."

Mengulas lanjut kata Harussani, penyatuan masih tidak dapat dilakukan sehingga hari ini kerana kedua-dua pihak telah meletakkan faktor keutamaan di tempat yang salah.

''Saya percaya tujuan orang Pas memperjuangkan Islam ikhlas tapi meletakkan (keutamaan) di tempat yang salah. Mereka taksub sebab tidak faham. Orang UMNO serupa juga.

''Kalau kedua-dua parti memahami faktor keutamaan itu, apa yang perlu diutamakan? Keutamaan adalah agama dahulu dan agama tidak menyuruh kita membenci sesama umat Islam bahkan kasih-mengasihi sesama kita," katanya.

Pandangan Ku

  1. Perkara yang menjamin hak Melayu dan Bumiputera, agama Islam, Institusi Raja-Raja Melayu boleh dirombak dan diganti dengan sistem lain.
  2. Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda mengikut kehendak siapa yang memegang kuasa majoriti ketika itu (jangan dok berdebat dengan menggunakan contoh di peringkat negeri sahaja seperti kuasa Melayu di Kelantan kekal).
  3. Apabila Melayu berpecah belah, perkara di atas boleh berlaku.
  4. Sah dan pasti bahawa PAS tidak mampu memberi jaminan mutlak bahawa kuasa Melayu mampu dipertahankan jika Pakatan Rakyat memerintah. Apa yang PAS mampu lakukan hanyalah jaminan pandangan yang tidak pasti. (Dalam kes ini saya langsung tidak harapkan parti KEADILAN, maaf lah, tak payahlah budak mentah ajak Tun berdebat).
  5. Terimalah hakikat bahawa orang Melayu tidak selesa apabila pentadbiran PAS di Perak suatu ketika dahulu dikongsi bersama dengan Cina kiasu / cauvinis seperti DAP.
  6. Saranan Mufti Perak agar UMNO dan PAS bersatu dan memberi keutamaan pada agama dahulu berbanding politik adalah ikhlas. (jangan pulak Mufti yang tiada kepentingan pun kita hentam apabila tak sebulu dengan kita, subhanallah)
  7. Kenapa kita harus bermusuhan sedangkan Islam menyeru kita kasih mengasihi sesama ummah.
  8. Bersatulah Melayu...sudah lah saya tidak mahu dengar alasan lagi.

Thursday, September 23, 2010

Nombor Plat Kereta MCA 1 sehingga MCA 9999 Hanya Untuk Ahli MCA?

KATA KONG

Pada 21 September 2010, Menteri Pengangkutan Datuk Seri, Kong Cho Ha, yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan sepucuk surat berkenaan pendaftaran kenderaan dengan huruf "MCA" yang dikatakan hanya untuk ahli parti MCA. Beliau menunjukkan surat kepada pemberita selepas diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai desas-desus bahawa nombor plat "MCA" yang bakal didaftarkan di Melaka selepas nombor plat "MBY", hanya dikhususkan untuk ahli MCA.

Surat bertarikh 17 Februari, 2010 itu didapati ditulis Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, yang meminta pembukaan tender bagi nombor pendaftaran kenderaan negeri Melaka bermula MCA 1 sehingga MCA 9999 dikecualikan.

Surat itu ditujukan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.

Diminta mengulas lanjut isu tersebut, Kong yang ditemui selepas jamuan Aidilfitri kementeriannya berkata beliau akan membatalkan arahan tersebut.

KATA ONG

Ong, dalam laporan akhbar, menafikan desas-desus bahawa beliau telah menggunakan kuasanya ketika itu untuk mengarahkan JPJ membekukan penjualan nombor plat tersebut, bagi dikhususkan kepada MCA.

Permintaan supaya nombor plat kenderaan berhuruf MCA dihadkan kepada golongan tertentu telah ditolak beliau pada awal Mac lalu.

Tee Keat ketika menjelaskan perkara itu memberitahu, permintaan itu dibuat pada Februari lalu ketika beliau bercuti selepas menjalani pembedahan tumit.

"Selepas memulakan kerja pada awal Mac, antara perkara yang dibawa kepada perhatian saya ialah berkenaan isu nombor plat MCA ini yang disampaikan kepada saya menerusi satu memo, bukannya surat daripada setiausaha saya pada ketika itu."

"Saya menolak permintaan itu dan mengarahkan supaya tiada sebarang nombor plat bukan sahaja dari Melaka, malah negeri lain tidak boleh mengadakan sekatan terhadap nombor plat kenderaan," katanya

Bekas Presiden MCA itu turut melahirkan rasa kecewa terhadap Cho Ha yang tidak merujuk perkara itu kepadanya terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.

"Saya terkilan dengan Cho Ha kerana beliau tidak memastikan terlebih dahulu sama ada memo itu sahih atau tidak kerana ia tidak ditandatangani oleh saya sendiri," katanya.

"Setiausaha Agung MCA itu seharusnya bertanya kepada saya supaya saya boleh jelaskan apa sebenarnya berlaku. Walaupun bukan lagi Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA, saya tidak menghilangkan diri," katanya.

KATA SOLAH

Ketua pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata pihaknya menerima surat rasmi bertarikh 17 Februari 2010, dari setiausaha sulit kanan, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat, mengarahkan JPJ tidak membuka tender nombor pendaftaran tersebut untuk tawaran umum.

"Arahan tersebut masih berkuatkuasa sampai hari ini, dan tidak pernah ada arahan yang baru daripada Datuk Seri Ong Tee Keat sepanjang masa beliau memegang sebagai menteri," katanya

Untuk membuka nombor pendaftaran tersebut kepada umum semula, kata Solah, JPJ memerlukan arahan baru daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan arahan lama yang dibuat oleh bekas menteri

KATA KU

Ini pengajaran bagi mereka yang berkuasa, semasa ada kuasa kita boleh buat apa saja, bila kuasa telah hilang segala temberang akan terkeluar. Jadi bila diberi kuasa, laksanakan amanah tersebut sebaik mungkin dan jangan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri, kroni dan kumpulan tertentu.

Kes Pembinaan Gereja Orang Asli di Gua Musang

17 September 2010 yang lalu, Malaysiakini melaporkan sebuah lagi pembinaan gereja Orang Asli di Kelantan diarahkan dihentikan oleh pihak berkuasa, kali ini oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA)

Arahan henti pembinaan itu dikeluarkan di kampung Temiar, Pos Pasik Kelantan kerana tiada kebenaran diberikan bagi membina gereja di situ.

Hampir separuh daripada penduduk kampung itu telah menganut agama Kristian sejak beberapa tahun lalu.

Namun menurut penyelaras bagi Centre for Orang Asli Concerns, Colin Nicholas, kelulusan JHEOA tidak pernah dipohon dan surat sebelum itu adalah hanya surat makluman.

Menurut beliau, Orang Asli Pos Pasik berpendapat adalah menjadi hak mereka bagi membina struktur berkenaan di tanah mereka seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Colin (kiri) berkata peguam Lum Chee Seng yang mewakili ketua kampung Temiar itu kepada ketua pengarah JHEOA pada 13 September lalu untuk memaklumkan bahawa kebenaran jabatan itu tidak pernah dipohon.

"Beliau juga menuntut penjelasan berhubung penolakan pembinaan gereja itu,” katanya.

Pada 23 September 2010, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Yusof Wan Ngah menjelaskan pembinaan gereja untuk orang Asli di Pos Pasik, 70 km dari Gua Musang sepatutnya tidak menjadi masalah jika ia dibuat melalui saluran yang betul dan bukannya secara 'bina dulu dan memohon kebenaran kemudian'.

"Isu utama saya nampak ialah pembinaan tanpa izin pihak berkuasa JHEOA (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli) dan pejabat tanah Gua Musang.

"Pihak orang Asli di Pos Pasik atau pihak gereja kena minta kebenaran membina dulu. Masalahnya buat dulu minta kemudian. Kenapa tak bincang atau mohon lebih awal dan minta pandangan pihak berkuasa terlebih dulu. Di sini timbul soalan, gereja itu dibina atas kehendak siapa?" soal beliau.

"Sebenarnya semua urusan tanah di bawah tanggungjawab Ketua Jajahan, maka tidak benar Pos Pasik itu di luar kuasa pejabat jajahan. Cuma ia di luar bidang kuasa majlis daerah memang benar," kata Wan Nik.

