iklan nuffnang

pages

Tuesday, August 31, 2010

Bukan Islam Boleh Masuk Masjid?


Firman Allah SWT (Surah al-Mumtahanah 60:8):
Bermaksud : Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Peraturan yang diperkenalkan Islam sama sekali tidak akan menyusahkan manusia. Ia akan mengamankan semua manusia. Namun, apa yang menjadi isu dan perselisihan kebiasaannya adalah berpunca daripada bagaimana kita mentafsir ayat-ayat Allah, hadith nabi, pendapat mazhab-mazhab dan pelbagai sumber yang soheh dan diterima pakai.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu bukan Islam memasuki masjid menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni. Beliau berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama. Tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

Menurut bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, jika seseorang bukan Islam masuk dan tidak mengganggu masjid, tidak mencemar masjid, atau nak berbincang dengan orang Islam, menerangkan tentang kebajikan yang nak dibuat seperti penerangan tentang kesihatan, penyakit, mereka boleh masuk, selagi bukan nak menentang Islam.

Pendapat Ustaz Zaharuddin Abd Rahman(www.zaharuddin.net) Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat Al-Quran yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja." ( 4:43 ).

Imam Abu Hanifah berpendapat bukan Islam dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal. Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan Islam memasuki masjid tanpa syarat.

Imam Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan kerja-kerja penyenggaran. Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu).

Manakala hukum memasuki masjid selain Masjidil Haram, Imam Ibn Hajar Al-lsquo;Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Imam Nawawi menghuraikan, melihat kepada hadis di atas, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. Selain itu, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan terdapat ayat menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.

KESIMPULANNYA majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI MASJIDIL HARAM, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain. Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-

i. Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.

ii. Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.

iii. Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat bising dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya.

Melihat kepada kenyataan di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat kepelbagaian pendapat tentang hukum bukan Islam memasuki masjid. Jadi marilah kita gunakan kepelbagaian itu untuk disesuaikan dengan keadaan dan situasi semasa. Janganlah menuduh atau merendah-rendahkan ilmu agama orang lain, jangan mengambil peluang untuk menyerang peribadi individu tertentu bila isu sebegini timbul dalam masyarakat. Marilah kita berdiskusi dengan penuh harmoni demi kemajuan dan pembangunan ilmu.

Bukan Islam memasuki masjid bukanlah suatu isu, namun perkara yang menjadi kebimbangan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah tentang umat Islam di negara ini yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca yang perlu diberi perhatian sama ada oleh UMNO mahupun PAS termasuk juga mereka yang mengaku diri sebagai Islam di dalam KEADILAN. Keadaan itu berlaku titah baginda, akibat pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah. Raja Dr. Nazrin bertitah, pemimpin sedemikian mungkin menyimpang daripada prinsip asas Islam yang sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah kerana merelakan agamanya dicemari dan umatnya dihina. Mengambil contoh penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, titah baginda, ia bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam itu sendiri.

Begitu juga tentang larangan menggunakan masjid sebagai pentas politik oleh Sultan Selangor harus dilihat dari pandangan yang positif. Baginda ingin melihat umat Islam di negeri Selangor berada dalam keadaan harmoni, mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan. Janganlah hanya kerana hendak menyebelahi parti masing-masing, semuanya diputabelitkan agar sesuatu tindakan salah parti mereka dilihat seolah-olah betul.

Celah Gelegar menyeru agar semua pihak dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu. Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar.

Saturday, August 28, 2010

Isu ekuiti Bumiputera: Soi Lek menentang Perlembagaan



Sebelum berbicara tentang kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya ekuiti bumiputera dikurangkan, eloklah kita ulangkaji sedikit tentang ‘kejuruteraan sosial’ yang telah negara lakukan demi pepaduan semua rakyatnya. Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Negara yang merangkumi dasar-dasar ekonomi, dasar-dasar sosial dan dasar-dasar luar negeri. Dalam memastikan keseimbangan sosial, dasar-dasar ekonomi Negara memainkan peranan yang cukup besar dan ianya telah berjaya mengekalkan perpaduan kaum dinegara ini walaupun sentiasa cuba digugat oleh mereka yang mementingkan perut sendiri sahaja tanpa menghiraukan orang lain. Dasar ekonomi Negara terdiri daripada dasar-dasar sektoral, perancangan jangka panjang, sederhana dan pendek seperti Wawasan 2020, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pengkorporatan Malaysia, Dasar Penswastaan, Pembangunan Luar Bandar dan Dasar-Dasar Sektoral (ICT, Perusahan Kecil Dan Sederhana, Pembuatan dan Pengagihan Dagangan).