Menurut beliau, hak eksklusif orang Asli dalam kawasan penempatannya hanya untuk bercucuk tanam dan tempat tinggal bukan untuk membina apa-apa bangunan termasuk rumah ibadat.

"Sebab kehidupan nature orang Asli memang tiada rumah ibadat! Keperluan rumah ibadat adalah tertakluk kepada permohonan pihak agama itu sendiri atau kerajaan," katanya.

Apapun, katanya, prinsip dan dasar kerajaan negeri adalah selaras dengan perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 3(1) yang memberi hak dan kebebasan semua kaum dan agama mengamalkan cara hidup masing-masing.

"Tetapi di sana ada peraturan lain yang perlu dipatuhi bagi mengamalkan kebebasan itu. Maksudnya kebebasan berasaskan rule of law. Pihak pastor Moses Soo tu kena bertimbang rasional, tak boleh nak force tak tentu kalu," kata beliau.

Wednesday, September 22, 2010

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) kena secaj pengguna domestik

Kerajaan Negeri Pulau Pinang  memperkenalkan tarif penjimatan air untuk pengguna air domestik bermula 1 November 2010, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kadar yang dikenakan ialah 20 peratus lebih tinggi daripada kos penggunaan lebihan air yang bertujuan menghadkan penggunaan air kepada 233 liter sehari berbanding sekarang 286 liter sehari

Menurutnya, terdapat tiga tujuan utama berbuat demikian, pertamanya adalah untuk menghukum golongan yang membazir air kerana terdapat 30 peratus pengguna air di negeri ini suka melakukan pembaziran air paip yang disediakan oleh kerajaan.

Selain itu, katanya tarif penjimatan juga bermatlamat memastikan rakyat Pulau Pinang tidak menyalahgunakan subsidi air domestik yang mereka nikmati sekarang.

Ia juga, ujarnya untuk mempromosikan budaya penjimatan air di negeri ini di samping membantu penjimatan PBA, kerajaan negeri serta pelaburan asing tanpa membina.

Sebelum ini parti-parti politik pembangkang akan menggunakan apa saja isu untuk menghentam pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Apabila berlaku kenaikan harga minyak misalnya, mereka akan mencari jalan bagaimana memainkan isu tersebut agar kerajaan BN dilihat seolah-olah membelakangkan rakyat dalam menetapkan sesuatu dasar.

Tetapi apabila mereka sendiri yang memerintah, maka barulah mereka sedar bahawasanya memang senang untuk mengkritik dan memanipulasikan sesuatu isu tetapi untuk melaksanakan pentadbiran sesebuah negeri, mereka harus mengambil kira banyak perkara yang kadang-kadang terpaksa mengorbankan sedikit kepentingan rakyat demi kemajuan dan pembangunan negara.

Kadang-kadang apabila kita menghadapi sendiri, memerintah sendiri baharulah kita sedar apa yang kita kritik dulu rupanya kita juga akan melakukan perkara yang sama apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

Malah apa yang peliknya ialah alasan yang diberikan adalah untuk menghukum rakyat yang membazir air. Bukan sahaja sudah tidak menyokong rakyat, tetapi telah pandai menghukum rakyat pula. Inilah pembelaan sebenar terhadap pengundi-pengundi yang telah menyokong mereka semasa pilihanraya. Sama-samalah kita rasakan...

Munajat royalti di Mekah perlu RM400 ribu

Sekretariat Tabung Misi Munajat Royalti Rakyat menganggarkan sebanyak RM400 ribu diperlukan untuk membawa 40 ulama serta tok guru pondok dari seluruh pelusuk negeri ke Mekah berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas.

Laman web rasminya http://www.munajatroyalti.com/ merayu derma dari seluruh Rakyat Negeri Kelantan yang tercinta adalah untuk menampung kos misi munajat 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat selama 40 hari dan 40 waktu di Baitullah (Mekah) bertujuan untuk memberi sokongan spiritual yang padu rakyat seluruh Negeri Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Rakyat Kelantan di dalam Kes Tuntutan Royalti Minyak Kelantan. 40 Ulamak & Tok Guru Pondok dari seluruh Kelantan akan bermunajat untuk memohon kerahmatan dan kesejahteraan khusus buat rakyat negeri Kelantan semuanya dan untuk seluruh rakyat Malaysia amnya.

Tujuan kami adalah untuk mempertahankan dan memartabatkan kepimpinan ulamak / alim ulama / ahli agama di dalam kehidupan hal ehwal seharian kita sebagai umat Islam.

Menurut Md Zulaimi lagi, perlancaran tabung di Lembah Kelang dijadual pada 14 November nanti di Stadium Bangi, Selangor yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini dilaporkan tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005 dan sehingga tahun ini. Jumlah terkumpul dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion.

Program secara berkala yang dijangka bermula Disember ini adalah dianjur sekretariat khas royalti yang di bawah Gerakan Bertindak Kebalikan Royalti Minyak (Gegar).

Ketua NGO itu, Md Zulaimi Kazin, dalam sidang medianya memberitahu sebahagian besar anggota mereka disertai oleh para ulamak dari beberapa buah pondok, terutama dari Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumbuh.

Menurutnya, seketeriat yang dipengerusikan Tuan Guru Hussin Ibrahim, dari Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas itu, diadakan bertujuan untuk menyampaikan mesej rakyat menuntut royalti itu melalui golongan ulamak.

Ujarnya, 40 ulama yang akan menyertai misi ini dipilih berdasarkan jasa dan khidmat yang dicurahkan bagi pembangunan ilmu agama di negeri Kelantan.

“ Pemilihan ulama tersebut di buat dari kalangan ulama dipondok-pondok, ulama kawasan dari Dewan Ulama PAS dan ulama di kalangan ahli akademik,” ujarnya lagi.

Tambahnya, para ulama berkenaan juga akan mendoakan kelancaran proses tuntutan di mahkamah sekiranya tuntutan itu dibawa ke peringkat tersebut.

“Paling penting misi ini akan menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan Pusat dan Petronas bahawa rakyat Kelantan turut bangkit menuntut hak mereka."

Kuil Maha Mariamman dibina semula


Malaysiakini melaporkan, Kuil Hindu Sri Maha Mariamman di Seksyen 16 Shah Alam yang dirobohkan oleh kerajaan negeri pada 2007 sehingga menyebabkan pengundi India menolak BN dalam pilihan raya umum lalu, akan dibina semula.

Hari ini, exco kerajaan Selangor yang bertanggungjawab terhadap rumah ibadat bukan Islam, Dr Xavier Jayakumar merasmikan kawasan seluas 15,000 meter persegi yang diwartakan sebagai tapak baru kuil tersebut.

"Esok, mesyuarat exco negeri akan turut meluluskan dana RM300,000 untuk pembinaan kuil tersebut," tambah Dr Xavier.

Beliau juga menjelaskan bahawa tapak itu diserahkan oleh pihak pemaju untuk diwartakan sebagai tapak kuil selepas semua pihak terbabit mengadakan 17 perjumpaan.

Kuil tersebut serta kawasan setinggan Rimba Jaya dirobohkan pada 2007 oleh kerajaan negeri BN di bawah program setinggan sifar.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini (BN) telah menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak yang berkepentingan politik, terutamanya PKR, berkenaan isu ini.

Tanah setinggan Rimba Jaya, Shah Alam bukanlah milik kerajaan negeri seperti yang didakwa. Sebaliknya ia dimiliki sebuah syarikat swasta yang kemudiannya gulung tikar dan diletakkan di bawah Danaharta. Danaharta kemudiannya membenarkan sebuah syarikat baru mengambil alih tanah tersebut. Berikutan pengambil alihan ini, syarikat tersebut perlu memajukan kawasan yang diambil alih bagi mendapatkan kembali pulangan modal yang telah dikeluarkan ketika mengambil alih tanah ini.

Oleh kerana di atas tanah tersebut terdapat 1121 setinggan yang tinggal, maka Kerajaan Negeri Selangor telah mengenakan syarat supaya syarikat tersebut menyediakan rumah-rumah kos rendah dengan subsidi RM7, 000.00 sekeluarga/seunit kepada semua keluarga setinggan.

Pada peringkat awal syarikat tidak mahu membina rumah kos rendah dan rumah ibadat kepada umat Islam dan Hindu.

Namun Kerajaan Negeri ketika itu bertegas bahawa kawasan itu tidak bolah dimajukan selagi syarikat pemaju tidak mengemukakan pelan yang meliputi pembinaan rumah kos rendah serta menyediakan kawasan tapak untuk surau dan kuil secara percuma dan sah.

Setelah syarikat bersetuju dengan syarat yang dikenakan, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan notis pertama pada 2005.

Walau bagaimanapun penduduk tidak bersetuju dengan tawaran pemilik tanah yang dibuat melalui Kerajaan Negeri. Dalam hal ini Kerajaan Negeri telah menjadi orang tengah untuk berunding untuk mendapatkan penyelesaian yang menguntungkan kedua belah pihak.

Setelah diadakan rundingan, lapan puluh peratus (80%) penduduk bersetuju dengan tawaran tersebut. Mereka berpindak ke rumah Council yang telah disediakan di Shah Alam juga.

Apabila notis kedua dikeluarkan, terdapat 11 pemilik rumah tidak bersetuju dan memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Perbicaraan telah dijalankan di antara peguam pemilik tanah dengan peguam setinggan.

Keputusan mahkamah mengatakan bahawa setinggan perlu kosongkan kawasan tersebut dan pemilik tanah berhak bersihkan kawasan tanah tersebut. Setinggan memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi dan keputusan memihak kepada pemilik tanah. Pihak setinggan sekali lagi memfailkan kes ke Mahkamah Tinggi Rayuan. Keputusan tetap menyebelahi kepada pemilik tanah kerana itu adalah tanah persendirian.

Pemilik tanah telah memohon bantuan kerajaan negeri untuk membersihkan kawasan tersebut dan kerajaan Negeri bertanggungjawab mengikut Akta Kanun Tanah Negara membantu proses pembersihan tersebut. Kerajaan negeri sekali menyatakan bahawa pembersihan ini hanya dilakukan jika tapak kuil disediakan dan rumah kos rendah mesti dibina.

Setelah pemaju menyediakan tapak kuil tersebut barulah notis ketiga dikeluarkan pada 3 Oktober 2007.

Penyediaan tapak kuil ini adalah persetujuan yang telah pun dinyatakan oleh pemilik kuil dan juga telah dipersetujui lebih awal oleh oleh Mendiang Dato’ K Sivalinggam dalam mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri. Kedua-duanya memberi persetujuan dengan syarat tapak kuil baru disediakan sebelum dirobohkan tapak sedia ada.

Hakikatnya kerajaan Negeri ketika itu telah memberi peluang selama 3 tahun untuk proses pemindahan dijalankan secara teratur dan baik.

Kerajaan Negeri terpaksa mengambil tindakan perobohan mengikut Undang-undang Kanun Tanah Negara untuk membenarkan pembangunan dibuat. PBT tidak mahu dituduh tidak mengikut arahan mahkamah.

Pemaju juga telah sanggup membayar ganti rugi, yang mungkin ada, untuk pemindahan kuil.

Malangnya, pihak pembangkang telah mempengaruhi penganut Hindu dari luar supaya datang untuk berkumpul di kuil sehingga sami kuil itu sendiri tidak boleh masuk ke kuil tersebut.

Kerajaan Negeri sebenarnya telah memberi banyak masa dan peluang.

Kerajaan Negeri ketika itu juga telah menghalalkan beberapa kuil haram seperti yang telah dicadangkan oleh Pertubuhan Hindu Sanggam. Malah premium tanah yang dikenakan juga adalah minimum.

Tuduhan mengatakan Kerajaan Negeri tidak membantu agama lain adalah tidak benar. Kerajaan Negeri telah menyediakan kawasan yang besar di Batu Caves tanpa gangguan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Malah Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM 3 juta untuk rumah ibadat bukan Islam.

Komitmen kerajaan Negeri untuk membantu menyediakan kemudahan kepada rumah Ibadat tidak perlu dipertikaikan. Adalah menjadi menjadi kewajipan Kerajaan Negeri Selangor menyediakan kemudahan beribadat kepada semua kaum berdasarkan kebebasan beragama.

Kerajaan Negeri Selangor merasakan bahawa tindakan yang dibuat adalah undang-undang dan peraturan.

Janganlah kita terpengaruh dengan orang yang mempunyai kepentingan politik kerana agama tidak sepatutnya dipergunakan untuk mendapat keuntungan politik murahan.

Tuesday, September 21, 2010

Pengetua 'rasis' - MCA cadang anjur protes

Ketua MCA Kedah, Chong Itt Chew berkata jika pengetua itu - Ungku Aznan Ungku Ismail yang dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar bukan Melayu pada bulan Ramadan yang lalu, tidak dipindahkan ke sekolah lain, parti itu mungkin menganjurkan protes di depan sekolah berkenaan.

Chong berkata ibu bapa murid-murid terbabit juga telah memohon kepada Jabatan Pelajaran agar pengetua SMK Bukit Selambau (SMKBS), Sungai Petani, itu dipindahkan secepat mungkin.

"Kami akan memberikan pihak berkuasa masa yang mencukupi tetapi tidak menolak langkah drastik seperti mengadakan protes di luar pagar sekolah,” katanya.

Setiausaha MCA Kedah, Yong Pau Chak berkata beliau masih memantau keadaan dan berkata pengesahan akan didapatkan untuk mengetahui sama ada Ungku Aznan telah kembali ke sekolah itu selepas cuti Aidilfitri. "Pendirian kami MCA) tetap tidak berubah, pengetua sepatutnya dipindahkan atau dikenakan hukuman. Jika terbukti dia tetap kekal di sekolah itu, kami akan memikirkan langkah seterusnya,” katanya.

Sementara itu Chong menggesa Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong supaya menghormati permintaan ibu bapa yang anak-anak mereka terlibat dengan kejadian itu yang mahu pengetua berkenaan dipindahkan.

Mari kita renung-renungkan, sebenarnya apa telah berlaku kepada negara kita? Adakah semua orang atau kumpulan boleh menentukan hukuman kepada sesiapa di negara ini? Kalau masing-masing menentukan hukuman terhadap yang dituduh maka huru-hara lah negara.

Apakah cukup hukuman terhadap penghinaan Meng Chee kepada lagu negaraku dan negara kita? Adakah cukup hukuman terhadap mereka yang menyimbahkan cat merah di surau? Adakah cukup hukuman kepada mereka yang mempertikaikan perlembagaan persekutuan? Adakah cukup hukuman kepada Soi Lek yang meminta agar ekuiti Bumiputera dihapuskan?

Kalau setiap orang boleh menentukan hukuman, maka sudah tentu Meng Chee ditarik-balik kerakyataan kerana menghina negara sendiri.

Janganlah terlampau ego dengan kuasa yang ada sehingga boleh mengugut pihak berwajib menjalankan tugas. Ingatlah sebelah pihak yang lain juga mampu melakukan lebih lagi daripada apa yang kita lakukan jika mereka meletakkan perpaduan dibelakang dan nafsu amarah dihadapan. Utamakan perpaduan kerana jika berlaku huru-hara, orang-orang Cina yang memiliki sebahagian besar kekayaan negara jualah yang akan lebih merasai kerugian. Percayalah...

Petisyen ketiga bantah pelantikan sultan baru

Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra memfailkan petisyen ketiga di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mendapatkan pengisytihan bahawa pelantikan anakandanya Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sultan adalah tidak sah.

Param Cumaraswamy dari pasukan peguam yang mewakili Tuanku Ismail, berhujah bahawa Tuanku Muhammad Faris - ketika menjadi pemangku raja - tidak mempunyai kuasa untuk meminda perlembagaan negeri atau dalam kedudukan untuk melantik anggota Majlis Perajaan Kelantan.

Dua petisyen sebelum ini - yang difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun ini - dijadualkan untuk didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Oktober dan petisyen ketiga dijangka didengar pada masa yang sama.

Kenapakah Tuanku Ismail Petra yang dalam keadaan sekarang yang sememangnya tidak memungkinkan beliau menjalankan tugas sanggup menfailkan petisyen? Adakah beliau masih mahu menjadi sultan Kelantan? Sudah pasti sebagai manusia biasa, Tuanku Ismail tidak sanggup lagi menjadi sultan dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Jika Tuanku hendak melepaskan Tahta, pastinya Tuanku Muhammad Faris Petra yang merupakan Tengku Bendahara lah sepatutnya menaiki tahta. Jadi jelaslah Tuanku Ismail telah menfailkan petisyen adalah bukan atas kehendak beliau.