Pelan Rangka Perspektif (OPP) atau turut dikenali dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) menetapkan teras dan strategi yang luas di dalam agenda pembangunan negara dalam jangkamasa panjang. Ia menetapkan rangka kerja makro-ekonomi dan sasaran jangka panjang untuk mencapai wawasan masyarakat. RRJP bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), dikuti dengan Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010), Wawasan 2020 (1991 – 2020) dan Dasar Baru Ekonomi (2011-2020). Pelan jangka sederhana pula ialah perancangan untuk tempoh lima-tahun yang dikenali dengan Rancangan Malaysia (RMK) umpamanya Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015). Pelan ini dirumus berdasarkan lingkungan rangka kerja yang ditetapkan oleh Pelan Rangka Perspektif. Pelan pembangunan lima tahun menetapkan sasaran perkembangan makro-ekonomi dan juga saiz dan peruntukan untuk program pembangunan sektor awam dan peranan indikatif yang dijangkakan bagi sektor swasta. Manakala, Perancangan Jangka Pendek pula adalah merupakan Bajet Tahunan.

Perancangan Pembangunan di Malaysia bermula pada tahun 1950 dengan penerbitan Draf Pelan Pembangunan Malaya. Dari 24 dokumen perancangan pembangunan yang telah disediakan hingga kini, tiga daripadanya adalah merupakan pelan rangka prospektif, 12 pelan pembangunan lima-tahun, termasuk Draf Pelan Pembangunan Malaya yang diperuntukkan dalam jangkamasa enam-tahun; dan penyemakkan semula pertengahan penggal, (MTR). Tajuk-tajuk pelan pembangunan termasuk semakan semula pertengahan penggal adalah seperti berikut:

* Jangkamasa 6 tahun C - Kumulatif IC – Bab Individu

Dasar Ekonomi Baru adalah merupakan Rancangan Pembangunan Ekonomi secara berperingkat selama 20 tahun (1971-1990). Sebelum 1970, polisi pembangunan Malaysia disasarkan terutamanya untuk menggalakkan perkembangan dengan penekanan yang lebih ke atas pasaran eksport. Walaupun ekonomi berkembang dengan cepatnya dalam tempoh sebelum 1970 pada purata tahunan 6.0 peratus, namun terdapat kekurangan penekanan dalam aspek pengagihan yang telah menghasilkan ketidakseimbangan di antara kumpulan etnik dengan memberi kesan negatif sosial dalam bentuk rusuhan kaum pada tahun 1969. Pelancaran Dasar Ekonomi Baru (NEP) pada tahun 1971 merupakan sejarah pelan ekonomi Malaysia. NEP menekankan pentingnya bagi mencapai sasaran sosio ekonomi seiring dengan mencapai objektif perkembangan ekonomi sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan di dalam negara yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik dan agama. Sasaran utama adalah perpaduan negara.

Salah satu aspek penting NEP adalah berada di premis ekonomi yang berkembang pesat. Perkembangan adalah syarat yang perlu untuk menyediakan peluang bagi yang miskin dan golongan yang kurang bernasib baik untuk membolehkan mereka keluar dari kemiskinan dan turut serta di dalam aktiviti aliran utama ekonomi. Tambahan lagi, ia memastikan yang bahawa pengagihan tidak berlaku dari peruntukan semula kekayaan yang ada tetapi dari pengembangan dan punca baru kekayaan. Perlaksanaan strategi untuk membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyakat menghasilkan kemajuan yang ketara dalam pengagihan pendapatan menjelang 1990. Kadar isi rumah yang hidup di bawah taraf kemiskinan menurun dari 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 16.5 peratus pada tahun 1990 dan menurun lagi kepada 5.1 peratus pada 2002.