Siapakah dalang dibalik semua kemelot Istana Kelantan selama ini? Semua rakyat Kelantan malah seluruh negara pun telah boleh meneka siapakah yang bertanggungjawab memastikan perkara ini berpanjangan. Sudah pasti mereka yang kecewa lah yang menjadi tok dalang agar kekecohan berterusan setelah segala kepentingan diri mereka yang dinikmati selama ini akan hilang sekelip mata.

Peringatan kepada mereka, ingatlah Allah maha berkuasa terhadap sesuatu. Kita merancang, Tuhan juga ada perancanganNya dan perancangan Allah yang akan menjadi nyata. Jangan kerana sedikit kemewahan dunia, kita sanggup menzalimi darah daging sendiri.

Monday, September 20, 2010

Penagih dadah Terengganu meningkat 1,366.67%

Kosmo 20/09/2010 melaporkan, Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd. Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).

"Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.

Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine.

Kita sebagai orang Melayu yang semestinya beragama Islam amat sedih dengan fakta-fakta ini. Saya melihat sendiri tiga anak muda di kampung saya yang menjadi penagih dadah, mengidap aids dan seterusnya meninggal dunia. Sedih sungguh melihat kehidupan mereka yang langsung tidak menyumbang kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara. Apa yang mereka tahu hanya mencuri harta penduduk kampung untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Saya sudah lama menunggu-nunggu parti politik yang dengan bangga menyatakan memperjuangkan Melayu dan satu lagi parti politik yang megah memperjuangkan Islam agar bersungguh-sungguh mengatasi masalah orang Melayu Islam yang seolah-olah tiada penghujungnya ini. Mereka kadang-kandang lebih suka memperbesar-besarkan perkara yang masih menjadi khilaf dan tidak perlu diletakkan sebagai keutamaan ketika ini sebagai bahan debat bagi menunjukkan kejagoaan masing-masing.

Anak-anak muda Melayu Islam yang semakin ramai menuju jalan khayalan dilihat dengan sebelah mata. Mereka seolah-olah meletakkan tugas menentang najis dadah hanya kepada AADK semata-mata. Anak-anak muda inilah yang sepatutnya diberi perhatian oleh parti politik Melayu Islam dan sama-sama berusaha membenteras najis dadah sehingga ke akar umbi. Bilakah masanya PAS dan UMNO akan meletakkan perjuangan menentang najis dadah dikalangan belia Melayu Islam sebagai agenda politik mereka? Kita hanya mampu berdoa...

Umno telah menyalahgunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk keuntungan kroninya

DAP mendakwa bahawa Umno telah menyalahgunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk keuntungan kroninya, dan mendakwa tindakan itu melanggar Perkara 8 perlembagaan. Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham  berkata Perkara 153 menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong melindungi peruntukan kepada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dalam institusi pendidikan dan perkhidmatan awam, untuk biasiswa dan pemberian permit.

Bagaimanapun, dakwanya, Umno telah memperluaskan skop kedudukan istimewa itu, merangkumi hak-hak lain termasuk perumahan dan kedai untuk dijual dengan diskaun, dan mewujudkan ekuiti korporat, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan sistem. Ngeh yang juga ahli parlimen Bruas dan ADUN Sitiawan berkata, tindakan itu bertentangan dengan apa yang telah ditentukan mengikut Perkara 153 dan melanggar Pasal 8 perlembagaan persekutuan, yang menyatakan bahawa semua rakyat Malaysia adalah sama di segi undang-undang.

Ngeh menegaskan demikian dalam ceramahnya anjuran DAP cawangan Aulong di Taiping pada malam Jumaat lalu, yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 penyokong.

Ku Li pula menjelaskan Perkara 153 secara jelas membuat peruntukan tentang kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Selepas diwujudkan DEB akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 (di waktu mana orang Melayu hanya memiliki sebahagian kecil kekayaan ekonomi negara), hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak diperluas kepada bidang lain – termasuklah ekuiti dalam perbadanan awam, dan diskaun antara 5% hingga 15% untuk membeli harta tanah.

Dr Abdul Latiff, profesor Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya menegaskan pengorbanan orang Melayu mengizinkan kerakyatan orang asing secara “jus soli” di samping jaminan perlindungan hak sah kaum mereka, tidak dinilai atas dasar persaudaraan dan timbang rasa.

“Isu ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia hanya akan mengundang rasa amarah, curiga dan permusuhan yang memudaratkan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, walaupun tiada akta, statut atau kes perundangan di mahkamah yang mentafsirkan prinsip 153 secara jelas, tetapi komitmen kerajaan menterjemahkannya melalui dasar dan pelaksanaan menunjukkan perkara itu penting untuk dikekalkan, dilindungi dan diperkasakan.

Malahan, katanya, tafsiran yang dibuat mereka itu “jelas tidak merujuk kepada maksud tersurat dan tersirat Perlembagaan itu sendiri dan kontrak sosial yang menjadi denyut nadi semangatnya.

Dr Abdul Latiff juga menggesa rakyat Malaysia didedahkan di peringkat awal mengenai maksud tersurat dan tersirat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menyatakan rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan.

"Bila British sampai ke Tanah Melayu, mereka dapati terdapat beberapa tempat di Semenanjung sudah mempunyai kerajaan dan mereka mengiktiraf kerajaan tersebut. Kerajaan itu ada ramai rakyat (orang Melayu) dan bagi British, rakyat kepada raja itu mempunyai hak yang khusus, orang lain yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat raja, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu," katanya.

Beliau berkata orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat raja dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948. "Apabila British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, apa yang sudah wujud disambung, menjelang tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal dan dimasukkan perkara-perkara yang sudah wujud," katanya.

Justeru, kata Khoo, rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut.

"Kalau Perkara 153 perlu dipinda atau dihapuskan, keseluruhan orang Melayu mesti setuju, kalau orang Melayu rasa belum sedia untuk pinda, maka ia tidak boleh dipinda," katanya

Sunday, September 19, 2010

HUKUM HUDUD? TAK RAMAI ORANG ISLAM FAHAM

Pada pandangan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat, definisi hudud adalah luas bukan sahaja meliputi bab jenayah, sebaliknya termasuklah dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai.

“Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan. Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah SWT itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududullah,” katanya.

“Hudud ialah hak-hak Allah, jadi sembahyang juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan hudud. Apa pelik sangat pasal hudud?” soalnya.

Beliau berkata, persoalan sama ada PAS mampu laksanakan hudud atau sebaliknya selagi bersama pakatan tidak menjadi agenda utama perlu dibincangkan buat masa kini.

Dua tokoh Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang segera menolak pelaksanaan hudud yang dibincangkan dalam satu seminar di Kota Bharu baru-baru ini terus menjadikan isu masyarakat berbilang kaum dan zaman moden sebagai alasan.

Sebenarnya kitalah yang menyebabkan kekeliruan tentang hudud, si polan menyatakan hudud itu mencakupi segala-galanya termasuk solat dan nikah cerai. Jadi apakah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN sekarang seperti sistem perbankan dan kewangan Islam, mahkamah dan perundangan syariah, meningkatkan syiar Islam seperti mendirikan masjid dan sebagainya adakah telah merangkumi pelaksanaan hudud? Manakala si polan yang lain pula merujuk kepada undang-undang jenayah dalam Islam.
 
Definisi mengenai hudud yang berkaitan dengan jenayah ialah ; Hukum-hukum yang tertentu yang ditentukan oleh Allah sama ada melalui al-Quran atau Sunnah Nabi Muhammad s.a.w sebagai Hak Allah yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu yang digolongkan di dalam jenayah Hudud, iaitu tujuh jenis seperti yang diterangkan oleh al-Quran .

Al-Mawardy pula mendefinisikan Hudud sebagai Sekatan-sekatan atau deraan-deraan yang ditentukan oleh Tuhan sebagai balasan ( hukuman ) kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah dan meninggalkan pekara-perkara yang diperintah, kerana tabiat semulajadi manusia yang dikuasai oleh nafsu yang melalaikan dari seksaan akhirat dengan semata-mata mengejar kelazatan dunia yang cepat . ( al-Mawardy, al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 221 )

Definisi yang moden dan agak tepat yng dibuat oleh Abdul Qadir Audah tentang jenayah, ialah ( jenayah-jenayah ) yang diseksa kerana melakukannya dengan seksaan Hudud . Hudud ialah seksaan-seksaan yang tertentu sebagai Hak Allah s.w.t. Maksud tertentu di sini ialah tidak ada seksaan minima atau maksima, hanya satu seksaan sahaja. Maksud Hak Allah ialah seksaan itu tidak boleh digugurkan ( dimaafkan ) sama ada oleh individu atau masyarakat. ( Abdul Qadir Audah, al-Tasyri c al-Jinaiy al-Islamiy, hlm. 78 ).

Di dalam seksaan itu sebagai Hak Allah kerana ia dikenakan ( dikuatkuasakan ) untuk kemaslahatan awam (masyarakat ), iaitu membanteras fasad dalam masyarakat dan menjamin kestabilan dan kesejahteraan kepada mereka. Tiap-tiap jarimah merosakkan masyarakat dan manfaat dari seksaan yang dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah kerana melakukan jenayah tersebut, adalah kembali kepada masyarakat, maka seksaan-seksaan yang dikenakan kerananya dianggap Hak Allah supaya terjamin tercapainya manfaat tersebut. Untuk memastikan supaya kemudharatan ( fasad ) terhindar, maka dianggap seksaan tersebut sebagai Hak Allah supaya tidak gugur seksaan tersebut oleh individu atau masyarakat bila saja disabitkan bersalah.

Jenayah Hudud ada tujuh jenis :
i.     Zina
ii.    Tuduhan Zina ( Qazaf ) tanpa empat saksi
iii.   Minum Arak
iv.   Mencuri
v.    Hirabah ( Perusuh / ganggu keamanan )
vi.   Murtad
vii.  Baghy (Bughah – Pemberontakan)

Telah disebut bahawa pengharaman bagi tiap-tiap jenayah Hudud dan Qisas dan seksaan-seksaan yang dikenakan keatasnya adalah bersumberkan al-Quran dan Al-Sunnah, umpamanya bagi kes zina dan tuduhan melakukan zina.

Pengharaman Zina, firman Allah yang bermaksud :Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk .
( al-Quran, al-Isra : 32 )

Hukuman Zina, firman Allah yang bermaksud :Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari mereka seratus kali sebatan .
( al-Quran, an-Nur : 2 )

Hadis Nabi mengenai zina, mafhumnya :Ambillah dari aku ! Sesungguhnya Allah memberi jalan kepada mereka ( perempuan yang berzina ), jikalau teruna dengan dara hendaklah disebat seratus kali sebatan, dan dibuang negeri setahun, dan jika yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin hendaklah disebat dengan seratus kali sebatan dan direjam dengan batu sampai mati .( Muslim, Sahih : hlm. 188 )

Zina diharamkan dan hukuman hadnya ialah buang negeri ( taghrib ) dan disebat seratus kali bagi yang belum kahwin, dan disebat seratus kali dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin ( muhsan ), ada yang berpendapat hanya rejam sahaja bagi yang telah berkahwin.

Pengharaman Tuduhan Zina ( Qazaf ) tanpa empat orang saksi dan hukuman Had mengenainya, Firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 4 yang bermaksud :Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik melakukan zina, dan mereka tidak membawa empat orang saksi, maka deralah mereka ( yang menuduh itu )lapan puluh sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya, dan mereka adalah orang-orang yang fasiq

Iaitu tuduhan zina ( Qazaf ) tanpa membawa empat orang saksi adalah haram, dan hukuman had ke atas orang yang menuduh itu ialah lapan puluh kali sebatan beserta hukuman tambahan iaitu tidak diterima kesaksian orang itu selama-lamanya.

PAS sepatutnya memainkan peranan yang lebih besar dengan memberi kefahaman kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk kepada ahli-ahli mereka bagi mengelakkan kekeliruan terutama kepada bukan Islam. Walaupun apa yang diterangkan semua betul belaka, namun jika tidak jelas atau cara penerangan yang tidak mantap maka tindakan tersebut boleh mengelirukan orang bukan Islam. UMNO juga tidak sepatutnya mengambil sikap berdiam diri dengan hanya membiarkan PAS memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud. Sepatutnya dalam hati setiap muslim wujud cita-cita tersebut dan tidak sepatutnya ianya kekal hanya di dalam hati orang-orang UMNO selama-lamanya tanpa dizahirkan kepada umum.


Rakan Datuk Sosilawati Ditemui Mati Tergantung


BUKIT MERTAJAM (18 Sept 2010) - Seorang pengasas produk kecantikan jenama Aveer, Sarina Jaafar, 43, yang juga rakan Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam bilik di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam.

Kejadian itu disedari oleh anak bongsu Sarina yang berusia 16 tahun kira-kira pukul 8.30 pagi ketika masuk ke biliknya.

Bagaimanapun sehingga semalam polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan menolak sebarang kaitan dengan unsur jenayah.

Menurut anak sulung mangsa, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur dan bergegas pulang sebaik mendengar mengenai berita kematian ibunya itu.

Tambahnya, sebelum ini ibunya pernah menyatakan rasa terkilan dengan nasib malang yang menimpa rakannya, Sosilawati yang dibunuh dengan kejam baru-baru ini.

"Ibu dan Datuk Sosilawati memang sudah berkawan lama kerana mereka sama-sama terlibat dalam bidang produk kecantikan dan sejak kebelakangan ini ibu sering memberitahu dia berasa sedih dengan nasib yang menimpa Sosilawati," katanya.

Kita berharap agar pihak Polis menjalankan siasatan yang menyeluruh termasuk kemungkinan ada kaitan dengan pembunuhan Datuk Sosilawati dan penjualan tanah di Pulau Pinang. Mungkin juga kes terbaru ini merupakan satu lagi misteri yang perlu dirungkaikan. Semoga pihak Polis dapat melaksanakan tugas dengan cekap dalam menyelesaikan kes ini.

Autonomi Kepada Sabah jika Pakatan Rakyat Memerintah

Ketika melancarkan Pakatan Sabah di Kota Kinabalu pada malam Rabu lalu (15 Sept. 2010), Anwar bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, berikrar bahawa Sabah akan diberikan autonomi penuh jika Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

"Hal ehwal Sabah akan ditentukan oleh Sabah,” kata Anwar yang dipetik The Borneo Post.

Pemimpin nasional dan negeri Pakatan daripada ketiga-tiga parti - PKR, PAS dan DAP - menghadiri majlis itu tetapi parti bebas SAPP tidak hadir.

Menurut Chin yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Monash, ketidak-hadiran SAPP tidak memberi kesan asalkan semua mereka sepakat untuk bertanding satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya akan datang.

Katanya, ikrar autonomi itu agak signifikan di Sabah kerana sentimen tersebut masih kuat berhubung perjanjian 20 perkara yang dimeterai semasa pembentukan Malaysia antara Malaya, Sarawak dan Singapura pada 1963 yang terus diketepikan oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun perkara itu kurang berkesan di Sarawak kerana ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya mengurangkan campur tangan persekutuan di negeri itu pada tahap minimum.

"Terdapat lebih banyak campur tangan persekutuan di Sabah kerana kerajaan pembangkang,” katanya yang merujuk kepada PBS.

Semasa menjadi timbalan perdana menteri ketika pentadbiran Tun Dr Mahthir Mohamad, Anwar dilihat sebagai dalang yang menumbangkan kerajaan negeri pembangkang pimpinan PBS pada 1994. Namun hari ini beliau akan menjadi jaguh yang memperjuangkan Sabah.

Manusia boleh berubah-ubah dalam sekelip mata, hari ini berjanji sumpah setia, esok dikhianatinya, ini lah yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja baik dalam percintaan, di tempat kerja, dan janji-janji politik. Jadi bagaimana hendak mempastikan terlaksananya janji-janji tersebut? Tiada siapa yang dapat memastikan janji dikotakan kecuali Allah yang maha berkuasa terhadap sesuatu. Jika begitu, sesiapapun boleh berjanji dan tidak kesah memungkiri janji apabila Allah dan Rasul diletakkan ditepi.