Dalam istilah penstrukturan ekuiti korporat, lebih dari dua per tiga ekuiti korporat di Malaysia dimiliki oleh warga asing pada tahun 1970, sementara Bumiputera, kaum pribumi yang mewakili dua pertiga dari jumlah penduduknya, memiliki hanya lebih sedikit dari 2 peratus. NEP menetapkan sasaran penstrukturan berupa 30:40:30, di mana menjelang 1990, pegangan kaum Bumiputera patut mencapai 30 peratus, rakyat Malaysia yang lain 40 peratus dan warga asing 30 peratus, di dalam konteks ekonomi yang berkembang. Pada tahun 1990, bahagian ekuiti Bumiputera bertambah kepada 20.4 peratus dari keseluruhan jumlah ekuiti korporat, dan pegangan rakyat Malaysia yang lain bertambah kepada 46.8 peratus dan 25.1 peratus untuk warga asing. Walaupun Bumiputera tidak mencapai sasaran 30 peratus pegangan ekuiti menjelang 1990, kemajuan yang dihasilkan oleh mereka adalah cukup baik berbanding dengan kedudukan mereka pada tahun 1970.

Berbalik kepada isu tuntutan terbaru MCA, saya berpendapat kita semua perlu faham kehendak keseluruhan rakyat Negara ini. Pilihan ditangan kita semua, Adakah kita mahu bertelagah, bergaduh atau berperang sesama sendiri demi fahaman sempit segelintir penghasut kaum seperti yang berlaku di beberapa Negara lain. Dendam kesumat yang membara antara kaum yang akhirnya membawa kepada pembunuhan etnik beramai-ramai yang tidak berkesudahan. Atau kita mahu Malaysia ini maju, aman, ekonomi berkembang dan kita semua boleh hidup makmur di bumi bertuah ini? Saya yakin dan percaya, majoriti rakyat Negara ini inginkan keamanan, kesentosaan dan tenang mencari rezeki membesarkan anak-anak yang bakal mewarisi bumi Malaysia yang dicintai.

Parti-parti politik tertentu termasuk pemimpin mereka pada masa ini telah berjaya dipengaruhi oleh gologan yang dikenali oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee sebagai ‘Ultra Kiasu’ atau saya akan kenali mereka dengan nama ‘gangster politik’. Gangster politik yang saya maksudkan ini ialah mereka yang jahat tetapi berlagak baik seolah-olah merekalah pejuang demokrasi yang terunggul di dunia. Namun sebaliknya mereka ini hanya menunggani demokrasi demi mencapai matlamat sempit kaum mereka semata-mata tanpa menghiraukan perasaan dan sensitiviti kaum-kaum lain di Negara ini. Mereka ini buta sejarah atau sengaja membutakan mata dan fikiran demi kepentingan mereka semata-mata. Mereka lupa dan tidak bersyukur dengan apa yang mereka perolehi di mana telah melebihi daripada sepatutnya. Mereka seumpama Firaun dan Qarun yang tidak pernah puas dengan kuasa dan kekayaan yang mereka miliki. Mereka tidak kenal erti perpaduan, erti persahabatan, erti kerjasama, erti ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’, erti ‘secubit sama-sama kita rasa sebakul sama-sama kita nikmati’.

Berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan, bilangan rakyat Malaysia pada tahun 2008 adalah seramai 25.071 juta orang dengan bilangan kaum Bumiputera seramai 16.511 juta atau 66%, Cina seramai 6.336 juta (25%), India seramai 1.885 juta (8%) dan lain-lain seramai 0.340 juta (1%). Kaum Bumiputera adalah merupakan majoriti dalam Negara ini, namun kedudukan ekonomi kaum Cina jauh meninggalkan kaum Bumiputera dan kaum-kaum lain. Analisa dan angka-angka berikut menceritakan keadaan ekonomi sebenar mengikut kaum sama ada kita mahu menerimanya atau tidak.



Daripada analisa dan maklumat tersebut, jelaslah kepada kita bahawa kaum Bumiputera masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan populasi kaum Bumiputera yang mewakili 66% rakyat Negara ini. Justeru tiada apa yang sepatutnya pertikaikan mengenai ekuiti Bumiputera oleh Soi Lek. Belajarlah bagaimana mantan jurutera-jurutera yang telah membina Negara dengan perancangan dan dasar ekonomi yang telah terbukti berjaya mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum selama ini. Belajarlah juga daripada peristiwa berdarah rusuhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969 akibat ketidaksembangan ekonomi. Peringatan ini juga ditujukan kepada segelintir Melayu yang tidak faham erti pembinaan Negara yang mencadangkan agar dihapuskan keistemewaaan orang Melayu agar persaingan boleh berlaku di padang yang sama rata kononnya. Dalam keadaan padang yang sememangnya sudah tidak sama rata pada masa ini yang menyebelahi kaum Cina, cadangan sebegini umpama meletakkan batu di atas orang bertatih untuk berdiri. Kita perlu menyelami lebih jauh daripada itu, ketidakseimbangan yang melampau boleh mencetuskan petaka yang lebih dahsyat. Jangan hanya kerana kita dilahir dan dibesarkan di bandar besar dengan kemewahan yang melimpah ruah, kita lupa kepada kaum Bumiputera di luar bandar dan di desa yang ketinggalan.

Disamping itu, kita juga harus faham tentang Perlembagaan Persekutuan yang dirangka melibatkan pelbagai kaum dan tidak dicipta oleh orang Melayu semata-mata. Perkara 153 memberi hak kepada orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak dan pihak-pihak yang dilindungi oleh semua peruntukan undang-undang. Seperti kata Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Perlembagaan bukanlah perkara yang diamalkan begitu saja, tetapi ianya sudah diterima oleh semua yang menjadi pihak kepada kontrak sosial pada tahun 1956 semasa Suruhanjaya Reid ditubuhkan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan dan seterusnya sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dimaktubkan.

Janganlah kita tergesa-gesa kononnya hendak mengikuti cara orang Barat yang memberi hak sama rata kepada semua. Amerika Syarikat telah merdeka selama lebih daripada 230 tahun iaitu pada 4 Julai 1776 yang pada masa itu terdapat negeri-negeri individu yang diperintah oleh Great Britain. Mereka yang mengagungkan Barat sebenarnya lupa sejarah tentang bagaimana keadaan di Amerika Syarikat sejak kemerdekaannya. Umpamanya rusuhan yang terjadi di antara penduduk kulit putih dan hitam pada tahun 1943 semasa Perang Dunia Kedua dan rusuhan kaum yang berlaku pada tahun 1967 di Detroit selama lima hari yang mengorbankan seramai 43 orang , 1189 cedera dan lebih 7000 orang ditahan. Untuk sampai kepada keadaan sekarang, mereka telah melalui pelbagai rintingan dan halangan yang boleh dijadikan panduan kepada kita. Janganlah terburu nafsu, nanti padah yang menimpa. Jangan hanya kerana berebutkan secakir air di lantai tempayan, seluruh tempayan dipecahkan. Janganlah memberi peluang langsung kepada 'Gangster Politik' untuk menyelinap masuk di celah-celah kita jika perpaduan dan keamanan yang kita inginkan selamanya.

Friday, August 13, 2010

Kabinet setuju larang penuntut IPTA terlibat dalam politik


Proses pindaan AUKU  bermula dengan lantikan satu jawatankuasa menyemak dan mengkaji Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 pada akhir tahun 2005 yang dipengerusikan oleh seorang profesor undangundang di UiTM, yang pakar dalam undang-undang perlembagaan, undang-undang pentadbiran dan hak-hak asasi manusia. Setelah melalui proses konsultasi dengan pelbagai stakeholders seperti Ahli Parlimen daripada parti pemerintah dan parti pembangkang, pegawai kementerian dan agensi pusat, pengerusi lembaga pengarah universiti, naib canselor universiti, persatuan kakitangan akademik IPTA, dan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), AUKU akhirnya dibawa ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 16 Julai 2008. Pada 10 dan 11 Disember 2008, Rang Undang-Undang (RUU) AUKU (Pindaan) telah dibaca kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat dan akhirnya RUU AUKU (Pindaan) telah diluluskan pada 11 Disember 2010 di Dewan Rakyat dan pada 18 Disember 2010 di Dewan Negara.