Apapun dalam mengukir janji-janji politik, Pakatan Rakyat harus juga melihat dengan lebih jauh sistem pentadbiran di negara ini bagi mengelakkan kecelaruan apabila dilaksanakan. Jika autonomi diberikan kepada Sabah, negeri-negeri lain juga akan menuntut agar mendapat taraf yang sama. Apakah maksud dan perincinan autonomi yang dimaksudkan? Saya melihat sistem pemerintahan yang ada sekarang yang telah menyenaraikan hak dan tanggungjawab persekutuan dan negeri sudah cukup jelas dan tidak mendatangkan masalah selama ini.

Namun, jika dikatakan amalan atau pelaksanaan oleh kerajaan BN yang seolah-olah tidak mengiktiraf kerajaan negeri yang diperintah oleh pembangkang, saya akui memang wujud ketidakadilan umpamanya penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang disifatkan sebagai kerajaan dalam kerajaan didapati telah merampas hak kerajaan negeri Kelantan umpamanya dari segi menerima agihan wang pembangunan yang dipertuntukkan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) sejak daripada RMK6 sampailah sekarang memasuki RMK10. Penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang merupakan kelangsungan daripada pewujudan jawatan Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) bagi mengantikan Penghulu Mukim juga dilihat seperti ada udang disebalik batu. Tindakan ini juga dilihat telah memecah-belahkan rakyat diperingkat kampung lagi sehinggakan bantuan Kerajaan Persekutuan hanya sampai kepada ahli-ahli UMNO dan bukannya kumpulan sasaran yang sebenar.

Walau bagaimanapun, pada masa ini secara keseluruhannya mana-mana perkara yang termaktub dalam senarai Negeri sememangnya diputuskan oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan masih tidak campur tangan secara langsung termasuk dalam hal berkaitan agama Islam, tanah, dan sebagainya. Kerajaan Negeri sememangnya telah mendapat autonomi penuh dalam menentukan perkara di bawah tanggungjawab mereka.

Saturday, September 18, 2010

Lee Kuan Yew menuduh banyak ketidakadilan berlaku di Malaysia

New York Times keluaran 1 September lalu melaporkan Lee melemparkan tuduhan kepada Malaysia dengan mendakwa terlalu banyak ketidakadilan berlaku di negara ini dengan bukan Melayu diketepikan, selain warga Malaysia dipisahkan oleh sistem persekolahan, kawasan perumahan dan tidak bercampur gaul.

Senario itu, katanya, berbeza dengan orang Melayu Singapura yang mendapat pendidikan Inggeris dan lebih ‘moden’ berbanding Melayu di Malaysia.

Malah, Lee mendakwa penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menyebabkan bukan Melayu terpaksa menempatkan anak mereka di sekolah bukan milik kerajaan. Lee turut membayangkan Malaysia mungkin lebih baik jika tidak terpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata Malaysia tidak perlukan nasihat Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kerana mempunyai cara tersendiri dalam mentadbir negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum.
 
Beliau berkata kepelbagaian dan komposisi kaum serta adat resam masyarakat di Malaysia jauh berbeza dengan Singapura.

"Kita jauh berbeza dengan Singapura dan kenyataan Lee yang mengkritik sistem diamalkan di negara ini tidak boleh diterima kerana Malaysia menggunakan langkah dan kaedah yang berlainan dalam menguruskan hal berkaitan budaya serta perbezaan agama pelbagai kaum," katanya.

Persoalan yang timbul adalah kenapakah Lee masih mempedulikan tentang hal dalaman Malaysia? Adakah Lee menjadi jurucakap kepada Cina di Malaysia yang memperjuangkan ideologi PAP iaitu Malaysian Malaysia? Adakah perjuangan ideologi tersebut sudah tidak mendapat sambutan oleh rakyat Malaysia walaupun ianya diperjuangkan bersungguh-sungguh oleh suku sakat Lee iaitu DAP?

Hubungan kaum yang baik bagi pandangan Lee adalah apabila Cina menguasai segala-galanya dari segi ekonomi, kuasa politik, kekayaan negara, pentadbiran kerajaan, ketenteraan dan sebagainya. Lihatlah apa yang berlaku kepada orang-orang Melayu di Singapura? Adakah mereka diberi keadilan yang sebenar? Masih adakah suara orang Melayu di Singapura? Mereka ditekan secara halus sehinggakan menjadi semakin lemah tidak bermaya.

Strategi menekan cara halus turut dilakukan oleh DAP dan Cina di Pulau Pinang apabila tanah-tanah orang Melayu di sebelah pulau dibeli dengan harga yang tinggi untuk menggalakkan orang Melayu menjual tanah-tanah mereka. Kemudian didirikan hartanah yang dijual pula dengan harga yang tinggi sehinggakan orang Melayu tidak mampu membelinya. Sebaliknya hartanah di tanah besar seperti di Kulim dijual dengan harga jauh lebih rendah menyebabkan orang-orang Melayu Pulau Pinang berpindah ke Kedah menyebabkan jumlah orang Melayu di Pulau Pinang semakin berkurangan dan bilangan orang Cina pula yang bertambah. Apakah ini merupakan strategi menjadikan Pulau Pinang sebagai Singapura Kedua?

Apapun alasan Lee, biarlah Malaysia bergerak dengan cara kita, mana-mana yang baik yang boleh dijadikan panduan kita akan ambil. Saya secara peribadi bersetuju dengan Lee dalam sistem persekolahan di Malaysia. Kita sepatutnya hanya mempunya sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah Cina dan Tamil sepatutnya dihapuskan. Tetapi bila berkaitan dengan ideologi, eloklah Lee simpan saja kerana itulah menyebabkan Singapura ditendang keluar dari Malaysia dahulu. Kita bercerai tanpa ada anak pinak yang perlu dijaga bersama, anak-anak yang kita ada sekarang adalah bukan anak Lee. Tahulah kita menjaganya.

Friday, September 17, 2010

Kes Pembunuhan Sosilawati : DAP Buat Laporan Polis Terhadap Utusan Malaysia


Hari ini, 17 September 2010, DAP membuat laporan polis ke atas akhbar harian Utusan Malaysia dan bekas pemimpin pemuda PKR kerana cuba mengaitkan pembunuhan jutawan kosmestik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dengan ahli parti itu.


ADUN Komtar Ng Wei Aik yang memfailkan aduan itu di ibu pejabat polis Jalan Patani berkata dakwaan dan laporan yang dibuat oleh naib ketua pemuda PKR Mohd Zahid Md Arip dan Utusan adalah “tanpa asas dan bertujuan memburuk-burukkan DAP”. Ng, yang juga setiausaha pemuda DAP Pulau Pinang mendesak polis menyiasat akhbar itu dan Mohd Zaid yang meninggalkan PKR pada tahun 2006 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia pada 16 September lalu memetik Mohd Zahid yang melabelkan DAP sebagai “hiprokit” kerana lambat membidas pembunuh Sosilawati dan tiga yang lain.

Berikut petikan dua perenggan yang menjadi pertikaian itu ialah:

Mohd Zahid mempersoalkan kenapa DAP langsung tidak bersuara bagi mengutuk pembunuhan kejam tersebut, sedangkan sebelum ini parti berkenaan gah mendakwa organisasi mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak semua pihak.


Mohd Zahid juga dilaporkan berkata: "Apakah tindakan membisu ini mempunyai kaitan dengan dakwaan yang mengatakan bahawa suspek utama adalah ahli seumur hidup parti tersebut. Jika benar (dakwaan itu), ternyata DAP sebuah parti hipokrit yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum tertentu sahaja."

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua turut membidas akhbar Utusan Malaysia kerana mengheret DAP dalam laporannya berhubung pembunuhan hartawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.Sambil menyifatkan laporan berkenaan sebagai 'fitnah', ketua penerangan DAP itu berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya menegur tindakan akhbar tersebut dan menggesa mereka memohon maaf.

Kita sebagai orang yang tiada kepentingan bagi mana-mana pihak melihat tindakan pantas DAP membuat laporan polis ini sebagai menzahirkan dakwaan bahawa DAP adalah sebuah parti yang cekap bertindak dan mempunyai jentera yang pantas bertindak.