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang dikenali sebagai AUKU, yang dikuatkuasakan pada 30 April 1971 adalah merupakan satu akta yang telah diwujudkan bagi maksud menubuhkan, menyegerakan, mentadbir universiti dan kolej universiti awam di Malaysia. Susulan daripada penguatkuasaan AUKU pada tahun 1971, telah meletakkan universiti dan kolej universiti awam di Malaysia sebagai sebuah Badan Berkanun Kerajaan yang tertakluk kepada kuasa-kuasa yang ditetapkan di dalam akta tersebut.

Sejak AUKU digubal dan dikuatkuasakan, ia telah dipinda sebanyak lima kali iaitu pada 24 September 1971, 13 Mei 1975, 29 Februari 1983 dan 1 Oktober 1996. Pindaan terbaru AUKU telah dikuatkuasakan pada 1 Februari 2009. Pindaan-pindaan AUKU tersebut dibuat untuk mengekalkan kerelevanan AUKU dalam memantapkan urus tadbir universiti mengikut perkembangan dan kehendak semasa.

Berkenaan dengan pelajar, AUKU sedia ada memperuntukkan bahawa mana-mana pelajar yang mahu menganggotai mana-mana persatuan atau organisasi di luar universiti hendaklah mendapat kebenaran pihak universiti terlebih dahulu atau prior permission. Peruntukan ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai agak negatif dan tidak memberi kebaikan kepada pelajar dalam peningkatan ciri-ciri kepimpinan dan sahsiah diri.

Justeru, AUKU (Pindaan) 2009, telah membenarkan pelajar untuk bersekutu atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada di dalam atau luar negara.Walau bagaimanapun, pelajar adalah dilarang untuk terlibat dengan entiti-entiti berikut:

(i) parti politik sama ada di dalam atau luar negara:
(ii) pertubuhan yang menyalahi undang-undang sama ada di dalam atau luar negara; dan
(iii) pertubuhan badan atau kumpulan yang dikenal pasti oleh Yang Berhormat Menteri sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti.

Mesti pun terdapat larangan ke atas pelajar untuk berpolitik, AUKU (Pindaan) 2009 masih memberikan sedikit pengecualian. Kuasa untuk memberi pengecualian ini akan dilaksanakan oleh naib canselor. Dalam menjalankan kuasa tersebut naib canselor atas permohonan pelajar boleh memberi kebenaran untuk terlibat dalam parti politik. Ini bagi membolehkan seseorang ahli politik yang bergiat dalam mana-mana parti politik mendaftar sebagai pelajar di universiti tanpa perlu melepaskan kerjaya politiknya.

Pada masa perbahasan, ramai ahli Yang Berhormat meminta agar AUKU dihapuskan. Pihak-pihak lain diluar Parlimen termasuk pelajar juga minta AUKU dimansuhkan. Kenapa? ini berlaku kerana terlalu ramai yang hendak bercakap tapi tidak tahu hujung pangkal. Mereka ingat seluruh AUKU itu hanyalah berkaitan pelajar yang meyekat kebebasan pelajar untuk berpesatuan, menyekat pelajar bersuara. Mereka hanya mengikut-ikut saja apa yang di hebohkan tanpa meneliti apa kandungan AUKU itu sepenuhnya. Apakah terkandung dalam Seksyen 15, AUKU? apakah berlaku jika AUKU dimansuhkan?

Situasi yang sama juga berlaku dalam isu tuntutan untuk membenarkan pelajar berpolitik. Ramai yang bercakap tetapi tidak ramai yang membuat kajian. Jika dibenarkan pelajar berpolitik, apakah kebaikan yang akan diperolehi? apakah keburukan yang akan bakal berlaku? Semua hujah yang dilontarkan semuanya berbentuk andaian dan gerak hati semata-mata.