Disebalik kecekapan itu, DAP sebenarnya lupa, rakyat melihat semua tindak tanduk parti itu adalah sememangnya benar berbeza kecekapan mereka dalam membuat kenyataan bagi sesetengah kes. Kes pembunuhan Altantuya misalnya, DAP merupakan antara pihak yang cekap membuat analisa dan tuduhan-tuduhan yang melangkaui kecekapan pihak Polis. Dalam banyak kes, perjuangan DAP sememangnya dilihat memihak kepada kaum tertentu dan cuba membelakangi kaum Bumiputera. DAP tidak boleh bersembunyi dalam hal ini, perbahasan di Parlimen menceritakan segala-galanya walaupun perkara ini dinafikan oleh mereka.

Jika dikatakan DAP hanya membantu kaum tertentu sahaja, memanglah boleh dinafikan kerana ada juga yang DAP lakukan untuk orang Islam misalnya pemberian bantuan oleh YB Teo Nie Ching  sebanyak RM1,000 kepada Surau Al Huda, Kajang. Tetapi apa yang diperkatakan oleh Mohd Zahid adalah tentang perjuangan DAP dan bukannya bantuan. Apa yang diperjuangkan oleh DAP sememangnya jelas iaitu Ideologi Malaysian Malaysia yang mengakui bahawa semua kaum ada sama hak dan tiada hak istimewa. Jadi mereka pada masa ini berusaha menghapuskan hak istemewa bagi memberi hak sama rata kepada semua. Ideologi ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga prinsip keadilan yang sebenar di mana pembahagian sama rata tidak semestinya adil. Keadilan yang sebenarnya adalah meletakkan sesuatu sesuai dan kena pada tempatnya.

Ideologi Malaysian Malaysia juga tidak relevan dalam konteks Malaysia kerana proses perpaduan negara ini tidak berlaku melalui "bersatu dalam kesamaan" tetapi "bersatu dalam kepelbagaian". Perpaduan negara ini berlaku melalui empat proses yang berjalan secara serentak iaitu asimilasi, akomodasi, akulturasi dan amalgamasi.

Berbalik kepada kecekapan DAP bertindak membuat laporan Polis jelaslah menunjukkan mereka terpukul dengan kenyataan Mohd Zahid dan risau rakyat tersedar dari mimpi. Walau bagaimanapun, apa yang pasti, DAP sememangnya lambat membuat kenyataan berhubung pembunuhan Datuk Sosilawati, itulah kenyataannya. Apakah rahsia disebalik tindakan tersebut, hanya DAP yang boleh menjawab.

Hakim Izin Protes Anti Al-Quran

Berita Harian pada 17 September 2010 melaporkan : ATLANTA, seorang paderi Florida yang membatalkan rancangan untuk membakar al-Quran pada sambutan ulang tahun serangan 11 September, berhak mengikut niat asal beliau itu. Hakim Mahkamah Agung, Stephen Breyer, ketika dalam temu bual melalui rancangan Larry King Live di CNN membandingkan perbuatan membakar kitab suci Islam itu dengan membakar bendera Amerika Syarikat apabila ditanyakan mengenai sama ada paderi Terry Jones mempunyai hak untuk meneruskan rancangan beliau yang kontroversi itu. “Kita lindungi luahan perasaan membenci orang lain. Apabila anda tinggal di sebuah negara dengan 300 juta penduduk berbeza yang berfikir perkara berbeza, adanya perlindungan ini membantu kita. Ia bantu untuk memberitahu semua orang anda boleh fikir apa saja.”

Breyer yang berkhidmat dalam tentera mengakui bahawa menyaksikan pembakaran bendera Amerika Syarikat ketika era Perang Vietnam mencetuskan reaksi meluat. Tetapi, katanya, kebebasan bersuara tidak mengambil kira kenyataan popular atau tidak popular.

“Sering kali saya dengar orang tertentu terutama di kalangan pelajar kolej, berkata ‘apa yang dikatakannya amat teruk.’ Saya membalas: “Adakah anda fikir kebebasan bersuara hanya untuk orang yang tidak mengeluarkan kata-kata teruk?” katanya.

Antara pandangan awal Barat mengenai kebebasan bersuara adalah karya Areopagitica (1644) oleh penyajak dan penulis politik Inggeris John Milton. Milton menulis sebagai reaksi kepada parlimen republik England pada masa itu untuk menghalang "risalah-risalah yang menghasut, tidak boleh dipercayai, tidak wajar dan tidak dibenarkan". Milton menamakan beberapa hujah untuk melindungi kebebasan bersuara iaitu perpaduan negara dibentuk melalui pencampuran perbezaan individu-individu berbanding memaksa penyatuan dari atas; bahawa kebolehan mencari dalam pelbagai idea tentang satu isu adalah penting untuk proses pembelajaran dan kebenaran tidak boleh didapati sekiranya semua pandangan dipertimbangkan; dan dengan menimbangkan kebebasan berfikir, menapis adalah pertentangan dengan kemajuan material. Milton juga berhujah bahawa sekiranya fakta-fakta diketengahkan, kebenaran akan menjuarai kepalsuan, tetapi ini tidak boleh didasarkan mana-mana satu individu tertentu. Mengikut kata Milton, ia haruslah diputuskan oleh individu masing-masing untuk mencari kebenaran mereka sendiri; tiada siapa pun yang cukup pengalaman untuk menapis bagi semua pihak.

Namun kebebasan bersuara sepatutnya bukan hak mutlak. Sistem perundangan dan masyarakat secara keseluruhannya mengiktiraf had kepada kebebasan bersuara, terutama apabila hak ini berkonflik dengan nilai atau hak lain. Had kepada kebebasan bersuara berasaskan "prinsip padah" dan "prinsip menyinggung (perasaan)" seperti dalam konteks pornografi atau "suara kebencian". Dalam bukunya "On Liberty" (1859) John Stuart Mill berhujah bahawa "...kebebasan penuh menyuarakan pendapat perlu untuk menolak penghujahan pada batas kelogikannya, berbanding mengikuti penghadan dari segi sosial". Akan tetapi Mill juga memperkenalkan apa yang dikenali sebagai "prinsip padah", dalam meletakkan had iaitu "satu-satunya cara di mana kuasa boleh dikenakan kepada masyarakat yang bertamadun, untuk menyekat kebebasan hak bersuara bagi mengelakkan berlakunya keburukan pada orang lain. Joel Feinberg pada tahun 1985 memperkenalkan apa yang disifatkannya sebagai "prinsip menyinggung", menghujahkan bahawa prinsip "padah" Mill tidak tidak mencukupi untuk menentang keburukan orang lain. Feinberg menulis bahawa "Ia sememangnya alasan yang baik dalam menyokong usaha membendung salah laku jenayah berbanding kecederaan atau padah kepada manusia dan ia mungkin satu cara yang wajar." Feinberg mencadangkan beberapa faktor yang perlu diambil kira semasa mengaplikasikan prinsip penyinggungan, termasuk, skop, tempoh dan nilai sosial, motif, jumlah orang yang tersinggung dan kepentingan awam.



Umat Islam telah mengalami banyak penghinaan dan penipuan fakta yang dilakukan oleh Barat atas alasan kebebasan bersuara. Antaranya, kes buku tulisan Salman Rushdie The Satanic Verses amat menggemparkan masyarakat Islam, dan hal ini sama seperti laman web yang mempamerkan tohmahan tidak berasas kepada Islam dan baginda Rasulullah s.a.w mengenai perkahwinan baginda dengan wanita-wanita yang menjadi isteri baginda yang amat disalahtafsirkan oleh musuh Islam itu. Begitu juga dengan lakaran karikatur yang mengina nabi Muhammad s.a.w.

Di dalam ajaran Islam setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja yang ia mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai-bagai bidang. Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu.Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, maka semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Nisa', ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi. Maka sesungguhnya Allah adalah maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.

Ayat ini memberikan dua asas penting dalam kehidupan kita, termasuk ketika melaksanakan segala hak asasi manusia. Dua perkara itu ialah kebenaran dan keadilan. Kebenaran dan keadilan ini pula adalah berdasarkan prinsip dan ajaran Islam yang sebenarnya, bukan kebenaran dan keadilan yang diomong-omongkan oleh orang-orang yang tidak berilmu atau berdasarkan emosi dan sentimen tertentu.