Ada yang berhujah, kebenaran berpolitik adalah hak pelajar. Soalnya siapa yang berhak menentukan hak manusia selain yang Maha Esa. Sudah tentu Al-Quran dan Al-Sunnah lah tempat yang selayaknya untuk dirujuk bila bercakap soal hak. Jangan terikut-ikut dengan pandangan Barat semata-mata. Kumpulan lembu sudah tentu memaki hamun manusia kerana telah mengikat mereka di padang, walhal pada pandangan kumpulan tersebut mereka berhak untuk bebas. Kenapa manusia mengikat mereka? Kerana manusia dikurniakan akal fikiran yang menjadikan manusia lebih tinggi tarafnya bagi menentukan apa yang terbaik bagi lembu tersebut. Namun adakah lembu-lembu tersebut faham keadaan tersebut? Pastinya tidak faham. Jika mereka bebas mungkin petaka boleh berlaku kepada lembu tersebut dan kepada persekitaran dan orang ramai. Jadi jika soal hak semata-mata mejadi taruhan hujah, ianya masih longgar dan tidak kukuh. Hujah kedua bagi mereka yang menyokong agar pelajar dibenarkan berpolitik adalah untuk mematangkan demokrasi dengan meluaskan dan meningkatkan patisipasi rakyat termasuk pelajar. Memang benar ilmu yang diperolehi daripada pengalaman sendiri amat bermakna, namun bukan itu satu-satunya kaedah mendapatkan ilmu. Kita tidak perlu menghantukkan kepala sendiri ke dinding konkrit hanya untuk mendapat ilmu tentang kerasnya dinding konkrit dan boleh menyakitkan kepala bila dihantuk. Kita boleh belajar daripada mereka yang terdahulu yang telah mengalaminya.

Ada pula yang mengatakan pelajar tidak boleh dibenarkan berpolitik kerana mereka hanya perlu memberi tumpuan kepada pelajaran, belum sampai masa untuk mereka bergeluman dalam medan politik yang penuh dengan muslihat dan tipu daya. Hujah ini juga berdasarkan andaian yang tidak boleh dibuktikan. Jika politik kepada pelajar IPT dibenarkan, adakah semua pelajar akan terlibat, berapa peratus kah pelajar yang mungkin terlibat dengan politik, 5%, 10 % atau kurang. Jika sebahagian kecil sahaja yang terlibat, adakah boleh menjejaskan keseluruhan sistem pengajian tinggi. Adakah apabila mereka berpolitik, pelajaran akan diabaikan. Ramai pemimpin pelajar yang aktif dengan menjawat pelbagai jawatan dalam persatuan tetapi masih boleh cemerlang dalam pelajaran.

Oleh itu, bila diberi peluang bercakap, berhujahlah dengan bukti, dengan kajian, bukan hanya cakap-cakap dikedai kopi. Ini soal untuk mengubah sesuatu dasar bagi kecemerlangan pelajar, rakyat dan negara dimasa hadapan. Sudah pasti Kerajaan perlukan lebih dari sekadar berhujah menanam tebu dibibir mulut yang langsung tidak meyakinkan walaupun hujah tersebut datang dari jaguh-jaguh pidato kampung yang berlagak hebat kononnya. Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan pula jangan lah matikan semangat anak-anak muda untuk berdebat, suburkanlah percambahan minda mereka. Berilah peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan tetapi mesti berdasarkan hujah dan bukti yang nyata. Pihak kementerian pula bolehlah menggunakan isu yang dibangkitkan untuk dibuat kajian yang mendalam. Jika terbukti ianya memberi kebaikan kepada pelajar dan kecemerlangan pengajian tinggi negara, mengapa tidak dibenarkan pelajar berpolitik. Jika sebaliknya, mungkin belum tiba masanya.


POST TERKINI

Page Navigation

nuffnang

Blog List

ohbelog

busuk

Total Pageviews

Counter

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com