Pendeknya manusia harus mendalami ilmu pengetahuan berasaskan world view Islam yang mendalam untuk memahami segala sesuatu yang bersumberkan ilmu pengetahuan dan gagasan moden dari Barat.

Wednesday, September 15, 2010

Dewan Senate Perancis Meluluskan Rang Undang-Undang bagi Mengharamkan Burqa

Pada 14 September 2010, Dewan Senate Perancis telah meluluskan Rang Undang-Undang (bill) bagi pengharaman pemakaian burqa di tempat awam. Bill tersebut diluluskan dengan 246 undi menyokong dan 1 undi menentang. Bill tersebut seterusnya akan disemak oleh Majlis Perlembagaan (Constitutional Council) dan akhirnya bakal diluluskan oleh Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

Pihak Kerajaan Perancis menyatakan undang-undang tersebut diwujudkan bagi melindungi wanita daripada dipaksa memakai niqab. Apabila dikuatkuasakan, wanita yang tidak mematuhi undang-undang tersebut akan didenda sebanyak $200 atau mengikuti kursus kewarganegaraan. Manakala seorang lelaki yang memaksa wanita mengingkari peruntukan tersebut akan didenda $41,000 dan penjara.

Umat Islam percaya undang-undang yang baru ini adalah merupakan satu lagi langkah stereotype Kerajaan Perancis dan berisiko meningkatkan tahap Islamophobia di negara itu. Perancis merupakan negara Eropah pertama yang meluluskan undang-undang sedemikian.


Ini merupakan contoh layanan terhadap Islam oleh mereka yang mengelar diri mereka pejuang demokrasi yang terunggul di dunia. Apabila melibatkan Islam, mereka pastinya tidak mampu berlaku adil kerana pastinya mereka dengki dengan keadilan Islam di atas muka bumi ini kerana Islam merupakan ajaran yang sebenar.

Semoga semua orang Islam di seluruh dunia bersatu menentang kezaliman orang-orang kafir yang selama-lamanya tidak akan senang dengan Islam. Mereka akan mencari jalan untuk menindas umat Islam walau di mana kita berada. Ini berlaku kerana kelemahan orang Islam sendiri dari segi keupayaan ekonomi, ketenteraan, R&D dan ditambah pula dengan perpecahan kepada kelompok-kelompok tertentu di dalam Islam.

Perkara yang sama juga boleh berlaku di Malaysia jika kita memberi peluang tanpa kawalan kepada orang-orang kafir memerintah negara. Pada masa ini pun telah terdapat kes-kes tuntutan yang melampau demi memenuhi niat jahat mereka terhadap Islam. Oleh yang demikian, pengundi-pengundi Islam di negara ini sepatutnya mengundi wakil Islam dan bukannya parti politik tertentu. Dalam masa yang sama, semua penganut Islam perlu bersatu, jangan jadikan kekhilafan pendapat dalam sesuatu isu menyebabkan kita berpecah. Ahli-ahli PAS, KEADILAN dan UMNO sepatutnya menjadikan keputusan Dewan Senat Perancis ini sebagai satu pengajaran berguna dan berusaha menghalang daripada berlaku di negara ini.




Datuk K.Patmanaban Suspek Utama Pembunuhan Jutawan Kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan Tiga Yang Lain


Suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya berusia 47 tahun bersama pembantu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 tahun merupakan seorang peguam bernama Datuk K.Patmanaban berumur 41 tahun. Peguam tersebut adalah dari firma Pathmanalli & Partners beralamat di Jalan Kemboja, 33 off Jalan Sultan Alam Shah, Banting. Beliau ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain termasuk pekerja ladang.

Siasatan juga mendapati Datuk itu pernah memberi bantuan guaman kepada pertubuhan haram Hindraf dan menjadi ahli seumur hidup kepada sebuah parti politik.

Dua beradik berkenaan juga pernah dikenakan tindakan tatatertib oleh Majlis Peguam Malaysia, tiga tahun lalu iaitu mulai 9 Mac 2007 sehingga 30 Mac 2008.

"Kedua-dua mereka bersama seorang lagi proksi dikenakan tindakan tatatertib di bawah Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.

"Tindakan ini menyebabkan Datuk berkenaan dan adiknya tidak layak untuk menjalankan amalan guaman dan menawarkan khidmat guaman kepada orang ramai," katanya.

Menurut sumber itu lagi, adik Datuk itu pula pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah yang dimiliki seorang wanita bernilai RM200,000 pada akhir tahun lalu.

Beliau berkata, kes tersebut menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah pada awal Ogos lalu.

"Suspek didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

"Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September ini," katanya.

Pembunuhan tragis yang berlaku ini adalah disyaki berpunca dari sikap tamak suspek. Difahamkan Sosilawati telah menggunakan khidmat firma guaman suspek untuk mengemukakan tender tawaran untuk membeli sebidang tanah di Pulau Pinang. Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan tanah terbabit dipercayai gagal menyebabkan Sosilawati menuntut supaya wang miliknya berjumlah jutaan ringgit yang sudah diserahkan kepada suspek agar dipulangkan. Menurut sumber, berikutan desakan oleh jutawan kosmetik itu, maka suspek akhirnya mengatur pertemuan dengan Sosilawati di pejabatnya di Banting, Selangor pada 30 Ogos 2010 kononnya untuk memulangkan wang milik mangsa.

Namun, bagi memastikan dirinya tidak ditipu, Sosilawati dikatakan membawa bersama pemandu yang juga pembantu peribadinya, pegawai bank CIMB dan peguam peribadinya untuk berjumpa dengan suspek. Difahamkan suspek yang mungkin tidak menyangka Sosilawati membawa ramai pembantu kemudian mengajak kesemua mangsa pergi ke ladang miliknya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting untuk berbincang di situ kerana kononnya pejabat guamannya sudah ditutup.

Sebaik sahaja tiba di ladang yang terlindung itu, semua mangsa telah ditahan sebelum dibunuh oleh suspek bersama beberapa konco-konconya yang kini turut ditahan polis.

Menurut sumber, kira-kira dua jam sebelum dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Noorhisyam dipaksa menelefon isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, bagi memaklumkan beliau akan pulang selepas tiga hari.

“Tempoh tiga hari yang dinyatakan itu mungkin taktik kumpulan penjenayah itu untuk menghapuskan segala bukti sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, Sosilawati dan dua lagi mangsa pula tidak dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kerana kumpulan penjenayah itu percaya maklumat yang disampaikan Noorhisyam akan disebarkan kepada semua keluarga mangsa terbabit.

“Hanya Noorhisyam dibenar menghubungi isterinya, tetapi dengan kawalan dan pengawasan ketat kumpulan penjenayah terbabit menyebabkan panggilan itu berlaku dalam keadaan tergesa-gesa.

“Sebab itu, Noorhisyam dalam perbualan dengan isterinya antara lain meminta maaf dan mengaku tidak dapat memberitahu apa yang berlaku terhadapnya dan berjanji untuk menceritakan segala-galanya selepas tempoh tiga hari,” katanya

Celah Gelegar turut bersimpati dengan keluarga mangsa dan berdoa agar mereka diberi kekuatan untuk mengharungi kehidupan yang akan datang. Kita juga berdoa agar roh mangsa ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman.

Janganlah kita mengambil peluang untuk mengeruhkan suasana dengan menggunakan kes jenayah ini bagi dikaitkan dengan soal kaum. Apa yang pasti perbuatan jenayah adalah melangkaui isu perkauman, agama dan batas sempadan negara. Berilah kepercayaan kepada pihak Polis dalam menjalankan siasatan dan seterusnya mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.


KRONOLOGI

Detik sebelum dibunuh pada 30 Ogos 2010

10 pagi: Sosilawati memasuki pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

4 petang: Membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting.

5 petang: Kamaruddin menghubungi anak saudaranya, Khairul Izuan Ismail.

5-6 petang: Sosilawati menghantar SMS kepada suami memberitahu dia ke Banting.

8.15 malam: Noorhisham menelefon isterinya, Suzana Radim Pangat.

10 malam: Keempat-empat mangsa dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting

POST TERKINI

Page Navigation

Blog Archive

nuffnang

Blog List

ohbelog

busuk

Total Pageviews

Counter

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com